SHAH ALAM - Kerajaan disarankan mengembalikan semula inisiatif proses pemutihan pendatang asing tanpa izin (PATI) seakan-akan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja dan Pati (6P) bagi membolehkan mereka bekerja secara berdokumen di negara ini.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, jumlah kewujudan PATI di negara ini dilihat semakin membimbangkan dengan kaedah itu merupakan solusi terbaik untuk memantau pergerakan mereka.
Beliau menegaskan, Program 6P yang pernah diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada tahun 2009, dihentikan pada tahun 2013 dan digantikan Program Khas Pengurusan PATI (PKPP) serta terkini, Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
Tegas beliau, langkah pemutihan PATI untuk diserap menjadi tenaga kerja di setiap sektor perkhidmatan kritikal adalah idea jauh lebih baik berbanding mempertimbangkan inisiatif membawa masuk lebih ramai pekerja asing ke negara ini.
"Usaha mengembalikan proses pemutihan ala program 6P diharap dapat dijadikan satu program yang boleh menghasilkan situasi menang-menang kepada negara.
"Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) digesa mengembalikan pelaksanaannya dengan memberi peluang kepada warga asing tanpa dokumen untuk diberi kemudahan dapatkan permit kerja,” katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Kata Hishammuddin, rasional pelaksanaan itu adalah kerajaan dapat ‘memutihkan’ warga asing yang tiada dokumen di negara ini sekali gus dapat membolehkan mereka diserap untuk bekerja di dalam industri.
"Setakat yang kita faham, cadangan mengembalikan program berkenaan tidak dilihat sebagai program pengampunan, tetapi satu program penggajian semula yang berasaskan syarat-syarat tertentu.
"Sebagai contoh mereka yang disenarai hitam daripada majikan, individu-individu begini tidak berani tampil untuk memenuhi inisiatif Program Rekalibrasi Tenaga Kerja.
"Senario ini akan menyebabkan mereka kekal tidak berdokumen dan menjadi PATI. Justeru, jika kita beri peluang mereka menyertai proses pemutihan dan diberikan permit kerja, senario itu akan lebih bermanfaat kepada negara,” katanya.
Jelasnya lagi, inisiatif dicadangkan beliau juga dapat membantu negara daripada meningkatkan kebergantungan tinggi pengambilan pekerja asing tambahan dari luar negara.
"Bila kita dapat dokumenkan sejuta yang ada (warga asing), secara tidak langsung kita dapat mengurangkan kemasukan sejuta yang baharu.
"Jadi pada saya kemaskinikan informasi mereka yang berada di Malaysia, keutamaan perlu diberi untuk mendokumentasikan PATI sedia ada.
"Kalau kita enggan mendokumentasikan mereka ini, yang memang sudah berada di sini tidak akan membawa apa-apa hasil kepada negara. Walhal mereka boleh mendatangkan keuntungan kepada negara melalui bayaran levi dan memenuhi keperluan tenaga kerja di negara ini,” tegasnya.
Tambahnya, negara perlu memahami realiti sebenar keadaan negara yang masih berdepan lambakan PATI meskipun imigresen sering melaksanakan operasi penguatkuasaan secara kerap.
"Kita kena terima realiti, adakah kita mampu untuk mengusir mereka ini? Jika mampu saya tiada masalah, tetapi setakat kini saya lihat perkara itu sukar walaupun banyak operasi telah kita jalankan.
"Isu sekarang ini adalah aspek kawalan persempadanan di pintu masuk utama negara, namun jika mereka sudah ceroboh tanpa dokumen, kita perlu tentukan sama ada biarkan mereka tiada dokumen atau beri dokumentasi bersyarat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca