SHAH ALAM - Kerajaan dicadang menyediakan sumbangan sehingga 25 peratus melalui perlindungan takaful atau polisi insurans serendah RM50 khususnya kepada golongan belia yang bekerja sendiri.
Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berkata, ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan beban golongan muda yang tidak dilindungi insurans dan terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk kos perubatan.
"Kerajaan boleh tawar kepada belia perlindungan takaful serendah RM50 di mana kerajaan boleh sumbang 20 hingga 25 peratus manakala 75 hingga 80 peratus lagi dicarum oleh belia.
"Golongan muda yang bekerja sendiri itu membayar sendiri ansuran bulanan takaful.
Jadi mereka boleh tuntut sebanyak 20 hingga 25 peratus daripada jumlah keseluruhan bayaran takaful daripada kerajaan secara tahunan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Abdul Rahim, kerajaan juga boleh menjadi pengantara antara belia dengan syarikat insurans bagi memastikan golongan belia mendapat manfaat pakej perlindungan takaful dengan harga mampu milik.
"Malah menerusi persetujuan kedua-dua pihak pekerja dan syarikat, bayaran takaful itu boleh dibuat menerusi pemotongan gaji bagi memastikan belia tidak terlupa untuk membayar polisi insurans berkenaan,” ujarnya.
Jelasnya, polisi insurans amat bermanfaat susulan kos perubatan yang tinggi buat masa ini.
"Sekurang-kurangnya jika berlaku kejadian tidak diingini, anak muda khususnya yang bekerja sendiri tidak perlu menunggu lama untuk dapatkan rawatan di hospital. "Sekarang ada kes mereka yang tidak berkemampuan dari segi kewangan, memilih rawatan alternatif atau tradisional untuk kurangkan kos,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca