PERDANA Menteri UK, Rishi Sunak baru-baru ini merombak semula kabinetnya. Antara sebab utamanya adalah untuk menstrategi semula agenda Net Zero yang kini menjadi keutamaannya. Jadi beliau memerlukan sebuah pasukan yang terbaik bersamanya.
Rakyat tentulah gembira dengan strategi Net Zero ini, apabila ia memberi penekanan untuk menangani isu perubahan iklim. Tapi, pada masa yang sama, tak sedikit yang curiga.
Tatkala rakyat diminta lebih berhemah dengan alam, khususnya polisi pengenaan cukai untuk mengawal alam sekitar, syarikat-syarikat besar pula mengaut keuntungan besar. Tiada pula tekanan untuk mereka membayar harga yang mahal kerana kerosakan yang dilakukan.
Sebuah syarikat gergasi minyak, umpamanya, pada tahun 2022 telah mencatatkan keuntungan terbesar sejak 115 tahun. Ia mengumumkan pemberian sehingga 22 bilion pound dividen kepada pemegang syer di seluruh dunia dan menjadi syarikat yang paling untung di UK.
Tiada salahnya membuat untung besar, cuma yang membuat rakyat marah adalah apabila Kerajaan UK hanya mengenakan 100 juta pound cukai atas keuntungan yang dibuat syarikat tersebut. Tambahan pula, ia telah gagal melaksanakan peranannya menangani perubahan iklim seperti yang dijanjikan.
Ironinya, rakyat yang kelihatannya sentiasa rugi. Dalam ketidaktentuan ekonomi dan kadar inflasi yang melambung naik, jutaan rakyat UK masih tidak mampu melunaskan bil elektrik dan gas mereka yang meningkat sehingga 50 peratus tahun lepas.
Asalnya, mereka dimomokkan dengan konflik Ukraine dan Rusia sebagai punca utama kenaikan harga minyak dan gas di Eropah dan UK. Setelah itu, datang pula momokan bahawa tarif baharu satu keperluan untuk merealisasikan Net Zero.
Tapi alasan-alasan itu kelihatannya kian tersasar dari realiti. Manakan tidak, saat rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi, syarikat-syarikat minyak dan gas boleh pula meraih keuntungan luar biasa besarnya.
Saat rakyat diminta memainkan peranan dalam menangani perubahan iklim, pemain industri yang merupakan antara penyumbang utama pelepasan gas rumah kaca ini pula cuba cuci tangan dengan pelbagai helah greenwashing mereka.
Bukan itu sahaja, kelihatannya masyarakat miskin juga selalu menjadi mangsa ‘keselesaan’ puak konglomerat kaya. 40 tahun dulu, Robert Bullard, seorang sarjana yang amat berpengaruh dalam bidang environmental justice, berjaya membuktikan di Amerika Syarikat, kawasan yang diduduki orang kulit hitam berpendapatan rendah sering dipilih menjadi tapak pembuangan sampah. Beliau gelarkan ini sebagai environmental racism.
Di UK misalnya, kawasan dengan penduduk termiskin dan pelbagai etnik yang tinggi adalah tiga kali lebih cenderung dipilih menjadi tapak insinerator pelupus sisa buangan. Meski dibantah penduduk, Edmonton, Utara London yang merupakan kawasan termiskin di negara ini terus menyaksikan naik taraf kapasiti insinerator sedia ada kepada 200,000 tan.
Kini, environmental injustice di UK nampaknya sudah tidak mengira taraf sosio-ekonomi dan warna kulit. Tidak hairanlah apabila agenda Net Zero mahupun konflik Ukraine-Rusia dituduh sebagai lencongan strategik dan konspirasi untuk mengayakan segolongan kecil manusia dengan menekan sebahagian besar dari rakyatnya.
Firasat mereka seolah-olah disahihkan dengan kenyataan oleh George Dibb, pakar dalam isu kesaksamaan ekonomi dari Institute of Public Policy Research UK. Beliau melihat ini sebagai sebuah ‘strategi terancang pihak-pihak tertentu untuk memindahkan kekayaan daripada pembayar bil kepada pemegang syer syarikat minyak dan gas’.
Nampaknya, dunia hari ini, alam bukan sahaja dijadikan mangsa kerakusan, malah ia juga objek kekayaan manusia.
Apa yang dilalui di UK ini haruslah kita jadikan iktibar. Usaha memelihara alam sekitar dan menangani perubahan iklim mestilah dibuat dengan lebih adil.
Pihak yang paling banyak merosakkan alam sekitar harus dipastikan membayar harga yang setimpal. Jangan pula kita tersilap membebankan rakyat dengan ‘dosa-dosa’ mereka ini.
Manusia dan alam sememangnya telah lama menjadi seperti rakan baik yang tidak pernah memahami, malah saling bermusuh.
Namun dengan senjata kuasa dan wang, manusialah yang selalunya terlihat lebih kuat serta sentiasa menang.
Malah berwaspadalah, alam juga mampu melampiaskan dendam amarahnya. Jangan biar alam pula 'menjual' kita semua kerana jika waktu itu tiba, kuasa dan wang bukan lagi harganya, tapi nyawa kitalah yang menjadi sandarannya.
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College, London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena, Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca