GEMPA bumi yang berlaku di wilayah Hatay, Turkiye pada jam 8.04 minit malam (waktu tempatan) pada Isnin bersamaan jam 1.04 minit pagi waktu Malaysia (Selasa) adalah gegaran susulan paling kuat dirasai. Gegaran yang direkodkan adalah... Klik di sini untuk terus membaca

GEMPA bumi yang berlaku di wilayah Hatay, Turkiye pada jam 8.04 minit malam (waktu tempatan) pada Isnin bersamaan jam 1.04 minit pagi waktu Malaysia (Selasa) adalah gegaran susulan paling kuat dirasai.

Gegaran yang direkodkan adalah berukuran 6.4 skala Richter, perbezaan besar berbanding gegaran pada Jumaat pada ukuran 4.7 skala Richter.

Ketika kejadian itu, saya baru pulang daripada misi menghantar bantuan kewangan Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care di sekitar bandar Reyhanli di wilayah Hatay yang menjadi pusat gegaran gempa bumi.

Wilayah Hatay yang menempatkan bandar Antakya dan Kirikhan adalah antara lokasi paling teruk terjejas sehingga mengorbankan puluhan ribu nyawa dalam kejadian gempa bumi pada 6 Februari lalu.

Sewaktu baru selesai urusan di bilik air berhampiran pintu utama (mencuci muka dan menggosok gigi), secara tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Sesuatu yang jarang berlaku di Turkiye tanpa sebab-sebab tertentu.

Bekalan elektrik terputus

Dalam tempoh itu juga, saya teringatkan kisah-kisah mangsa gempa bumi di negara ini di mana rata-rata memberitahu perkara pertama yang berlaku adalah bekalan elektrik terputus sebelum terjadinya gegaran.

Ketika sedang berdiri, dalam suasana gelap-gelita selang lima saat selepas bekalan elektrik terputus, rumah penginapan saya di bandar ini iaitu di tingkat tiga bangunan setinggi lima tingkat bergoncang dengan begitu kuat.

Sehinggakan ketika itu, saya terpaksa memegang dinding untuk mengimbangi diri, namun masih tidak berjaya untuk berjalan dengan baik, ditambah pula dengan suasana gelap-gelita.

Jika sebelum ini gegaran umpama dibuai tetapi kali ini bumi Reyhanli digoncang dengan kuat.

Sekali lagi saya teringatkan cerita mangsa-mangsa gempa bumi yang terselamat ketika mereka cuba menyelamatkan diri dalam keadaan yang gelap, dinding, lantai serta siling batu runtuh.

Ketika itu saya merasakan adakah ini pengakhiran saya. Adakah saya dapat menjejakkan kaki semula ke Malaysia dan adakah saya dapat bertemu isteri dan anak yang saya tinggalkan atas tuntutan kemanusiaan di negara ini.

Apa yang saya dapat gambarkan ketika itu adalah nyawa seperti di hujung tanduk.

Wartawan Sinar Harian bersama penduduk tempatan berlindung di sebuah dewan.

Seramai 11 orang di dalam kediaman iaitu empat wakil dari pasukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Syria Care dan enam dari pasukan Task Emergency Medical Service (TEMS), turut mengamali keadaan yang saya alami.

Mujur kejadian pada Jumaat lalu memberi pengajaran berguna buat kami di mana pada setiap malam kami akan menyiapkan satu beg mengandungi baju sejuk tambahan, baju pemanas, seluar, stokin, air, power bank, pasport dan wang.

Jadi kami hanya mencapai beg berkenaan dan terus keluar dalam keadaan tidak stabil.

Alhamdulillah kesemua kami berjaya menyelamatkan diri dan berkumpul di kawasan lapang.

Ketika di bawah, kebanyakan penduduk terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak menangis ketakutan.

Malah ada yang tidak sempat untuk membawa sebarang kelengkapan diri.

Keadaan di jalanan pula sedikit kelam-kabut. Kedengaran bunyi siren ambulans dan polis yang dipercayai menuju ke lokasi runtuhan di sini.

Dalam tempoh sejam di kawan lapang, kami terpaksa menghidupkan unggun api untuk memanaskan diri.

Bahan bakar pula diambil dan dicari termasuklah menggeledah tong sampah oleh pasukan TEMS yang mahir dalam mendepani situasi bencana seperti ini.

Mujur sejam selepas itu, kami dibenarkan untuk berlindung di dalam dewan yang dijadikan sebagai pusat perlindungan buat semua penduduk di sini.

Berapa lama di sini? Tidak dapat dipastikan lagi kerana ketika gempa bumi 6 Februari lalu, penduduk di sini memaklumkan bahawa mereka berlindung hampir dua minggu.

Namun begitu, dalam berdepan situasi mencemaskan seperti ini, bantuan rakyat Malaysia untuk mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria akan tetap dilaksanakan.

*Nurul Riduan Nor Asaha melaporkan dari Reyhanli, Turkiye


Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/

Klik di sini untuk terus membaca