AHLI Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan sering menjadi tumpuan di Dewan Rakyat kerana bersikap lantang dan agak keras apabila membahaskan satu-satu isu.
Disebabkan keriuhannya mencelah juga membuatkan beliau pernah ditegur oleh Menteri Kewangan, Rafizi Ramli semasa dewan sedang bersidang.
Mungkin ada pihak tidak senang dengan pendekatan tersebut tetapi itulah cara Mohd Sany supaya masalah yang dihadapi penduduk Hulu Langat didengari oleh semua pihak termasuk pimpinan kerajaan.
Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Nazrin Zulkafli bersama Mohd Sany.
SINAR HARIAN: Tahniah YB di atas kemenangan di Parlimen Hulu Langat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini.
Ternyata YB menjadi pilihan penduduk Hulu Langat memandangkan YB adalah anak tempatan dan sangat rapat dengan rakyat. Boleh ceritakan, apa masalah yang sering dihadapi oleh rakyat di Hulu Langat?
MOHD SANY: Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian di atas kesudian mengundang saya untuk ruangan wawancara ini.
Kalau menyebut mengenai masalah di Parlimen Hulu Langat, sudah tentu antara masalah yang dikenal pasti atau banyak diadukan adalah berkenaan kesesakan jalan raya.
Hulu Langat merupakan satu kawasan atau daerah yang menjadi tumpuan atau fokus masyarakat daripada luar negeri Selangor untuk datang berhijrah mencari pekerjaan, membina rumah tangga atau belajar di institusi pendidikan.
Selain itu, banyak projek perumahan yang muncul di kawasan Hulu Langat menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya contohnya di Taman Desa, Pekan Batu 9 dan Bandar Seri Putra.
Isu lain adalah berkaitan dengan banjir. Pada malam Selasa, saya sendiri turun ke ke Kampung Pasir yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berlaku banjir. Ada lebih kurang 10 keluarga yang terjejas.
Pada 19 Disember 2021, Hulu Langat diuji oleh ALLAH dengan musibah banjir yang cukup besar. Di Taman Sri Nanding lebih kurang 1,500 buah rumah tenggelam.
Saya dimaklumkan pada masa itu, penduduk terpaksa panjat atap untuk selamatkan diri.
Selain itu, kita juga hadapi masalah kesesakan di sekolah. Sekolah tidak cukup dan bilik darjah penuh. Saya dimaklumkan oleh beberapa ibu bapa dan guru, ada bilik darjah mencecah 40 hingga 45 pelajar. Saya rasa ini antara masalah besar yang perlukan pemerhatian semua pihak untuk diselesaikan sebaik mungkin.
Berdasarkan tiga masalah yang dinyatakan, boleh YB kongsikan apa perancangan untuk menanganinya?
Masalah yang saya utarakan itu akan kita bawa ke pengetahuan pihak kerajaan Persekutuan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.
Selain itu, perkara ini juga kita maklumkan kepada kerajaan negeri, agensi-agensi yang berwajib supaya masalah berkaitan kesesakan jalan raya, masalah banjir dan kesesakan pelajar di sekolah-sekolah serta sekolah yang tidak cukup di Hulu Langat dapat ditangani dengan segera.
Ini masalah rakyat. Soal berkaitan pendidikan ini kita tidak boleh kompromi. Begitu juga dengan isu jalan raya dan banjir kerana ia berkaitan dengan keselamatan dan nyawa masyarakat di Hulu Langat.
YB dilihat begitu lantang dalam sidang Dewan Rakyat sehingga Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pernah mengatakan tindakan itu tidak beradab, tidak sesuai dan tidak ikut peraturan Dewan Rakyat. Komen YB mengenai isu ini?
Mungkin ada sesetengah pihak tidak selesa dengan pendekatan yang saya bawa, tetapi ramai juga yang memuji dan meminta saya supaya terus menggunakan pendekatan lantang sebegitu.
Pada saya, kadang-kadang ada isu yang kita adukan sudah lama dimajukan kepada pihak berkepentingan untuk diambil tindakan namun ia hanya dipendamkan begitu sahaja.
Jadi, seolah-olah mereka biarkan sahaja isu-isu yang dibangkitkan tanpa diambil tindakan. Isu yang kita kemukakan ini adalah masalah yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan saya.
Sebagai wakil rakyat yang telah diberikan tanggungjawab dan amanah, saya kena bekerja untuk memastikan setiap aduan yang dikemukakan dan dapat diambil tindakan pihak berwajib.
Pendekatan yang mungkin dilihat agak sedikit kasar tetapi pada saya, ini semua dilakukan untuk kepentingan masyarakat dan warga Hulu Langat.
Contohnya, bila kita agak sedikit berkeras dalam persoalan berkaitan masalah jalan raya berlubang, kita berjumpa dengan pihak kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Kita beri tempoh dalam sebulan untuk menurap semua jalan.
Alhamdulillah tidak sampai seminggu, tindakan telah diambil oleh pihak berwajib bagi membetulkan semua masalah berkenaan.
Pada pandangan saya, kita kena gunakan pelbagai kaedah. Semua ini saya lakukan demi kepentingan warga dan masyarakat yang saya wakili di Hulu Langat.
Saya sebut sekali lagi, soal berkaitan dengan nyawa dan keselamatan rakyat tidak boleh dikompromi. Kalau andai kata satu nyawa hilang, ia tidak boleh ditukar ganti sebab saya sayang setiap penduduk yang terdapat di Parlimen Hulu Langat.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul bertekad melakukan pembaharuan bagi memperkasa Parlimen termasuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap ahli Dewan Rakyat yang mengeluarkan perkataan berbaur perkauman, menghina dan diskriminasi jantina. Pandangan YB berkaitan perkara itu?
Saya rasa bukan hanya setakat di dalam Parlimen iaitu Dewan Rakyat, Dewan Negara atau di Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi bila berada di luar juga.
Malaysia ini tanah tumpah darah kita, tempat dibesarkan, bersekolah, bekerja, mencari makan dan mungkin akan mati di sini suatu hari nanti.
Kalau kita gunakan pendekatan perpecahan, semai benih kebencian, guna sentimen politik, agama untuk memburukkan satu-satu kaum dan bangsa, itu maknanya kita tidak sayang serta cintakan negara. Kita sudah 66 tahun merdeka, sepatutnya semakin matang, bertanggungjawab, berintegriti bila nak keluarkan sesuatu kenyataan.
Kerajaan Perpaduan pada hari ini tiada masalah berhubung isu itu. Kalau pembangkang atau rakyat nak hentam, kritik, maki, marah, kita tiada masalah. Tetapi jangan semaikan budaya kebencian, kepartian, agama dan kaum yang boleh menyebabkan kita rasa tidak selesa.
Sebab itu apa yang diutarakan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat berkaitan dengan perkataan, ayat yang nak digunakan, memang saya sangat setuju. Kita kena berakhlak, beradab dan tunjukkan integriti kita sebagai wakil rakyat. Apabila kita bersidang, biar fakta lawan fakta bukan fakta lawan dengan fitnah dan sebagainya.
Budaya fitnah memang tidak boleh dibenarkan berlaku di negara kita. Budaya ini boleh menghancurkan, mengganggu gugat soal keharmonian, kesepaduan, kesepakatan kehidupan masyarakat dan juga warga dalam negara kita Malaysia.
YB dilihat terlibat aktif dalam beberapa demonstrasi dan bantahan. Contohnya himpunan di hadapan Kedutaan Sweden. YB juga rajin buat kenyataan untuk menyokong nasib rakyat yang terhimpit contohnya menggesa Kementerian Pengangkutan campur tangan keputusan Grab Malaysia kurangkan kadar tambang pemandunya.
Apakah ini salah satu bentuk perjuangan YB untuk rakyat atau hanya sekadar menghangatkan suasana?
Saya tidak menghangatkan suasana. Siapa yang kenal saya di zaman pemuda dahulu, baik ketika di Dewan Pemuda Pas atau Pemuda Amanah, memang saya sentiasa memperjuangkan, membangkitkan isu-isu berkaitan kebajikan, kehidupan masyarakat dalam negara kita.
Baru-baru ini, saya berjumpa dengan pemandu-pemandu Grab. Mereka meluahkan hasrat dan masalah yang dihadapi iaitu berkaitan dengan bayaran yang diterima. Saya juga didatangi dengan sekumpulan persatuan yang mendesak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) secara bersasar.
Ini antara masalah yang dikemukakan kepada saya dan kita telah berjumpa dengan pihak berwajib, menteri, timbalan menteri untuk suarakan masalah itu agar kerajaan dapat menimbangkannya.
Cerita berkaitan KWSP, adakah YB bersetuju untuk kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar?
Saya melihat begini. Sudah dua kali kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan KWSP. Kita tahu itu duit mereka. Tetapi dalam keadaan hari ini, mereka yang tiada kerja menyebabkan susah mencari makanan, sekolahkan anak-anak. Bagaimana pada masa akan datang?
Pada saya, kerajaan kena menilai dan mengkaji berkaitan dengan pengeluaran KWSP bersasar ini sebab tujuan asal mewujudkan KWSP adalah untuk hari tua. Mereka sudah tidak bekerja ketika itu, jadi tidak mahu tinggal dalam RM5,000 sahaja dalam akaun.
Nilai duit sekarang ini pun kita tahu macam mana. Disebabkan kegawatan ekonomi, harga barang mahal.
Sebab itu pada saya, pihak kerajaan kena mengkaji dan memikirkan mekanisme lain untuk membantu rakyat yang memerlukan dalam keadaan ekonomi teruk.
Kena ada cara atau strategi bagi membantu kehidupan rakyat dalam negara.
Karakter YB yang agak 'panas baran' dikatakan telah memburukkan lagi reputasi Pakatan Harapan (PH). Sedangkan rakyat Selangor sekarang mahu beralih kepada blok politik yang lebih tenang, profesional, berpengalaman, bersih dan stabil. Komen YB? Mungkin YB nak perbetulkan semula tanggapan ini?
Kalau kita perhatikan di Selangor pada PRU15 baru-baru ini, kita tengok ada beberapa kerusi Parlimen terlepas ke tangan Perikatan Nasional (PN).
Cuba kita tengok dalam kempen yang dilakukan sebelum ini. Sebab itu saya tekankan budaya fitnah, tipu, tiup sentimen agama, perkauman, ini semua tidak boleh kita benarkan.
Kalau tidak suka dengan kerajaan, mesti fakta lawan fakta. Nyatakan sebab. Contohnya dasar pendidikan, ekonomi, pengangkutan, luar bandar dan sebagainya. Ini sepatutnya yang kita lakukan.
Di Selangor, apa yang digagaskan ada lebih kurang 45 Program Iltizam Selangor Penyayang yang memberi manfaat kepada rakyat di Selangor tanpa mengira agama, bangsa dan sebagainya.
Jadi, pada pilihan raya akan datang seperti saya sebutkan, mungkin rakyat terperangkap soal penipuan, fitnah yang dimainkan pihak tertentu seperti apabila PH menjadi kerajaan, hak Melayu tiada lagi, kedaulatan raja-raja Melayu tercemar dan sebagainya. Semua ini tidak benar.
Sebelum kita menjadi kerajaan di Persekutuan, kita telah mentadbir di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang. Kita tengok di Selangor. raja, masjid, Melayu, sekolah agama, pejabat agama, majlis agama, majlis tazkirah semua ada.
Jadi, pada saya ini adalah tohmahan yang tidak benar. Kita tidak boleh benarkan anasir-anasir itu bermaharajalela melakukan pembohongan dan penipuan. Saya sebutkan tadi, tidak suka tidak mengapa, boleh maki, hentam, marah tetapi mesti berfakta. Jangan buat fitnah, tipu masyarakat dan rakyat khususnya pengundi.
Selama hampir tiga bulan menjadi ahli Parlimen, bagaimana YB melihat pentadbiran Kerajaan Perpaduan? Bagaimana kerjasama yang termeterai antara PH dan Barisan Nasional (BN)?
Pada saya, Kerajaan Perpaduan menggagaskan Malaysia Madani yang membawa maksud masyarakat bertamadun, mempunyai integriti, jati diri, rasa kasih dan sayang pada negara.
Ini merupakan antara sifat yang diperlukan oleh negara bagi membentuk sebuah negara, masyarakat yang bertamadun, integriti.
Pandangan saya, beri peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memimpin negara. Mungkin dalam tempoh dua atau tiga bulan ini kita tidak boleh menilai tetapi dalam tempoh itu, kita telah melihat banyak perkara yang telah dilakukan oleh beliau sebagai Perdana Menteri.
Ini termasuk berkaitan dengan rundingan terus, tender, amalan gejala rasuah dan banyak lagi. Jadi saya rasa ini perkara besar yang dilakukan termasuklah tidak menggunakan kenderaan, rumah rasmi, tidak tukar perabot dan sebagainya.
Kalau kita himpunkan jumlah yang dapat dijimatkan, kita dapat serahkan semula kepada rakyat yang berada dalam keadaan tidak begitu baik pada hari ini.
Pada 15 Januari lalu, YB menyatakan PH Selangor tidak akan memberi laluan kepada BN di kerusi dimenangi mereka pada 2018 untuk PRN 2023. Apakah sudah ada perbincangan rasmi berkenaan pembahagian kerusi?
Perbincangan kerusi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor ini saya tidak terlibat. Namun, saya bersetuju maksudnya mana-mana kerusi yang dimenangi oleh PH, beri parti itu bertanding. Kerusi yang dimenangi UMNO/BN, mereka bertanding.
Mungkin ada kerusi-kerusi yang kalau kita suka atau berminat antara satu sama lain atau kerusi dimenangi PN, boleh dibincangkan secara bersama. Kena ada perbincangan di semua pihak yang terlibat dalam Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini.
Pandangan peribadi YB tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Secara peribadi, beliau merupakan seorang manusia hebat dan luar biasa. Beliau telah diuji kewibawaannya sebagai seorang kepimpinan politik daripada zaman dahulu. Beliau pernah dipenjarakan, dimalukan dan sebagainya. Tetapi beliau bangkit.
Saya rasa ini merupakan satu contoh pimpinan yang generasi muda pada hari ini kena ikut. Antara perkara yang ada pada diri beliau iaitu ketahanan, kesabaran juga semangat pahlawan sepatutnya menjadi satu contoh oleh setiap warga dalam negara kita Malaysia.
Saya rasa Malaysia beruntung memiliki seorang Perdana Menteri yang mempunyai 1001 pengalaman.
Dengan pengalaman yang beliau miliki iaitu pernah menjadi tokoh pemuda, timbalan menteri, menteri, timbalan perdana menteri, ini semua merupakan bonus yang saya rasa rakyat Malaysia kena berbangga.
Harapan YB terhadap Kerajaan Perpaduan?
Kerajaan hari ini kena bantu rakyat sebab sekarang ini banyak daripada mereka berada dalam keadaan susah. Kerajaan yang ada sekarang ini semasa jadi pembangkang dahulu selalu menyatakan bahawa kalau jadi kerajaan, kita nak bantu, tolong, mensejahterakan kehidupan rakyat dalam negara dan sebagainya.
Sekarang ini, PH sudah membentuk kerajaan Pusat dan kita sudah mentadbir, jadi perkara ini kena lakukan. Jadikan usaha membantu rakyat ini sebagai satu prioriti kepada kita.
Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini adalah untuk membela, menjaga, membantu seluruh kehidupan rakyat negara Malaysia.