SHAH ALAM - Malaysia berada di kedudukan ke-11 negara paling ramai data penggunanya telah diceroboh pada suku kedua 2022.
Pakar Undang-undang Siber daripada Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Abu Bakar Munir berkata, ia berdasarkan kajian terbaharu oleh syarikat keselamatan siber Surfshark.
Menurut laporan ketirisan data oleh Surfshark, sepanjang tempoh April hingga Jun 2022, lebih daripada 665,200 pengguna Malaysia telah diceroboh, manakala sejak 2004 terdapat 44.2 juta akaun yang diceroboh.
"Menurut laporan-laporan di Singapura, kebanyakan punca berlakunya kebocoran data adalah sistem organisasi yang kurang memuaskan. Bagi saya, kita mempunyai teknikal yang kurang bagus, dan sistem organisasi yang tidak diperhatikan.
"Organisasi ini termasuk latihan, polisi dan pengurusan risiko yang perlu dipertingkat untuk mengurangkan isu ketirisan data. Jika kebocoran data berlaku, pengawal selia dan data subjek harus diberitahu untuk menggalakkan akauntabiliti dan ketelusan.
"Dengan adanya kriteria tersebut, syarikat akan lebih berhati-hati untuk melindungi data dan memperkuatkan sistem mereka sama ada dari segi teknikal mahupun organisasi,” katanya kepada Sinar Premium.
Tambahnya, trend penipuan yang biasa dilakukan oleh scammer di Malaysia adalah dengan menggunakan teknik satu panggilan telefon atau mesej sahaja.
"Kalau kita lihat kes penipuan ini biasanya bermula daripada satu panggilan telefon atau mesej. Persoalannya, dari mana mereka mendapatkan nombor telefon? Walhal, ia merupakan data peribadi yang patut dijaga.
"Sekiranya kebocoran data boleh diatasi, Malaysia boleh menjadi lebih kompetitif untuk pelaburan dan hab kewangan,” katanya.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes jenayah komersial seperti penipuan dan pemalsuan untuk mendapatkan barang-barang dan wang telah menyebabkan kerugian sebanyak RM1.73 bilion dengan 30,536 kes pada tahun lalu.
Lebih membimbangkan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendedahkan sejumlah 67,552 kes penipuan membabitkan kerugian bernilai RM2.23 bilion dilaporkan sejak 2017 sehingga 20 Jun 2021.
Susulan itu, Kementerian Komunikasi dan Digital berhasrat meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) bagi tujuan keselamatan dan membendung ketirisan data.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata pindaan itu bukan sahaja bertujuan mengukuhkan akta berkenaan, tetapi juga untuk memastikan semua organisasi yang mengendalikan data peribadi bertanggungjawab melindungi maklumat pengguna.
Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi, Mazmalek Mohamad berkata, akta tersebut wajar dipinda selari dengan kepesatan teknologi yang memuncak ketika ini.
"Akta itu sudah 12 tahun lamanya. Bagi saya, ia sangat penting untuk dipinda terutamanya apabila kita hidup dalam dunia pendigitalan perbankan dan media sosial.
"Bagi saya, sudah tiba waktu untuk kita mengkaji semula dan menambah elemen yang boleh memantau data pengguna.
"Bayangkan, berapa ramai yang tanpa sedar berkongsi nombor telefon sekali gus mendedahkan data peribadi kepada orang lain? Oleh itu, akta ini sangat penting untuk dijadikan rujukan standard dan melindungi data pengguna,” katanya.
Selain itu, Mazmalek berpandangan pemindaan akta ini juga adalah usaha kementerian untuk meletakkan tanggungjawab yang lebih kepada syarikat yang menguruskan data peribadi pelanggan.
"Isunya apabila syarikat-syarikat yang menjaga data pelanggan tidak melihat kebocoran data sebagai ancaman atau masalah yang besar kepada pelanggan.
"Mereka seolah-olah tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku ketirisan data dan hanya mengharapkan tindakan daripada kerajaan. Walhal, kebocoran data itu boleh menjejaskan imej seseorang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca