BERITA yang agak hangat minggu ini adalah apabila Khairy Jamaluddin (KJ), mantan Menteri Kesihatan menjadi DJ di sebuah stesen radio.
Ia menjadi hangat kerana beliau bukan orang biasa, tetapi ahli politik terkenal yang disukai ramai. Orang seperti KJ mungkin tak perlu bekerja lagi.
Tapi orang yang berpengetahuan dan bijak sepertinya mesti pula terus bekerja menyumbang bakti. Ini kerana manusia dan kerja ini adalah dua hal yang saling memerlukan.
Tapi di seluruh dunia juga menyaksikan banyak manusia yang mati kerana kerja, dan banyak pula yang mati kerana kehilangan kerja.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2016 menganggarkan sekitar 745,000 manusia di seluruh dunia mati kerana kerja, yang kebanyakannya berpunca dengan kerja berlebihan sehingga terkena strok dan sakit jantung.
Dan fenomena mati kerana kerja – atau karoshi ini selalu dikaitkan dengan budaya kerja di Jepun, dan banyak di negara Asia lain.
Pada Julai 2013, seorang wartawan cantik, Miwa Sado berusia hanya 31 tahun mati kerana dikatakan bekerja lebih masa selama 159 jam dalam satu bulan. Beliau hanya bercuti dua hari dalam bulan itu. Beliau akhirnya mengalami serangan jantung.
Tapi, tak bekerja juga menyebabkan kematian. Manusia perlu bekerja untuk menampung hidup dan membayar pelbagai kos sara hidup.
Pada April tahun lalu di India, seorang pemuda telah membunuh diri kerana tiada pekerjaan. Lelaki itu, Satish Bijhade yang berkahwin sekitar tahun 2020 sempat mengirimkan pesanan WhatsApp kepada isterinya, 'Aku pergi dulu ya. Kau teruslah berbahagia, dan kahwinlah dengan seseorang yang ada pekerjaan'.
Ada juga banyak kes pengangguran ini menyebabkan seseorang melakukan tindakan ganas, malah jenayah juga. Ia dilaporkan dalam banyak kajian.
Di Malaysia pun, kita dapati terdapat trend yang sama. Tahun lalu di Kajang, seorang lelaki penganggur telah didakwa kerana membunuh anak tirinya yang berusia 11 tahun. Ada juga kejadian lain, seorang penganggur berusia 21 tahun membunuh kekasihnya yang baru berusia 16 tahun di Klang.
Apalah salah mangsa yang semuda itu untuk dibunuh, melainkan kita boleh mengatakan bahawa tiada pekerjaan ini juga merupakan satu punca manusia menjadi tidak waras.
Kelihatannya kerja dan tak bekerja ini sama-sama menyakitkan. Sebab itu, tatkala banyak usaha kerajaan membantu rakyat, kita perlu juga ada polisi yang betul dalam aspek pekerjaan.
Walaupun jam waktu ideal bekerja sekitar 40 jam seminggu, adakah sesiapa yang memantau agar pekerja tak bekerja berlebihan. Di jalan, kita lihat kerana tekanan mengejar komisen, ramai pemandu e-hailing dan penghantar makanan bekerja siang dan malam.
Dengan rungutan komisen yang kian berkurang, apakah lagi yang boleh mereka lakukan selain menambah masa kerja?
Terbaru, satu kejadian di Jakarta, Indonesia seperti yang menjadi bualan di Twitter, seorang pemuda rebah dan mati di pintu rumah pelanggannya kerana kepenatan semasa mahu menyerahkan bungkusan.
Dia tidur tak bernyawa di sebelah motosikalnya. Kita tak mahu kejadian seperti itu berlaku di tempat kita.
Suasana kerja di sektor lain, termasuk di hospital, sekolah dan pekerja industri juga patut diperhatikan. Kita perlu ada polisi yang lebih mesra manusia. Begitu jugalah dengan trend pengangguran.
Walaupun data yang ada selalunya menunjukkan kadar pengangguran kita terkawal, tetapi melihat kepada puluhan ribu pekerja yang sedang dibuang oleh Google, Amazon dan IBM, ia seperti isyarat bahawa dunia kini adalah milik kapitalis, dan bukan lagi pekerja.
Malah ramai doktor kita juga khabarnya susah mendapat kerja tetap.Tatkala sekarang kita sedang sibuk dengan menu makanan 'Rahmah', mungkin perlu juga difikirkan bagaimana kita boleh juga rahmah dengan pekerja dan mereka yang sedang bergelut untuk mendapatkan kerja.
Tak semua orang bernasib baik, apatah jika kita bukan sesiapa.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca