SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus bekerjasama bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan kawasan penempatan haram warga asing yang digempur tidak didiami semula.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, tindakan akan diambil kepada pemilik tanah kerana bersekongkol lindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).
"JIM telah mengenal pasti beberapa lokasi penempatan PATI di seluruh negara.
"Semua Pengarah Imigresen Negeri telah diberi arahan untuk mengenalpasti lokasi-lokasi haram tersebut berdasarkan aduan yang terima daripada orang awam," katanya.
Khairul Dzaimee yang tidak mendedahkan lokasi sasaran terbabit menjelaskan, kawasan penempatan haram PATI akan dihapuskan termasuklah mengesan ketua yang berperanan mengutip duit sewa rumah.
"Bagi memastikan kawasan yang didiami ini dihuni semula oleh warga asing lain, kita akan dapatkan kerjasama dari PBT agar tempat terbabit dirobohkan," ujarnya.
Tambahnya, berdasarkan operasi terdahulu yang dijalankan, penempatan haram PATI ini mempunyai kemudahan kedai runcit, gas memasak, surau serta warung.
"Imigresen akan terus gempur penempatan haram warga asing di seluruh negara," tegasnya.
Pada 1 Februari lalu, JIM Negeri Sembilan menahan seramai 67 orang PATI dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sebuah penempatan haram warga asing di Nilai Spring.
Serbuan mendapati perkampungan itu memiliki kemudahan persekolahan mengikut silibus pendidikan negara jiran serta dilengkapi beberapa unit genset sebagai punca kuasa elektrik.
Susulan itu, pada 15 Februari, sebuah perkampungan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) di Cyberjaya, Sepang yang berselindung di sebalik kawasan bukit dan hutan digempur dan berjaya menahan 55 warga Indonesia.
Klik di sini untuk terus membaca