SHAH ALAM - Kerajaan akan mempertimbang saranan supaya golongan belia diberikan perlindungan takaful dan insurans mampu milik atau Insurans Rahmah serendah RM50 dengan manfaat lebih kompetitif bagi memastikan keselamatan dan kebajikan golongan itu dilindungi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, saranan itu seiring dengan hasrat kerajaan yang mahu memperluas inisiatif Rahmah kepada sektor perbankan dan insurans.
"Saya sedang memikirkannya (saranan berkenaan) tapi perkara itu juga perlu dibincangkan dengan pihak insurans dan bank. Jadi biarlah libat urus berkenaan diadakan terlebih dahulu kemudian saya akan umumkan nanti.
"Saya bercadang selepas tamat sesi sidang Parlimen, saya akan segera buat satu sesi libat urus dengan pihak insurans dan bank untuk membincangkan tentang pakej atau skim insurans yang bagaimana akan diperkenalkan termasuk kepada golongan belia dan orang muda hari ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan muka depan Sinar Ahad yang menyarankan kerajaan menyediakan perlindungan takaful atau insurans mampu milik serendah RM50 kepada golongan belia berumur 18 hingga 25 tahun khususnya yang kurang berkemampuan.
Langkah itu perlu kerana ramai anak muda ketika ini tidak memiliki insurans sekali gus terdedah risiko sekiranya berlaku kemalangan yang menyebabkan mereka terpaksa mengeluarkan wang sendiri yang banyak untuk perubatan atau hilang upaya kekal dan tidak mampu bekerja.
Salahuddin terdahulu pada Sabtu dilaporkan berkata, kerajaan terbuka untuk memperluas inisiatif Rahmah kepada sektor perbankan dan insurans.
Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menjelaskan, perbincangan akan dibuat untuk memastikan kebajikan rakyat dijaga, setidak-tidaknya perlu ada satu skim yang melindungi kesihatan mereka.
"Apa yang penting, menerusi konsep Rahmah yang dicadang untuk diperluaskan ini, rakyat akan mendapat manfaat,” tegas beliau lagi.
Katanya, inisiatif berkenaan juga diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan setiap individu memiliki perlindungan insurans.
KPDN mula memperkenalkan Menu Rahmah pada 31 Januari lalu yang menawarkan makanan tengah hari dan malam serendah harga RM5 dengan lebih 15,000 premis menyahut kempen tersebut.
Sajian itu merangkumi nasi, sayuran dan satu pilihan protein sama ada ayam, daging atau ikan.
Inisiatif itu dijangka diperluas kepada Raya Rahmah menjelang Aidilfitri kira-kira dua bulan lagi.
Klik di sini untuk terus membaca