INI bukanlah tajuk yang sedap untuk dibawa bersembang kecuali bagi mereka yang genap umur untuk pengeluaran KWSP tahun ini, sama ada pengeluaran penuh atau pengeluaran sebahagian.
Tetapi perbualan ringkas dengan seseorang dua tiga hari lepas mendorong saya memberanikan diri untuk menyentuh topik yang sensitif ini.
Ya, sejak bermulanya era pandemik, isu berkaitan pengeluaran KWSP sentiasa menarik perhatian banyak pihak, khususnya mereka yang terkesan dengan rantaian masalah yang disebabkan pandemik itu.
Kini, selepas pandemik berlalu, kisah tentang KWSP berkumandang lagi. Ia menjadi bukti bahawa walaupun Covid-19 telah kian beredar, kesan musibahnya masih berlingkar. Dan ramai yang berada dalam lingkaran itu.
Di sana sini kedengaran suara pencarum yang meminta kerajaan memberi mereka peluang sekali lagi untuk mengeluarkan simpanan yang mereka pun tahu dikhususkan untuk hari tua.
"Kalau keadaan macam sekarang saya takut tidak sempat hendak tua bos. Banyak sangat masalah. Sana tertunggak, sini tertunggak. Bila-bila masa saya boleh kena sakit jantung, akhirnya tak sempat juga saya merasa baki duit KWSP itu.” Itulah inti perbualan yang menjadi sebab kenapa artikel ini ditulis.
Ada setengah pihak berkata pencarum sebenarnya sengaja mengada-adakan alasan dan ia berkait rapat dengan soal mentaliti.
"Orang kita memang begitu. Pantang tahu ada duit, mereka akan cari seribu satu cara untuk membelanjakannya,” kata seorang bijak pandai kepada saya lama dahulu, ketika kerajaan baru melancarkan i-Citra, yang menyusul selepas i-Sinar dan i-Lestari.
Dan si bijak pandai itu menyalahkan sistem pendidikan kita yang katanya gagal membentuk rakyat supaya menjadi ‘celik kewangan’. Kita, katanya, lebih diajar mengorek tabung daripada mengisi tabung.
Saya tidak berani membantah cakapnya sebab takut terheret dalam perdebatan yang panjang. Bukan ada faedah berdebat di kedai kopi.
Sama jugalah macam berdebat di media sosial. Lagi baik balik tidur. Sekurang-kurangnya orang tidak tahu sama ada kita ini bodoh atau tidak.
Menyalahkan orang memang mudah. Kalau yang bercakap itu harga kopinya secawan RM12, kasutnya made in Italy yang harganya sama dengan seekor kerbau, dia mungkin tidak merasakan betapa besarnya nilai seribu atau dua ribu ringgit.
Tetapi cuba dia letakkan kaki dalam sepatu seorang yang berstatus B40, yang gajinya sebulan cuma cukup untuk perbelanjaan lima belas hari, yang ada kereta tetapi kerap keluar masuk worksyop, ada rumah tetapi sentiasa dalam tunggakan, ada bil api dan bil air yang hanya dibayar setelah menerima notis.
Orang-orang kayangan tidak menghadapi masalah untuk mencari lima ribu atau sepuluh ribu ringgit. Kawan rakannya orang berduit.
Tetapi tidak begitu dengan orang biasa-biasa, yang sahabat handainya pun orang biasa-biasa juga.
Usahkan minta pinjam beribu-riban, minta pinjam seratus ringgit, dapat sepuluh ringgit pun sudah kira bertuah.
Memang benar ada yang mengambil kesempatan. Bila diberi peluang keluarkan simpanan, mereka tidak menggunakannya untuk menyelesaikan masalah, sebaliknya melayan kehendak untuk berseronok suka.
Waktu sebelum keluarkan caruman, buat kira-kira lengkap, hendak bayar itu, hendak bayar ini.
Setelah habis duit yang dikeluarkan, tengok-tengok hutang lama tidak berganjak, hutang baharu – misalnya sport rim kereta kawan yang dibeli tetapi belum habis bayar – telah ikut tersenarai.
Saya masih ingat pada sekitar tahun 2001 KWSP membenarkan pengeluaran untuk membeli komputer. Berderet-deret yang mengisi borang.
Tetapi selepas dikeluarkan, berderet-deret pula yang menjualnya untuk mendapatkan tunai.
Kes-kes seperti itu sukar dielak. Tetapi ia tidak boleh menyebabkan kita menafikan hak mereka yang benar-benar berhak – mereka yang mungkin tiada cara dan ikhtiar lain untuk meneruskan kehidupan.
Jadi saya bersetuju dengan pandangan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Benarkan pengeluaran secara bersasar.
Tidak mengapa perketatkan peraturan asalkan mereka yang layak diberi peluang.
Dalam pada itu teruskanlah usaha menerangkan kepada pencarum tentang tujuan sebenar KWSP diwujudkan. Perincikan kepada mereka.
Perjelaskan betul-betul bahawa bukan untuk penyelesaian jangka masa singkat. Ia untuk hari depan. Hari tua.
Memang betul kita tidak tahu apakah kita akan sempat hidup sehingga tua, tetapi kita juga tidak tahu apakah kita akan mati sebelum tua.#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca