ANTAKYA - Gempa baharu yang menggegar wilayah selatan Hatay di Turkiye berhampiran sempadan Syria kembali mencetuskan panik pada Isnin, dua minggu selepas kawasan itu musnah dek gegaran kuat yang turut meragut lebih 47,000 nyawa selain menyebabkan kemusnahan lebih 385,000 struktur termasuk kediaman.
Gegaran 6.4 skala Richter itu dilaporkan melanda daerah Defne dan turut dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan.
Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC) memaklumkan gempa kuat itu berlaku pada kedalaman 10 kilometer.
Agensi Pengurusan Bencana Turkiye dalam satu kenyataan memaklumkan, satu lagi gempa susulan berkekuatan 5.8 skala Richter direkodkan kira-kira tiga minit kemudian yang berpusat di daerah Samandag.
"Ia disusuli dengan kira-kira 90 gegaran susulan," jelas agensi itu lagi.
Sementara itu, Datuk Bandar Hatay, Lutfu Savas berkata, beliau menerima laporan sejumlah mangsa terperangkap di bawah runtuhan dan kejadian gempa terbaharu tersebut turut menyebabkan enam maut manakala hampir 300 yang lain cedera.
Di Samandag, lebih banyak bangunan dilaporkan runtuh di bandar itu yang sudah terjejas teruk akibat gempa sebelum ini.
Salah seorang penduduk, Muna al Omar memberitahu, dia sedang berada di dalam khemah di tengah Antakya bersama keluarganya ketika gegaran kuat itu berlaku.
"Ketika itu, saya berasa bumi seperti mahu terbelah," ujarnya sambil menangis.
Seorang lagi penduduk yang berkongsi detik cemas itu, Mehmet Irmak berkata, keadaan kembali huru-hara selepas seluruh kawasan itu bergegar secara tiba-tiba.
"Ia seperti gelombang dahsyat dan kami dapat melihat bangunan dan kenderaan bergoyang dengan sangat kuat. Hatay bukan lagi tempat selamat untuk didiami," rintihnya yang kini terpaksa tidur di dalam kereta sejak dua minggu lalu.
Di barat laut Syria, lebih 130 mangsa dilaporkan cedera selain beberapa lagi bangunan runtuh.
"Anggota kami sedang berusaha membawa mereka ke hospital dan memeriksa perkampungan dan bandar yang terjejas," kata jurucakap kumpulan penyelamat, White Helmets.
Beberapa jam sebelum itu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken yang mengadakan kunjungan ke Turkiye menyatakan Washington akan terus menawarkan bantuan meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dihentikan berikutan fokus utama kini beralih kepada usaha pembangunan semula.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyatakan projek pembinaan hampir 200,000 apartment di 11 wilayah terkesan gempa akan bermula pada bulan depan selepas bantuan antarabangsa terus disalurkan ke negara itu.
Jumlah bantuan kemanusiaan AS untuk menyokong tindak balas gempa di Ankara dan Damsyik juga telah mencecah AS$185 juta (RM820 juta).
Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kira-kira 356,000 ibu hamil di Turkiye dan Syria kini memerlukan akses segera kepada perkhidmatan kesihatan setelah kebanyakan hospital turut musnah.
"Kira-kira 38,800 orang dijangka melahirkan bayi mereka pada bulan depan. Kebanyakannya tinggal di kem sementara dan terdedah kepada cuaca sejuk serta bergelut untuk mendapatkan makanan dan bekalan air bersih," ujar laporan antarabangsa itu.
Bantuan tiba di Syria
Ketika ini, usaha menyalurkan bantuan ke Syria terutamanya di lokasi terjejas di barat laut negara itu yang dikawal kumpulan pemberontak terus berdepan kesukaran.
Badan amal, Medecins Sans Frontieres (MSF) memaklumkan konvoi terdiri daripada 14 trak akhirnya memasuki Syria dari Turkiye untuk membantu operasi SAR setelah angka korban mencecah lebih 4,500 orang.
Sehingga Isnin, sebanyak 197 trak membawa bantuan kemanusiaan PBB tiba di barat laut Damsyik melalui dua lintasan sempadan.
Ribuan pelarian Syria di Turkiye juga kembali ke kampung halaman masing-masing untuk memberikan sokongan kepada saudara-mara mereka yang terkesan gempa.
"Kami mengambil peluang ini untuk pulang ke Syria selepas kediaman kami di Antakya runtuh. Pihak berkuasa juga memberi jaminan bahawa kami dapat kembali semula ke Ankara selepas tempoh enam bulan. Saya bimbang jika tidak dibenarkan masuk semula ke Turkiye.
"Negara kami sendiri sudah berpecah-belah. Adakah kami perlu berpisah pula dengan keluarga sendiri?
"Saya akan kehilangan segala-galanya jika perkara itu berlaku," kata Mustafa Hannan yang menyertai ratusan individu lain menunggu giliran di lintasan sempadan Cilvegozu untuk memasuki Syria. - Agensi gempa di Turkiye-Syria
INFO
- Lebih 6,200 gempa susulan direkodkan sejak gempa pertama, 7.8 skala Richter menggegar Turkiye dan Syria pada 6 Februari lalu.
- Gegaran susulan dijangka berlarutan selama setahun akibat impak kuat gempa pertama itu.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Klik di sini untuk terus membaca