SANTAPAN ‘bajet’ diperkenalkan sebagai Menu Rahmah berharga RM5 hasil inisiatif Kerajaan Perpaduan bermula 31 Januari lalu telah membuka ruang solusi baharu dalam usaha menangani krisis inflasi makanan dan lonjakan harga barang yang terus menghantui seluruh rakyat di negara ini.
Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini telah membongkarkan pada Januari lepas harga sayur-sayuran di pasaran tempatan telah melonjak kepada 160 peratus.
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menyatakan harga beberapa jenis sayuran telah menyaksikan kenaikan cukup mendadak misalnya daripada antara RM4.50, RM6 dan RM7 sekilogram naik sehingga RM10, RM12 serta RM16 sekilogram.
Mohideen turut mengingatkan bahawa harga setiap jenis sayur-sayuran itu di pasaran bakal mengalami kenaikan harga yang luar biasa.
Senario lonjakan harga sayur-sayuran itu pastinya merumitkan lagi beban yang dipikul golongan B40 dan juga M40 serta menyukarkan kelangsungan hidup untuk menjamu makanan serba sihat dalam harga yang murah mahupun berpatutan.
Mohideen mengesyorkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) segera menyiasat isu kenaikan harga sayur-sayuran itu sekali gus mengambil tindakan sewajarnya terhadap para peniaga yang dengan sengaja mengambil untung secara berlebihan.
Perbuatan para peniaga itu juga boleh diklasifikasikan sebagai tindakan bercanggah kepada Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 yang bertindak sebagai benteng penghalang kepada mana-mana peniaga menaikkan harga secara sewenang-wenangnya.
Justeru Malaysia Nanban turut menghargai dan berpendapat pelancaran inisiatif Menu Rahmah RM5 itu adalah tepat pada waktunya di mana rakyat jelata terutama yang berstatus pendapatan B40 dan miskin tegar dapat menikmati sajian ‘bajet’ enak serta sihat.
Inflasi makanan boleh dikatakan serba sedikit telah merampas ‘kemewahan’ yang dinikmati golongan B40 untuk mampu membeli makanan di restoran pada harga berpatutan.
Dengan pelancaran inisiatif Menu Rahmah RM5 itu, rakyat jelata daripada golongan B40 tidak lagi menghadapi kesukaran untuk membeli makanan di restoran mengikut kemampuan mereka.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, lebih 15,000 restoran daripada tujuh persatuan pengusaha makanan dan minuman telah memberi komitmen untuk menawarkan Menu Rahmah di premis masing-masing.
Jelas Malaysia Nanban lagi, ketika krisis inflasi makanan, sajian tengah hari di mana-mana restoran tempatan sudah ditetapkan dalam lingkungan harga RM7 hingga RM10.
Sebelum ini, orang ramai mampu berkunjung ke restoran untuk menikmati sajian biasa yang berharga RM5, namun kini mereka tak dapat berbuat demikian disebabkan inflasi makanan.
Pengusaha restoran juga merungut bahawa kenaikan harga bahan mentah di pasaran tempatan mengakibatkan mereka terpaksa menaikkan harga menu makanan yang telah membebankan para pengguna dalam kalangan B40.
Inisiatif Menu Rahmah RM5 itu meskipun mendapat pujian dan penghargaan daripada rakyat Malaysia manakala keberkesanan solusi itu untuk jangka masa panjang harus diteliti oleh pihak kerajaan.
Ujar Malaysia Nanban bahawa harga RM5 untuk makanan dan minuman masih diklasifikasikan sebagai harga kurang mampu untuk golongan miskin dan miskin tegar.
Berikutan itu, pihak kerajaan, KPDN, pengusaha restoran, peniaga, pemborong dan sebagainya perlu mengenal pasti masalah tunjang yang menghalang penurunan lonjakan harga barang secara natural dan menyelesaikannya pada kadar segera.
Malaysia diibaratkan sebagai ‘syurga’ santapan pelbagai etnik dan kaum di rantau Asia dan rakyatnya juga sudah sebati dengan tradisi makanan variasi cita rasa daripada masakan Melayu, Cina, India mahupun kulinari dari Sabah dan Sarawak serta kolonial.
Penyelesaian muktamad amat diperlukan bagi menangani ancaman lonjakan harga barang serta kerajaan terus memperkenalkan inisiatif berkesan bagi mengembalikan kemampuan rakyat jelata untuk menikmati kehidupan bebas inflasi makanan.
*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Klik di sini untuk terus membaca