BELANJAWAN 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini merupakan belanjawan pertama bagi kerajaan Malaysia Madani yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sudah pastinya ramai tertunggu-tunggu apakah magis yang bakal diumumkan... Klik di sini untuk terus membaca

BELANJAWAN 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini merupakan belanjawan pertama bagi kerajaan Malaysia Madani yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sudah pastinya ramai tertunggu-tunggu apakah magis yang bakal diumumkan kelak daripada beliau yang cukup berpengalaman di dalam dan di luar kerajaan sebelum ini.

Isu berkait rapat dengan kos sara hidup dijangka menjadi teras kali ini selain daripada menentukan hala tuju manisfesto yang telah dijanjikan sebelum ini.

Pada Belanjawan 2023, isu berkaitan harta tanah tidak boleh diketepikan. Ini amat penting untuk merangsang kembali pasaran hartanah negara yang dijangka terus menghadapi tekanan terutama dalam isu pemilikan dan bekalan harta tanah sedia ada di dalam pasaran.

Isu kemampuan pemilikan kediaman, peningkatan kos pembinaan, kadar kediaman yang tidak terjual dan lambakan jenis-jenis hartanah memerlukan tindakan yang signifikan daripada kerajaan.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Oktober tahun lalu, beberapa langkah yang telah diumumkan perlu dikekalkan seperti pengecualian duti setem surat cara pindah milik antara ahli keluarga yang hanya dikenakan pada kadar RM10.

Selain itu, kerajaan perlu mengekalkan atau menambah baik pengecualian duti setem bagi hartanah telah ditingkatkan dari 50 peratus kepada 75 peratus untuk harga rumah bernilai RM500,000 sehingga RM1 juta bagi meningkatkan keupayaan rakyat untuk memiliki rumah pertama.

Belanjawan sebelum ini turut menyediakan peruntukan bagi pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) sebanyak RM367 juta dengan menyasarkan 12,000 unit bagi memastikan golongan B40 mampu memiliki rumah boleh ditambahkan baik.

Kerajaan ini yang menekankan pembentukan Madani perlu memberi fokus lebih dalam bagi meningkatkan perumahan rakyat terutama untuk golongan B40 dengan jaminan syarikat kredit perumahan untuk golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap yang mana sebelum ini sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan.

Pembentangan Belanjawan 2023 kali ini juga diharap menambah baik serta menggariskan satu langkah jangka panjang dalam pasaran hartanah.

Hakikatnya, pasaran harta tanah kini berdepan dengan dua isu utama iaitu peningkatan kos pembinaan yang menyumbang kepada kenaikan harga hartanah dan berlaku isu jumlah hartanah tidak terjual yang tinggi.

Pembaharuan yang mungkin boleh dilaksanakan oleh kerajaan adalah mewujudkan satu badan pemantau peningkatan kos bahan binaan yang dilihat tidak terkawal termasuk kekurangan tenaga buruh menyebabkan kos buruh meningkat.

Kerajaan boleh memberikan satu bentuk insentif atau rebat cukai kepada pemaju terutama pemaju yang baharu serta yang melaksanakan projek menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Kerajaan juga disaran untuk mengetatkan sebarang kelulusan bagi projek-projek perumahan yang baharu agar isu projek terbengkalai dan tidak terjual dapat dikurangkan.

Antara syarat yang mungkin boleh dikenakan adalah setiap pemaju memberi bukti kajian kemungkinan (feasibiliti study) sesuatu projek.

Belanjawan kali ini juga perlu fokus kepada usaha pemulihan kuasa beli dalam pasaran terlebih dahulu dengan memperlahankan dahulu pembangunan hartanah yang baru agar hartanah sedia ada dapat diselesaikan.

Unjuran dibuat menjangkakan permintaan harta tanah akan terus menyusut pada 2023. Justeru keseimbangan antara insentif kepada pemaju dan rakyat perlu dirangka.

Belanjawan 2023 kali ini juga akan menjadi rujukan dan penentu dasar pengurusan ekonomi negara bagi tahun-tahun mendatang.

Tema Kerajaan Perpaduan ini iaitu Malaysia Madani harus diterjemah dengan menggariskan erti sebenar masyarakat madani pastinya berkait rapat dengan isu hartanah iaitu hal-hal asas terutama kesediaan pihak kerajaan untuk terus menyokong masyarakat memiliki kediaman selesa dengan harga yang berpatutan.

* Dr Muhammad Azwan Sulaiman dan Sr Muhamad Saiful Alizan Nordin ialah pensyarah di Pengajian Harta Tanah, Kolej Pengajian Alam Bina, UiTM Shah Alam

Klik di sini untuk terus membaca