SHAH ALAM - Kawasan Lembah Klang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) membina penempatan haram sejak lebih 30 tahun lalu.
Mendedahkan perkara itu, Pensyarah Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, kawasan itu menjadi tumpuan PATI berasaskan faktor lokasi strategik serta mempunyai akses jaringan mampan demi kemandirian golongan terbabit.
Lebih mengejutkan, beliau mendedahkan punca kewujudan kawasan penempatan haram pendatang asing semakin banyak disebabkan jumlah anggaran kasar tidak rasmi bagi PATI di Lembah Klang termasuk etnik Rohingya sudah mencecah 500,000 hingga 600,000 orang.
"Selain itu diaspora (kelompok) mereka ramai berada di kawasan-kawasan ini.
"Di samping itu, adanya pelbagai kemudahan-kemudahan asas di kawasan ini seperti kedai, sekolah dan sebagainya juga menjadi daya penarik buat PATI berkenaan,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.
Mengulas lanjut katanya, lokasi panas yang menjadi tumpuan golongan itu di Lembah Klang adalah Selangor, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya serta beberapa lokasi tertentu di lain-lain negeri yang mewakili jumlah bilangan PATI lebih sedikit.
Secara spesifik, beliau mendedahkan daerah Petaling membabitkan kawasan Damansara, Puchong dan Sungai Buloh serta daerah Klang kini menjadi lubuk penempatan haram PATI yang bekerja di Selangor.
Tambah beliau, PATI yang dikenal pasti paling ramai adalah dari Indonesia diikuti Bangladesh, Nepal, Vietnam, Kemboja dan Myanmar.
"Setahu saya, kelompok PATI ini membuka penempatan haram dengan kaedah meneroka tanah kosong milik kerajaan yang terselindung dan tersembunyi daripada penglihatan umum seperti di dalam hutan, tepi sungai dan tepi laut.
"Tidak dinafikan ada antara mereka yang bertindak menyewa tanah kosong daripada rakyat tempatan dengan bayaran tinggi.
"Namun, saya lihat langkah itu tidak pragmatik kerana pemilik tanah mungkin bimbang mereka dikenakan tindakan undang-undang daripada penguat kuasa sekiranya penempatan haram itu terbongkar.
"Justeru, taktik paling mudah adalah mereka meneroka mana-mana tanah kosong milik kerajaan yang tidak diusahakan dengan kelompok PATI ini mungkin sudah menerima info dalaman mengenai keberadaan lokasi tanah kerajaan kosong bersesuaian," tegasnya.
Mengulas lanjut, Mohd Mizan menegaskan golongan PATI ini secara mudahnya sudah ada jaringan perhubungan dan kontak dengan rakyat tempatan di lokasi-lokasi ‘panas’ berkenaan.
"Mereka yang sudah berada lama di negara ini turut membantu rakan-rakan mereka yang baru sampai.
"Apabila jaringan mereka ini semakin baik dan kelompok ini memiliki sistem agak kukuh, secara automatik mereka dapat mengawal dan memantau penempatan diwujudkan dan menjadikan ahli-ahli mereka berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Tambah Mohd Mizan, penguatkuasaan yang lemah turut dilihat sebagai salah satu punca menyebabkan PATI berjaya menceroboh masuk kawasan-kawasan ini bagi membina penempatan haram mereka.
"Dari segi pemantauan, pelaksanaan serbuan dan sebagainya, kita masih di tahap amat lemah kerana langkah itu tidak dilakukan secara berkala dan tidak menyeluruh.
"Saya juga boleh katakan bahagian risikan kita lemah... kenapa kita gagal untuk merisik penempatan-penempatan mereka yang sudah cukup lama seperti yang didedahkan sebelum ini?” soalnya.
4 daripada 10 adalah PATIDalam pada itu katanya, sikap masyarakat juga menjadi salah satu punca menyebabkan PATI berani meneroka kawasan haram untuk dibina penempatan mereka.
"Sikap tidak endah kita menyebabkan golongan ini naik tocang, kita lihat bagaimana kelompok ini berjaya berniaga di pasar borong Selayang, tidak adakah perasaan tegas dan marah kita terhadap perlakuan ini," katanya.
Sementara itu, penganalisis politik dan peguam, Tai Zee How dalam satu kenyataan berkata, setakat Oktober 2021, terdapat sehingga 2.1 juta pekerja asing yang berdokumen kini sedang berkhidmat di Malaysia, berdasarkan data-data daripada Sistem Insuran Pekerjaan dan Kementerian Sumber Manusia.
"Daripada 15 juta jumlah kekuatan tenaga kerja di Malaysia, pekerja asing yang berdokumen telah menyumbangkan kira-kira 14 peratus.
"Namun yang meresahkan, angka ini tidak termasuk mereka yang tidak berdokumen. Anggaran yang munasabah meletakkan jumlah peratus pekerja bukan tempatan pada 30 peratus.
"Maksudnya, setiap 10 pekerjaan di tanah air, tiga daripadanya adalah pekerja asing,” katanya
Namun yang membimbangkan, katanya, Bank Dunia turut mendedahkan daripada 10 warga asing bekerja di Malaysia, empat daripadanya mungkin PATI.
TANGKAPAN PATI PADA TAHUN 2022
• Putrajaya 2,354
• Selangor 2,080
• Kuala Lumpur 2,354
• Johor 2,527
• Pulau Pinang 484
• Perak 643
• Pahang 1,908
• Sabah 1,405
• Lain-lain 8,805
Jumlah 22,560
Klik di sini untuk terus membaca