MESKIPUN kita diciptakan sebagai makhluk ALLAH yang terbaik, manusia adalah kejadian kompleks yang mempunyai pelbagai sisi. Kita semua mempunyai dua sisi asas bertentangan iaitu yang baik dan buruk; yang positif dan negatif. Kita... Klik di sini untuk terus membaca

MESKIPUN kita diciptakan sebagai makhluk ALLAH yang terbaik, manusia adalah kejadian kompleks yang mempunyai pelbagai sisi.

Kita semua mempunyai dua sisi asas bertentangan iaitu yang baik dan buruk; yang positif dan negatif.

Kita berkelakuan mengikut situasi dan kita juga boleh berubah perangai apabila kita berdepan dengan makhluk yang lain sama ada manusia, binatang mahupun jin!

Dari satu sudut, kita mempamerkan sikap yang lembut, sopan, tertib, rajin dan prihatin. Pada sudut yang lain kita mempamerkan sikap marah, cemburu, tamak dan culas.

Ada di kalangan teman-teman kita yang bersikap panas baran. Sikap manjanya seperti seekor kucing itu boleh bertukar menjadi seekor singa dalam sekelip mata.

Sebaliknya ada yang bersikap begitu sederhana dan tenang; semuanya okey seolah-olah dia kalis masalah.

Dalam pada itu terdapat juga di kalangan teman kita yang sentiasa ligat bertenaga dan becok sehinggakan kita pula yang jadi lebih penat daripada dia hanya dengan memerhati tingkah lakunya.

Dari semasa ke semasa, kita akan bertemu dengan kawan-kawan lama sama ada kawan sekampung, sekelas, sekuliah dan sepejabat.

Bila kita bertemu, masing-masing akan cepat membawa situasi lama ketika bersama. Bila kita terjumpa dengan kawan sekelas, maka keluarlah lawak-lawak di waktu zaman sekolah dahulu.

Begitu juga bila kita terserempak dengan bekas rakan sepejabat; masing-masing akan membuka cerita lama sebagai mangkin untuk segera selesa ketika berkomunikasi.

Hanya setelah beberapa ketika kita akan menjarakkan perasaan kita dengannya untuk menelah apakah teman yang kita temui itu telah berubah.

Sekiranya perangai yang dibawanya serupa seperti dahulu, maka kita akan selesa dengannya.

Sebaliknya jika dia mula mempamerkan ‘dirinya pada hari ini’ maka kita akan perlahan-lahan menyesuaikan diri dalam komunikasi seterusnya.

Barangkali kini teman itu sudah berpangkat sedangkan kita orang biasa. Lebih-lebih lagi jika dia mempamerkan status kluster kayangannya, maka kita akan pandai ‘membawa diri’ untuk berkomunikasi dengan teman yang sudah berubah.

Manusia berubah kerana pengalamannya. Barangkali hidupnya yang sebelum ini senantiasa malang; hilang kerja, kematian orang yang dikasihi atau dituduh menyeleweng harta hingga hilang segala-galanya. Situasi itu menjadikan jiwanya keras seperti batu.

Ada yang berpeluang melanjutkan pelajaran di luar negara lalu bekerja berbelas tahun di sana; ia menyumbang kepada perubahan cara pertuturan, pemikiran dan tingkah lakunya.

Kita yang melihat perubahan teman yang introvert kepada ekstrovert itu menjadi segan silu. Padahal, inilah dia yang baharu.

Kini, tiada lagi perbezaan di antara mereka yang tinggal di bandar atau di kampung. Orang kampung pun sudah tiada sikap kekampungannya. Namun, yang masih ketara ialah pergaulan menurut strata sosialnya.

Teman pergaulannya, di mana dia berbelanja, apakah menu makanannya, di mana dia tinggal dan bercuti akan merubah dirinya.

Orang ada-ada yang dilihat bergaya dan berlagak itu tidak semestinya berhidung tinggi.

Mereka sebenarnya sentiasa memandang ke luar outward looking kerana harta benda dan cita rasanya sudah cukup menjadi perisai dan kubu dirinya.

Sebaliknya mereka yang belum berada banyak melihat ke dalam atau inward looking menjadikan dia orang yang sentiasa sedarkan diri.

Jadi tidak keterlaluan kita mengatakan orang berada lazimnya tidak sedar diri dan sebaliknya yang belum berada itu, sedar kedudukan diri.

Walau apa pun keadaan dan seseorang itu, keadaan sentiasa berubah dan berputar silih berganti.

Namun, semakin dunia beranjak ke hujung usianya, kian ramai manusia yang tidak lagi mahu mengikut peraturan.

Mereka tidak perlu lagi berpegang kepada kata-kata, rajin dan usaha tangga kejayaan dengan cara yang jujur. Dalam diam-diam mereka langgar segala peraturan dan etika.

Mereka bergerak di sebalik harta dan kedudukan sebagai benteng. Kita berasakan merekalah orang yang baik dan terus menyanjungnya. Padahal, dia sudah tiada lagi peri kemanusiaan.

Pendek kata, kita berpeluang untuk menjadi baik atau sebaliknya meskipun kita pada hari ini tidak akan sama dengan diri kita yang semalam.

Tetapi kita akan beruntung sekiranya kita mengerti apa yang kita alami dalam perjalanan hidup ini seperti mengharungi arus sungai bilamana airnya akan mendatang dan berlalu meninggalkan kita ditelanjangi masa.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca