GAZIANTEP - Di sebalik pelbagai kisah keperwiraan penduduk menyelamatkan mangsa gempa bumi dahsyat di Turkiye, mungkin ramai tidak mengetahui tentang kisah keberanian seorang jururawat yang sanggup mengabaikan keselamatan diri sendiri demi melindungi nyawa orang lain.
Seyma Alakus yang bertugas di Hospital Kanak-Kanak Inayet Topcuoglu diangkat sebagai wira kerana berusaha bermati-matian menyelamatkan pesakit ketika gempa bumi kuat 7.8 skala Richter menggegarkan wilayah Gaziantep pada 6 Februari lalu.
Semasa kejadian, Seyma bertugas syif malam dan wanita itu tidak berfikir panjang sebaik menyedari berlaku gegaran serta terus bergegas ke wad kecemasan untuk menyelamatkan kanak-kanak yang ditempatkan di situ.
Aksi berani dan mendapat pujian ramai itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) hospital berkenaan.
IKUT GERAK HATI
Mengulas lanjut pengalaman mendebarkan itu, Seyma memberitahu dia sedang berbual dengan rakan setugas di bahagian kaunter sebelum merasai bangunan hospital seperti digoncang.
Berbanding lari menyelamatkan diri, Seyma bergegas masuk ke wad kecemasan kerana menyedari terdapat beberapa kanak-kanak yang ditahan dan sedang menjalani rawatan.
Selain Seyma, beberapa jururawat lain turut dirakam bergegas memasuki unit rawatan rapi neonatal (NICU) hospital berkenaan.
Rakan setugas Seyma, Devlet Nizam dan Gazwl Caliskan dilihat memegang erat inkubator yang menempatkan bayi-bayi pramatang sehingga gegaran berhenti sekali gus mengelak perkara lebih buruk berlaku.
"Saya hanya mengikut gerak hati. Beberapa kanak-kanak di wad kecemasan itu adalah di bawah jagaan saya, jadi adalah tanggungjawab saya untuk memastikan mereka semua selamat.
"Saya akan lakukan perkara sama, biarpun mereka bukan pesakit saya,” ujar Seyma.
HILANG SAUDARA-MARA
Dalam pada itu, Seyma memberitahu dia turut kehilangan saudara-mara semasa gegaran kedua melanda Gaziantep.
"Ibu, bapa dan adik-beradik lain selamat tetapi saya kehilangan ramai saudara-mara.
"Keluarga kini berlindung sementara di Bursa kerana rumah kami telah ranap.
"Saya pula akan meneruskan tugasan di hospital,” katanya.
Tambah Seyma, walaupun terdapat kebimbangan berikutan gegaran susulan, namun dia perlu cekalkan semangat demi membantu mangsa gempa bumi.
"Saya tidak boleh menyerah kalah. Saya dan rakan-rakan lain akan melakukan yang terbaik bagi membantu orang ramai yang terjejas dalam bencana alam ini.
"Biar pun terdapat gegaran susulan tetapi hati dan minda kami tetap fokus kepada pekerjaan,” ujarnya.
PUJIAN MENGGUNUNG
Sementara itu, Kementerian Kesihatan memuji keberanian Seyma dan jururawat lain selepas rakaman aksi berani mereka tular di media sosial.
Menteri Kesihatan, Dr Fahrettin Koca turut berkongsi dua klip video dari Hospital Inayet Topcuoglu di akaun Twitternya.
"Rakan-rakan kami di Hospital Inayet Topcuoglu wajar diberikan pujian dan penghargaan kerana menyelamatkan anak-anak kita yang sakit.
"Mereka sanggup mengorbankan nyawa semasa gempa bumi sedang melanda,” kata Fahrettin.
Sementara itu, media sosial turut dibanjiri pujian susulan aksi berani dan terpuji ditonjolkan Seyma.
Seorang pengguna Twitter melabelkan Seyma dan rakan setugasnya yang lain sebagai wira tak didendang. - Agensi
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Klik di sini untuk terus membaca