LANGKAH Kementerian Ekonomi mahu menyemak semula kategori kumpulan pendapatan isi rumah di Malaysia sekarang adalah selari dengan dasar Membangun Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru... Klik di sini untuk terus membaca

LANGKAH Kementerian Ekonomi mahu menyemak semula kategori kumpulan pendapatan isi rumah di Malaysia sekarang adalah selari dengan dasar Membangun Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Tindakan itu tepat berikutan pendekatan sedia ada dengan memecahkan kumpulan isi rumah mengikut kategori seperti pendapatan isi rumah terendah (B40), pertengahan (M40) dan tertinggi (T20) adalah kurang tepat.

Ramai pemerhati ekonomi berpandangan sistem pecahan kumpulan pendapatan isi rumah sedia ada tidak mengambil kira pelbagai faktor utama lain termasuk demografi, bilangan anak dan kawasan lokaliti diduduki rakyat.

Sebagai contoh, seseorang berpendapatan sederhana (M40) tinggal di Kuala Lumpur dan mempunyai pendapatan isi rumah kira-kira RM4,500 sebulan, mereka boleh dikategorikan sebagai miskin bandar.

Hal ini kerana mereka tidak mampu menampung kos sara hidup di ibu kota mencecah RM6,500 sebulan dan RM5,500 di kawasan Lembah Klang.

Justeru, tidak hairanlah jika ramai dalam kalangan golongan berpendapatan rendah (B40) dan M40 yang menetap di Lembah Klang terpaksa melakukan lebih daripada dua kerja termasuk menjadi pemandu teksi dan terlibat dalam sektor ekonomi gig.

Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Datuk Dr Madeline Berma berkata, langkah untuk semak semula kategori pendapatan isi rumah adalah tepat kerana wacana ilmiah sekarang berpandangan kaedah mengklasifikasikan golongan isu rumah mengikut kumpulan B40, M40 dan T20 (berpendapatan tinggi) kini sudah tidak lagi relevan.

Madeline

Katanya, ramai pengkaji dan tokoh akademik sekarang lebih suka mengkategorikan golongan miskin dan memerlukan bantuan kerajaan sebagai kumpulan rentan.

"Sebagai contoh, sesebuah keluarga itu berada di kategori M40, namun mempunyai seorang anak kelainan upaya (OKU) maka sebenarnya dia berada di kategori B40 kerana kos menjaga anak istimewa adalah tinggi,” katanya kepada Sinar Premium.

Madeline berkata demikian mengulas laporan media mengenai cadangan Kementerian Ekonomi menyemak semula kategori kumpulan pendapatan isi rumah sedia ada bagi membolehkan bantuan yang lebih bersasar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) nanti.

Menterinya, Rafizi Ramli dipetik sebagai berkata, semakan ini akan mengambil kira perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan, kos sara hidup, kuasa beli, demografi dan lokasi isi rumah.

Berikutan itu, Madeline menjelaskan langkah utama perlu dilakukan kerajaan adalah dengan memecahkan seluruh rakyat Malaysia sebagai dua kategori utama iaitu miskin dan bukan miskin dengan menggunakan ukuran garis kemiskinan bandar, luar bandar dan pedalaman.

Beliau juga berpandangan kerajaan perlu memansuhkan kategori pendapatan isi rumah penduduk di Malaysia yang ketika ini masih mengikut sistem kategori B40, M40 dan T20 untuk dirombak kepada 10 kategori baharu.

Katanya, tindakan itu perlu kerana data tahun lalu menunjukkan kira-kira 12 peratus golongan T20 kini sudah jatuh di bawah kategori M40, manakala lebih 20 peratus kumpulan M40 jatuh ke kategori B40.

"Senario itu berlaku kerana pelbagai faktor termasuk ketua keluarga dibuang kerja dan pendapatan berkurangan akibat penularan pandemik Covid-19 serta kemerosotan ekonomi global.

"Keadaan ini bertambah buruk apabila ramai golongan rentan sukar menerima bantuan kerajaan kerana kesukaran mendaftar secara atas talian dalam sistem permohonan e-Kasih dikelolakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Madeline berkata, kerajaan juga perlu melakukan pembersihan terhadap data sistem e-Kasih bagi memastikan hanya mereka benar-benar layak menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.

"Saya difahamkan ramai penerima bantuan e-Kasih sebenarnya bukan lagi berada di bawah paras kemiskinan tegar, namun enggan dikeluarkan daripada pangkalan data berkenaan kerana mahu menjadikannya sebagai jalan pintas hidup senang,” tegasnya.

Pengelasan isu rumah mengikut pendapatan.
Pengelasan isu rumah mengikut pendapatan.

KAEDAH PENGUKURAN KURANG TEPAT

Sementara itu, Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga bersependapat dengan Madeline bahawa kaedah pengukuran garisan kemiskinan digunakan kerajaan sekarang adalah kurang tepat kerana banyak faktor lain tidak diambil kira.

Beliau sebaliknya menegaskan kaedah paling tepat patut digunakan kerajaan bagi mengenal pasti golongan miskin tegar termasuk di bandar besar ialah dengan mengambil kira aspek bilangan anak, taraf kesihatan, lokaliti dan pendapatan bulanan.

Ahmed Razman
Ahmed Razman

"Sebagai contoh purata pendapatan isu rumah di Kuala Lumpur dan Lembah Klang adalah melebihi RM5,000 hingga RM6,000 sebulan tetapi definisi M40 adalah berpendapatan lebih RM4,000 sebulan.

"Jadi golongan M40 berpendapatan lebih RM4,000 sebulan yang tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Klang tidak menerima sebarang bantuan kerajaan walaupun kos sara hidup mereka tinggi setiap bulan.

"Saya setuju jika kerajaan menggunakan data lebih terperinci bagi membolehkan kita memberi bantuan kepada golongan benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan itu relevan kerana bilangan golongan miskin bandar kini semakin meningkat berikutan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang melanda seluruh negara ketika ini.

Keadaan itu, kata Ahmed Razman menyebabkan timbulnya fenomena ‘Keluarga Sandwich’ di mana datuk, nenek, ibu bapa, anak dan cucu terpaksa tinggal sebumbung dalam satu rumah sama demi penjimatan perbelanjaan menangani kos sara hidup tinggi terutama di bandar.

Justeru itu, beliau berharap Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri kelak akan memberikan lebih banyak bantuan secara bersasar dan khususnya kepada golongan rentan bukannya mengikut kayu ukur sedia ada.

Klik di sini untuk terus membaca