SHAH ALAM - Lembaga Disiplin UMNO berhak memanggil dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja didapati melakukan kesalahan dan melanggar disiplin parti walaupun tempoh pemilihan parti sedang berlangsung.
Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, Lembaga Disiplin parti mempunyai garis panduan dan tatacara tersendiri untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli UMNO yang melanggar peraturan parti.
"Lembaga Disiplin ada prosedur, caranya tersendiri dari segi masa, bila dan sebagainya untuk mengambil tindakan tatatertib terhada[ mana-mana ahli UMNO.
"Jadi tidak timbul soal masa sekarang sesuai atau tidak untuk Lembaga Disiplin mengambil tindakan terhadap individu tertentu. Malah soal tarikh pemilihan UMNO atau pilihan raya semakin dekat tidak timbul sama sekali.
"Kalau kita lihat dalam kes mahkamah sekali pun, hakim tidak akan ambil kira kita nak pilihan raya atau apa program sekalipun. Prosiding kes mahkamah tetap berjalan seperti biasa dan tidak akan ditangguhkan kerana ia membabitkan prinsip kedaulatan undang-undang," katanya kepada wartawan Sinar Premium.
Othman berkata demikian bagi mengulas kewajaran Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan disiplin terhadap pemimpin tertentu di saat parti berkenaan sedang melaksanakan proses pemilihan parti.
Hal ini susulan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mengesahkan bahawa beliau dipanggil Lembaga Disiplin parti tersebut di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Rabu.
Armand Azha berkata, beliau tidak mengetahui alasan kenapa dirujuk kepada Lembaga Disiplin UMNO.
Sebelum ini, mesyuarat MKT UMNO memutuskan untuk memecat bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Shariff pula digantung keahlian selama enam tahun.
Justeru, Othman menjelaskan tindakan disiplin yang dikenakan terhadap mana-mana pemimpin tidak akan menimbulkan persepsi negatif terhadap UMNO pada masa depan.
"Jika ada urusan dalaman atau tindakan disiplin perlu diambil terhadap mana-mana pemimpin UMNO, terus sajalah. Cuma dengan syarat siasatan dan hukuman dikenakan oleh Lembaga Disiplin parti mestilah adil dan saksama.
"Sekiranya mereka tidak bersalah, maka Lembaga Disiplin parti berlu bebaskan mereka dengan tidak menerima campur tangan daripada sesiapa sahaja termasuk Presiden UMNO," katanya.
Penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh pula tidak menolak kemungkinan tindakan Lembaga Disiplin UMNO memanggil pemimpin tertentu pada saat proses pemilihan parti sedang berlangsung adalah bertujuan memberi tekanan kepada kem menentang Presiden UMNO.
Berikutan itu, beliau meramalkan UMNO bakal berhadapan masalah besar dan ditolak pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri tahun ini jika Lembaga Dispilin dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) terus mengambil tindakan sedemikian.
Jelasnya, Lembaga Disiplin UMNO sepatutnya lebih berhati-hati dan mengambil langkah bertenang terlebih dahulu kerana parti itu baru sahaja memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpin berpengaruh baru-baru ini.
"Jika ada tindakan disiplin diambil terhadap calon tidak sehaluan dengan Presiden UMNO yang berhasrat bertanding pemilihan parti, senario itu akan menimbulkan persepsi negatif kepada UMNO dan kepimpinan Presiden sendiri," katanya.
##END##
Tamat
Klik di sini untuk terus membaca