BIARPUN tiada pertandingan merebut dua jawatan tertinggi UMNO iaitu Presiden dan Timbalan Presiden, namun perebutan kerusi Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri semakin ‘panas’ menjelang pemilihan parti itu pada Mac ini.
Paling mencuri tumpuan sudah pastinya perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO selepas penyandangnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan berkenaan.
Fokus pertandingan jawatan itu menjadi semakin menarik apabila bintang muda UMNO yang dianggap sebagai pengganti 'semulajadi' Asyraf Wajdi iaitu bekas Naib Ketua Pemudanya, Shahril Sufian Hamdan, kini digantung keahlian selama enam tahun oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini.
Peristiwa penggantungan Shahril Sufian bersama pemimpin berpengaruh UMNO lain seperti bekas Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta pemecatan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar turut memberi implikasi besar terhadap persaingan merebut jawatan ketua sayap pemuda parti itu kali ini.
Secara tidak langsung, persaingan di peringkat sayap parti sama ada Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO pada pemilihan parti kali ini boleh dianggap paling sengit dalam sejarah selepas krisis pemilihan tahun 1987.
Pertembungan dua kelompok
Pada pemilihan kali ini menyaksikan pertembungan ketara dua kelompok utama dalam UMNO iaitu kelompok pro Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kem menolak Ahmad Zahid dipercayai didukung beberapa bekas pemimpin parti itu.
Sumber UMNO memaklumkan antara calon Ketua Pemuda UMNO yang dipercayai menjadi taruhan kem pro Presiden ialah Setiausaha Pemudanya, Datuk Hasmuni Hassan.
Bagaimanapun, terdapat spekulasi mengatakan jawatan itu mungkin turut dipertimbangkan untuk ditandingi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii bagi mewakili kem menyokong pucuk kepimpinan parti sekiranya Hasmuni bertukar fikiran.
Sementara, Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah dari awal lagi sudah mengumumkan hasrat bertanding merebut jawatan tertinggi sayap Pemuda parti berkenaan.
Namun timbul persoalan sama ada pencalonan beliau diterima atau tidak.
Hal ini susulan beliau bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Pengurusan Disiplin UMNO hari ini dan berkemungkinan besar turut menerima nasib seperti Shahril Sufian.
Antara calon alternatif yang boleh dipertimbangkan jika Armand Azha digantung ialah bekas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi.
Kejutan
Bagi persaingan merebut jawatan Ketua Wanita, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil pula mencipta kejutan dengan membuat kemunculan semula bagi mencabar penyandangnya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Noraini Ahmad.
Bagaimanapun, penganalisis politik tempatan berpandangan peluang bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai itu untuk kembali menjadi Ketua Wanita UMNO buat kali kedua agak sukar.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, peluang Shahrizat untuk menang hanya cerah sekiranya beliau mendapat restu atau 'lampu hijau' daripada Ahmad Zahid.
"Imej Shahrizat agak tercalar dengan pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC) dan pendedahan kes itu menyebabkan beliau memilih tidak mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan tahun 2018.
"Ditambah Noraini dilihat mengekalkan hubungan baik dengan Ahmad Zahid meskipun pada mulanya dianggap sekutu kuat pihak yang menentang Presiden.
"Saya menjangkakan sesiapa yang mendapat restu daripada Presiden UMNO mempunyai peluang lebih baik untuk menang.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh menolak peluang Shahrizat mencipta kejutan sekiranya gerakan menolak kem pro Presiden akhirnya mendapat sambutan akar umbi parti,” tegas Mazlan kepada Sinar Premium.
Mazlan turut menyuarakan pandangan sama terhadap peluang Hasmuni dan Razlan yang dijangka menjadi calon Ketua Pemuda UMNO mewakili kem pro Presiden parti berkenaan.
"Kejutan mungkin hanya berlaku sekiranya terdapat kempen besar-besaran digerakkan kem menolak Presiden UMNO bagi meraih sokongan lebih tiga juta akar umbi parti berkenaan, namun sehingga kini saya tidak nampak perkara itu berlaku.
"Justeru, saya menjangkakan calon tidak sehaluan dengan Presiden UMNO bakal ‘bungkus’ dan kalah teruk,” tegasnya.
Sementara itu, perebutan jawatan Ketua Puteri UMNO tidak kurang meriahnya kerana difahamkan enam individu sudah menawarkan diri untuk merebut kerusi yang kini disandang bekas calon BN Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan pada pemilihan parti itu kelak.
Pemimpin wanita muda berkenaan adalah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira; Naib Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi; Setiausaha Puteri UMNO, Nurul Hazwani Haslan serta dua Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun dan Fadwah Anuwar.
"Ada kemungkinan Dira boleh cipta kejutan kerana beliau dilihat sebagai pemimpin muda yang mempunyai persona dan dianggap vokal dalam menyuarakan isu-isu parti terhadap pucuk kepimpinan UMNO,” kata Mazlan.
Kelangsungan sokongan
Sementara itu, bekas Exco Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berpandangan, calon paling sesuai memegang jawatan Ketua Pemuda parti itu perlulah mempunyai ciri intelektual tinggi, berwibawa, kuat pegangan jati diri agama, berkaliber dan penuh inspirasi.
"Saya berpandangan Shahril Sufian paling layak, tetapi apakan daya beliau kini digantung keahlian parti.
"Justeru, saya mengharapkan agar ada pemimpin muda yang setanding Shahril Sufian boleh mengemudi kapal dan sayap pemuda seperti Nizham Abdullah, Mohd Shahar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tawar, Datuk Rizam Ismail,” katanya.
Muqharabbin menegaskan, pemilihan parti kali ini amat penting bagi menentukan kelangsungan sokongan orang Melayu terhadap UMNO pada masa depan.
Klik di sini untuk terus membaca