MENYENTUH semula idea besar daripada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sebenarnya sudah lama difikirkan. Membangun Malaysia Madani bagi membina masa depan negara adalah idea besar berkenaan. Ia terdiri daripada enam tonggak... Klik di sini untuk terus membaca

MENYENTUH semula idea besar daripada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia sebenarnya sudah lama difikirkan. Membangun Malaysia Madani bagi membina masa depan negara adalah idea besar berkenaan.

Ia terdiri daripada enam tonggak dasar, iaitu Kemampanan (M), Kesejahteraan (A), Dayacipta (D), Hormat (A), Keyakinan (N), dan Ihsan (I). Sejujurnya, amanat PM itu berpaksikan latar pengalamannya dalam keprihatinan dan perjuangan rakyat, bermula daripada gerakan pelajar, aktivis sosial, ahli politik,pemimpin kerajaan, sehinggalah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Hubungan Malaysia-Indonesia sememangnya rapat dan mesra yang berpaksikan semangat serumpun. Kesamaan bahasa, kaum, agama dan adat resam telah mencorak idea dan pengalaman yang sama dalam sejarah kontemporari dua negara bangsa berkenaan. Wujudnya pemikiran kaum muda pada hujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 Masihi contohnya, telah mencorak gerakan pembaharuan Islam di Malaysia dan Indonesia.

Walaupun wujud idea politik Melayu Raya/Indonesia Raya, sebelum Perang Dunia ke-2 (1939-1945) yang telah memberi kesan hasrat untuk bersatu sebagai satu negara-bangsa serumpun, namun begitu ia tidak berjaya dimaterikan.

Anwar yang mempunyai hubungan rapat dan mesra dengan para pemimpin Indonesia kerap berbincang, berkongsi idea dan pengalaman, termasuklah mewacanakan ‘Masyarakat Madani’ pada 1990-an dengan rakan-rakan Cendekiawan Muslim Indonesia, khasnya dengan Nurcholish Madjid (Cak Nur).

Anwar ialah Pengasas dan Setiausaha Agung Perhimpunan Mahasiswa Islam Asia Tenggara (Permiat). Manakala Cak Nur ialah Presidennya pada 1970/1980-an.

Mereka berdua berkongsi idea dan pengalaman bahawa konsep madani sememangnya merujuk kepada masyarakat Muslim yang dibina Nabi Muhammad SAW, dengan berasaskan kepada Piagam (Perlembagaan) Madinah pada kurun ke-7 Masihi.

Perlembagaan itu berjaya menyatupadukan masyarakat Madinah yang berbilang kaum, agama, dan budaya di satu segi. Tugasan penting cendekiawan Muslim, pada Anwar dan Cak Nur, adalah mencontohi nilai-nilai dan etika kepimpinan Baginda dalam mentadbir urus masyarakat yang berbilang kaum, agama, dan budaya.

Lantaran itu, sama ada Anwar mahupun Cak Nur, sejak belia lagi sudah yakin dan berazam memperjuangkan kewujudan masyarakat madani di Malaysia dan Indonesia.

Tapi strategi dan kaedah Anwar dan Cak Nur berbeza dalam mengaktualisasikan konsep madani di Malaysia dan Indonesia. Cak Nur guna pendekatan budaya dan pendidikan, serta berjuang di luar kuasa politik kerajaan, untuk mewujudkan Indonesia madani. Manakala Anwar menerusi strategi dan pendekatan politik, dengan menyertai kerajaan.

Kini Anwar sudah menjadi PM ke-10. Kuasa politik sudah ada di tangannya dan kekal berhasrat untuk memperjuangkan terwujudnya Malaysia Madani. Pada Anwar, yang kerap memetik sajak terbilang W.S. Rendra, "perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata”. Kata madani kini tengah dan akan terus diperjuangkan kewujudannya oleh Anwar.

Malaysia Madani jelas tidak menghakis konsep PM Malaysia sebelumnya, sama ada Bangsa Malaysia (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan Islam Hadhari (Tun Abdullah Badawi) mahupun 1Malaysia (Datuk Seri Najib Razak) dan Keluarga Malaysia (Datuk Seri Ismail Sabri).

Hanya saja, dalam kaitan Islam dan Malaysia Madani, nampaknya Anwar lagi bersetuju dengan pandangan Mohamad Hatta, Timbalan Presiden dan Bapak Kemerdekaan Indonesia (1945-1956), bahawa masyarakat Muslim kena menolak idea Islam macam buah tembikai (di luar hijau tetapi di dalam merah).

Umat Islam di Indonesia, termasuklah di Malaysia, kena mengikut ilmu garam dalam masakan (tidak nampak, tetapi terasa sedapnya). Natijahnya, enam tonggak dasar daripada Malaysia Madani yang digagas Anwar ialah nilai-nilai Islam universal, inklusif, dan rahmatan lil-‘alamin, yang selari dengan ilmu garam dalam masakan.

* Andi SUWIRTA ialah alumni HMI (Himpunan Mahasiswa Islam) Cawangan Bandung; Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan Sejarah UPI (Universiti Pendidikan Indonesia).

Klik di sini untuk terus membaca