SHAH ALAM - Kerajaan negeri dan Pusat perlu bekerjasama dengan lebih agresif dalam melaksanakan operasi bersepadu bagi menghapuskan mana-mana penempatan haram melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang wujud di negara ini. Pengerusi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan negeri dan Pusat perlu bekerjasama dengan lebih agresif dalam melaksanakan operasi bersepadu bagi menghapuskan mana-mana penempatan haram melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang wujud di negara ini.

Pengerusi Biro Pekerja Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, isu kewujudan penempatan PATI ini hakikatnya sudah berleluasa sejak lebih 30 tahun lalu dengan faktor penguatkuasaan undang-undang lemah dilihat antara punca ia semakin bercambah.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Kapar itu mencadangkan agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia, dapat mencari solusi terbaik bagi melaksanakan proses pemutihan PATI dengan kelompok ini perlu diberikan kad pengenalan khas untuk diasingkan dengan pekerja asing berdokumen.

"Inisiatif ini sangat penting memandangkan kewujudan mereka tanpa sebarang pemantauan agresif dibimbangi mampu mencetuskan ancaman keselamatan dan kedaulatan negara pada masa hadapan.

"Pada pandangan mata dunia, tindakan kita mungkin seolah-olah zalim, cuma kita tidak boleh letakkan mereka sebaris dengan rakyat tempatan. Kita kena pastikan kehadiran mereka tidak melumpuhkan sistem kedaulatan negara," tegas Abdullah Sani lagi.

Sementara itu, aktivis membendung kebanjiran PATI, Sophian Mohd Zain menegaskan majoriti badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis di negara ini bersedia menjadi sukarelawan membantu pihak penguat kuasa bagi mengatasi lambakan PATI.

Tegas beliau yang juga Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, sudah tiba masanya semua pihak berganding bahu bagi memastikan Malaysia 'bersih' daripada PATI.

Katanya, lambakan PATI di negara ini telah menyebabkan mereka semakin berani bertindak melawan undang-undang negara serta semakin besar kepala.

"Ramai aktivis boleh membantu di lapangan, bekerjasama dengan PBT, JIM dan PDRM berhubung isu PATI ini."Kita tidak mahu PATI ini besar kepala dan tidak hormat kepada kedaulatan Malaysia," katanya.

Beliau yang juga lantang bersuara mengenai tindakan etnik Rohingya yang bebas berniaga menegaskan bahawa perlunya kawalan bersasar terhadap PATI.

"Ada PATI ini yang menyalahgunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), kita lihat mereka ini berani berniaga secara terbuka di dalam negara.

"Saya cadangkan pihak berkuasa bukan sekadar merampas barang mereka, bahkan perlu membatalkan lesen jika mereka berniaga di dalam premis.

"Jika di luar premis, pihak berkuasa perlu bertindak bukan sekadar rampas barang perniagaan sahaja, tetapi lebih praktikal bina pondok panas bagi memantau pergerakan mereka secara konsisten," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca