TARIKH 24 Februari ini saat yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia apabila kerajaan akan membentangkan semula Bajet 2023. Bajet ini amat penting dan kritikal susulan daripada situasi ekonomi semasa yang disebabkan oleh ketidaktentuan... Klik di sini untuk terus membaca

TARIKH 24 Februari ini saat yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia apabila kerajaan akan membentangkan semula Bajet 2023. Bajet ini amat penting dan kritikal susulan daripada situasi ekonomi semasa yang disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi global.

Kesan daripada krisis yang berlaku sejak tahun 2020 iaitu Covid-19 belum berakhir dan ia ditambah pula dengan pelbagai krisis global lain yang berlaku secara serentak dan berterusan, daripada krisis keselamatan makanan sehinggalah berlakunya kenaikan harga barangan yang melambung luar daripada jangkaan rakyat.

Kenaikan harga barang yang luar biasa pada ketika ini sememangnya sesuatu yang membimbangkan semua pihak dan rakyat secara keseluruhannya begitu terasa dengan keadaan tersebut, lebih-lebih lagi ianya membabitkan barang makanan.

Sekiranya kita membeli barangan keperluan harian khususnya barang makanan tentu sekali kita dapat merasai kenaikan harga pada ketika ini disebabkan oleh banyak faktor yang terlibat termasuk kebergantungan kepada barangan import, peperangan Rusia dan Ukraine serta perubahan iklim yang menjejaskan pengeluaran makanan.

Terdapat keperluan untuk kerajaan meneruskan inisiatif yang baik untuk rakyat berdasarkan kepada kesesuaian dan ia boleh menjadi satu kesinambungan terhadap semua inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini.

Rakyat secara keseluruhannya menanti inisiatif kerajaan melalui Bajet 2023 dan impaknya kepada kehidupan rakyat tahun ini khususnya dalam konteks kawalan harga barang.

Selain daripada mengawal harga barangan dan meningkatkan pendapatan rakyat, terdapat tiga cadangan khusus yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat walaupun sebahagian cadangan mungkin pada kaca mata sesetengah pihak kecil nilainya tapi penting untuk dilaksanakan.

Pertamanya adalah caj RM1 yang dikenakan bagi transaksi pengeluaran antara bank menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) boleh dipertimbangkan untuk dihentikan. Walaupun nilainya RM1 namun ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban rakyat.

Sekurang-kurang jika masih ingin diteruskan maka ianya boleh dikenakan kepada warga asing atau mereka yang membuat pengeluaran wang secara tunai dalam jumlah yang besar.

Kedua, kerajaan dan TNB boleh mempertimbangkan untuk membuat pengecualian surcaj lewat bayar bil elektrik. Perkara ini amat membebankan rakyat khususnya apabila mereka yang berhadapan dengan tekanan ekonomi dan terpaksa menangguhkan bayaran bil disebabkan oleh kenaikan kos sara hidup yang naik secara mendadak. Bukan sahaja bil tertunggak perlu dibayar bahkan ia ditambah pula dengan surcaj lewat bayar bil elektrik.

Pengecualian surcaj lewat ini pernah dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari dan ia wajar dilaksanakan pada ketika ini yang mana rakyat masih belum keluar daripada krisis ekonomi dan bakal berhadapan dengan tahun-tahun mencabar.

Ketiganya pada ketika ini terdapat caj penyambungan semula talian oleh sebahagian besar jika bukan semua Syarikat Telco sekiranya talian mereka digantung yang antaranya disebabkan oleh bayaran tertunggak di dalam tempoh tertentu. Pengguna bukan sahaja perlu membayar bil yang yang tertunggak bahkan perlu membayar caj sambungan semula talian sebanyak RM10.

Oleh yang demikian, berdasarkan situasi semasa dalam kesempitan hidup sebahagian rakyat disebabkan oleh kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang menyebabkan kekurangan tunai di tangan, maka caj penyambungan semula talian wajar dihentikan.

Sekurang-kurangnya caj penyambungan semula talian dapat dihentikan seketika sekiranya ia tidak dapat dihentikan selamanya. Ini antara beberapa perkara yang mungkin dilihat kecil oleh sebahagian pihak tapi sebenarnya besar manfaatnya bagi pihak yang lain.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca