SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji dan melihat kembali peranan caregiver atau penjaga sebagai satu industri perkhidmatan berbayar. Setiausaha Agung Kehormat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Dr Sabariah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengkaji dan melihat kembali peranan caregiver atau penjaga sebagai satu industri perkhidmatan berbayar.

Setiausaha Agung Kehormat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Dr Sabariah Baharun berkata, buat masa ini ramai wanita yang menjadi penjaga kepada ahli keluarga, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) tanpa sebarang bayaran.

Sedangkan katanya, golongan yang berkorban masa untuk menjaga insan tersayang perlu diiktiraf sebagai salah satu daripada penyumbang kepada industri perkhidmatan yang menggerakkan ekonomi negara.

"Kebanyakan yang terlibat adalah wanita, yang mana mereka memberikan perkhidmatan secara percuma. Bagi keluarga yang berkemampuan, mereka boleh gunakan caregiver swasta tapi ramai kalangan rakyat yang terpaksa menjaga sendiri.

"Ada yang terpaksa berhenti kerja bagi menjaga keperluan ahli keluarga yang sakit dan perlukan penjagaan khas. Jadi, apa salahnya jika kerajaan menjadikannya satu perkhidmatan berbayar.

"Mungkin ia boleh diberikan dalam bentuk bayaran bulanan atau insentif khas. Selain berpenat lelah menjaga, ada yang terpaksa mengeluarkan belanja besar.

"Perkhidmatan mereka perlu diiktiraf,” katanya ketika ditanya tentang harapan sempena Belanjawan 2023.

Beliau yang juga Naib Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia berkata, saban tahun banyak inisiatif yang diberikan kerajaan untuk membantu dan memperkasakan wanita dalam belanjawan, namun apa yang menjadi persoalan ialah pelaksanaannya sampai ke akar umbi atau tidak.

"Sebarang polisi berkaitan seperti gangguan seksual, keganasan rumah tangga dan isu kanak-kanak, perlu ada usaha untuk bawanya ke bawah.

"Bukan sahaja wanita yang terlibat perlu sedar hak-hak mereka dan bantuan apa yang kerajaan berikan tapi pada masa sama, golongan lelaki juga perlu tahu agar manfaatnya sampai kepada semua,” jelasnya.

Selain itu, Sabariah berkata, perlu ada kerjasama merentasi kementerian dalam sebarang perancangan dan pelaksanaan dalam memastikan dasar kerajaan adalah selari serta mengurangkan kerenah birokrasi.

Belanjawan 2023 dijangka tumpu jana ekonomi domestik

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi penumpuan untuk menjana ekonomi domestik sebagai penambahbaikan dalam Belanjawan 2023 berbanding bajet sama yang dibentangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penjanaan ekonomi domestik tersebut bakal menjadi enjin kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Menurutnya, langkah itu selari dengan penurunan prestasi ekonomi global yang dijangka meleset pada tahun ini.

Aimi Zulhazmi

"Jadi dijangka pelbagai insentif termasuk pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) yang tidak melebihi tiga peratus tahun ini walaupun jangkaan awal Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan OPR lagi sebanyak 0.25 peratus ke 0.50 peratus tahun ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada 7 Oktober tahun lalu, kerajaan pimpinan Ismail Sabri membentangkan Belanjawan 2023 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Bersama’ berjumlah RM372.3 bilion yang terbesar dalam sejarah iaitu mewakili 20.5 peratus daripada KDNK negara.

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, belanjawan baharu makin mencabar kerana Perdana Menteri berhadapan dengan hutang negara mencecah RM1.2 trilion yang tidak termasuk liabiliti kerajaan semasa.

Menurutnya, peningkatan hutang hampir RM200 bilion antara akhir Jun hingga Disember 2022 menunjukkan dasar fiskal kerajaan terutamanya dalam menanggung subsidi bertambah berlipat ganda ekoran kos sara hidup yang menjadi antara sebab utamanya.

"Jadi jangkaan saya, belanjawan nanti akan lebih kecil berbanding cadangan belanjawan tahun lalu kerana kekangan kewangan, tambahan lagi Perdana Menteri juga telah memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) semula.

"Maka kerajaan harus mencari sumber kewangan yang baru bagi menampung perbelanjaan fiskal ini,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca