SEJAK beberapa minggu ini, hubungan Amerika Syarikat (AS) dan China yang sememangnya suram akibat pelbagai isu menjadi lebih panas susulan insiden penembakan belon altitud tinggi.
Pentagon mendakwa mereka berjaya menjejaki belon pengintip dipercayai milik China berlegar-legar di ruang udara AS.
Menurut Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, belon itu bertujuan mengintip kawasan pangkalan tentera dan peluru berpandu nuklear strategik negara itu.
Pada awalnya beberapa pegawai tertinggi tentera mempertimbangkan langkah menembak jatuh belon itu, namun tindakan itu dianggap membahayakan orang ramai.
Akhirnya belon itu ditembak jatuh di pesisir Lautan Atlantik atas arahan Presiden Joe Biden, yang mengumumkan bahawa ia adalah belon pengintip altitud tinggi dan AS juga sedang mengawasi potensi insiden lain.
Kanada kemudian mengesahkan agensi perisikan mereka turut bekerjasama dengan AS untuk mengesan belon-belon pengintip altitud tinggi dan akhirnya tiga lagi belon dimusnahkan.
China mengakui bahawa belon pertama yang dimusnahkan adalah milik mereka, namun Menteri Luar China, Wang Yi mendakwa objek berkenaan bersifat awam serta digunakan untuk ujian penerbangan namun telah tersasar dari laluannya akibat tiupan angin.
Belon-belon ini menurut pihak berkuasa Taiwan dilengkapkan dengan pelbagai instrumen elektronik berkaitan kaji cuaca dan bukan pengintipan.
Insiden sama turut berlaku pada tahun 2022 di India. Objek altitud tinggi yang menyerupai belon ditembak jatuh AS dilihat berada di ruang udara kepulauan Andaman dan Nikobar, namun tidak diketahui pemilik sebenar belon itu.
China berpendapat cara pengendalian isu tersebut oleh AS di peringkat hubungan diplomatik dan antarabangsa bersifat histeria yang tidak masuk akal.
Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya memandangkan di Taiwan yang berjiran dengan China, belon-belon sedemikian kerap dijumpai antara bulan Disember hingga Februari, selari dengan arah tiupan angin mengikut musim.
Bagi AS, kenyataan China berkaitan belon kurang meyakinkan kerana menurut mereka seawal tahun 2021, negara komunis itu telah menggunakan taktik sama.
Belon sedemikian dikesan berada tinggi di udara di atas kedudukan armada tempur kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt yang belayar di Laut China Selatan.
Belon-belon ini menurut Pentagon merupakan platform yang digunakan oleh satu unit baharu tentera China dikenali sebagai Pasukan Sokongan Strategik atau SSF yang ditubuhkan pada tahun 2015.
Unit ini ditubuhkan sebagai pasukan bersepadu menggabungkan elemen-elemen peperangan dan operasi khusus seperti angkasa, ruang siber, elektronik, informasi, komunikasi dan psikologi peringkat strategik.
Operasi unit SSF dan penggunaan belon pengintip elektronik dikatakan berpusat di Laut China Selatan yang memberi fokus kepada pemantauan, pengumpulan informasi, pengintipan isyarat elektronik serta amaran awal.
Jika AS dituduh oleh banyak pihak sebagai memberi reaksi keterlaluan kepada isu belon, tindak balas ini bukan sesuatu yang pelik kerana negara tersebut adalah satu-satunya negara yang pernah ‘diserang’ oleh angkatan belon altitud tinggi!
Antara November 1944 dan April 1945 ketika Perang Dunia Kedua memuncak, tentera Jepun telah melancarkan sejumlah 9,300 belon altitud tinggi dari kepulauan Honshu.
Menggunakan pengaruh aliran angin semula jadi atau jet-stream serta sistem kawalan aras ketinggian yang canggih, ia disasarkan ke arah AS dengan merentasi Lautan Pasifik.
Senjata belon dikenali dengan nama Fu-Gu ini membawa bakul berisi kimia mudah terbakar serta bom serpihan. Menurut rekod, sebahagian besar bahan kimia mudah terbakar gagal berfungsi akibat kelembapan, namun mekanisme mekanikal bom serpihan masih aktif.
Senjata belon altitud tinggi yang dilepaskan mampu terbang dari Jepun dan dijumpai di AS dan Kanada, malah hingga Mexico.
Sebanyak 300 daripadanya berjaya mendarat di AS. Ketika itu ia dianggap sebagai platform senjata antara benua yang mempunyai jarak serangan paling jauh di dunia.
Dalam satu insiden di Oregon, AS, sekeluarga enam individu telah terbunuh apabila salah seorang daripada mereka menyepak bom yang diikat pada belon yang jatuh berhampiran jalan raya.
Dengan teknologi kedudukan global (GPS), sistem satelit serta peralatan elektronik yang lebih baik, tidak mustahil belon bakal muncul kembali menjadi senjata seperti Fu-Gu, namun dengan kemampuan menuju sasaran dan kuasa memusnah yang lebih tinggi.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima Anugerah Wartawan Terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca