SATU kajian oleh Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di Singapura yang diterbitkan dalam jurnal Nature Sustainbility tahun lalu menyatakan bahawa bandar-bandar tepi pantai di Asia Tenggara akan tenggelam lebih cepat berbanding tempat-tempat lain di seluruh dunia.
Menurut kajian itu, situasi tersebut menyebabkan berpuluh-puluh juta orang lebih berisiko terhadap ancaman peningkatan paras air laut secara perlahan-lahan.
Ia turut menyatakan bahawa proses urbanisasi yang pesat menyaksikan bandar-bandar pesisir pantai banyak bergantung kepada sumber air bawah tanah bagi menampung populasinya, sekali gus berpotensi mengalami tanah mendap.
Selain itu, kepincangan perancangan guna tanah di kawasan yang kerap terdedah banjir turut menyumbang kepada proses tenggelamnya bandar-bandar berkenaan.
Justeru, tidak hairanlah apabila bandar-bandar utama di Asia Tenggara antaranya Jakarta, Bangkok, Ho Chi Minh serta Manila diramal bakal senasib dengan kota Atlantis yang dikatakan tenggelam dan lenyap kira-kira 11,000 tahun lalu seperti dicatatkan dalam naskhah kuno Timaeus et Critias yang dihasilkan oleh ahli falsafah Yunani, Plato sekitar tahun 360 sebelum Masihi.
Jakarta makin tenggelam
Ibu negara Indonesia antara bandar raya paling pantas tenggelam menyebabkan pakar alam sekitar memberi amaran satu pertiga mungkin tenggelam menjelang 2050 jika aktiviti pengambilan rizab air bawah tanah, peningkatan paras air laut dan corak cuaca luar biasa berterusan.
Dibina dalam zon gempa bumi di kawasan paya, berhampiran 13 sungai, tekanan terhadap asas bandar raya ini semakin kuat akibat pembangunan luar kawalan, lalu lintas sesak dan perancangan bandar yang buruk.
Jakarta tidak memiliki sistem bekalan air di bahagian utaranya termasuk di Pekalongan dan Semarang, menyebabkan industri tempatan serta jutaan penduduk memanfaatkan air bawah tanah tanpa kawalan.
Di Jakarta, air bawah tanah yang dikorek menyebabkan bandar itu tenggelam sehingga 26 sentimeter (sm) setahun, sehingga menjadikan ia antara bandar besar akan tenggelam paling cepat di dunia.
Hari ini, lebih 90 peratus kawasan pantai Jakarta terletak di bawah paras laut sekali gus menjadikan bandar itu terdedah kepada banjir.
Bangkok lenyap 2100?
Seperti Jakarta, ibu kota Thailand, Bangkok juga berdepan senario sama apabila saintis meramalkan bandar metropolitan itu berisiko kehilangan daratan yang luas dan dijangka lenyap sepenuhnya menjelang 2100.
Ia bukan hanya dipengaruhi peningkatan paras laut tetapi dibebani terlalu banyak bangunan yang menyebabkan tanah mendap kerana bandar raya itu dibina di kawasan tanah paya.
Malah, taburan hujan yang banyak sekitar September hingga November setiap tahun mencetuskan lagi kebimbangan berkenaan.
Sebelum ini, pakar sudah memberi beberapa ramalan berbeza mengenai bila Bangkok akan tenggelam.
Pada 2019, para penyelidik berpendapat tempoh itu mungkin jatuh pada tahun 2050.
Ho Chi Minh tenggelam 16.2mm setahun
Ho Chi Minh yang merupakan pusat urbanisasi dan hab perniagaan utama Vietnam mengungguli senarai 48 bandar raya tepi pantai yang mendap di seluruh dunia.
Berdasarkan kajian data satelit, kota raya itu dilaporkan sedang tenggelam pada kadar purata 16.2 milimeter (mm) setiap tahun.
Selain itu, limpahan air dari Sungai Mekong memburukkan lagi mendapan tanah yang sudah dikesan sejak 2003 lagi.
Kini pihak berkuasa dan saintis tempatan sedang giat mencari solusi dalam memastikan Ho Chi Minh tidak lenyap dari peta Vietnam menjelang 100 tahun akan datang.
Manila tidak terkecuali
Saban tahun, banjir besar menyebabkan sebahagian besar Manila ditenggelami banjir.
Intensiti hujan yang tinggi, kawasan pembangunan yang padat, sistem saliran yang tidak diselenggara dengan baik serta masalah pencemaran longkang dan saliran dilihat menjadi penyumbang utama kepada faktor kejadian banjir kilat di Manila.
Berdasarkan pemantauan satelit, Manila mengalami penenggelaman tanah antara empat dan enam sentimeter setahun sejak 2003.
Penenggelaman itu kemungkinan berterusan kerana kawasan tanah paling terjejas teruk adalah tanah liat, yang kekal selepas air bawah tanah dikeluarkan.
Jika situasi ini berterusan, Manila sudah pasti tersenarai antara bandar di Asia Tenggara yang tenggelam menjelang 2050 atau lebih awal daripada itu.
Klik di sini untuk terus membaca