SHAH ALAM - Penyediaan laporan Kertas Putih Kesihatan membabitkan kajian dasar asas baharu kepada sektor perkhidmatan kesihatan diharapkan bukan sekadar gimik dan benar-benar memberi impak dalam meningkatkan kualiti sektor kesihatan awam di... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penyediaan laporan Kertas Putih Kesihatan membabitkan kajian dasar asas baharu kepada sektor perkhidmatan kesihatan diharapkan bukan sekadar gimik dan benar-benar memberi impak dalam meningkatkan kualiti sektor kesihatan awam di Malaysia.

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, perkara itu sangat penting untuk menangani isu-isu kesihatan seperti kekurangan doktor dan pakar, keperluan naik taraf hospital dan pembinaan hospital-hospital baharu untuk menampung keperluan semasa.

"Saya berharap Kertas Putih Kesihatan yang telah dimulakan sejak zaman (bekas) Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bukan sekadar gimik dan kementerian mampu mengeluarkan satu dokumen reformasi baharu untuk perkhidmatan kesihatan.

"Isu kekurangan pakar, kapasiti katil dan kemudahan hospital yang usang sudah berlaku puluhan tahun. Biarpun menteri sering bertukar ganti, masalah sistem kesihatan masih di takuk lama.

"Sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh meningkatkan mutu perkhidmatan dan kemudahan, ia akan mengurangkan perbelanjaan keseluruhan untuk sektor kesihatan. Oleh itu, kita berharap Kertas Putih Kesihatan dapat dilaksanakan segera dan ada penambahan peruntukan menerusi Belanjawan 2023,” katanya kepada Sinar Premium.

Mengikut situasi terkini, Boon Chye berpandangan, KKM sudah tidak mampu menampung kesemua permintaan dan tuntutan khidmat kesihatan daripada pesakit.

"Jika perkara seperti kesesakan di wad kecemasan dan kemudahan hospital yang tidak mencukupi masih berterusan, mutu perkhidmatan kesihatan akan merosot pada masa akan datang.

"Oleh itu, kita berharap agar iltizam dan keazaman Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan usaha ini akan berterusan serta memberi pembaharuan dalam hala tuju membaik pulih perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.

Boon Chye yang juga bekas Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, Malaysia akan ketinggalan jauh dan kedudukan negara boleh merosot sekiranya tidak ada pembaharuan dilakukan dalam perkhidmatan kesihatan negara.

"Negara Turkiye mempunyai penyampaian sistem kesihatan yang lebih baik daripada Malaysia. Apatah lagi dengan negara Singapura yang jauh ketinggalan untuk dibandingkan.

"Di Indonesia pula, mereka mempunyai insurans kesihatan yang meliputi kebanyakan rakyat di sana sama seperti di Taiwan dan Thailand. Sekiranya kita tidak membuat pembaharuan daripada sekarang, kedudukan kita akan terus merosot dari negara-negara lain,” katanya.

Kertas Putih Kesihatan yang bertujuan untuk memberi reformasi sistem kesihatan negara pada jangka masa panjang itu dikatakan dalam proses akhir untuk disiapkan dan akan dibentangkan di dalam Parlimen pada pertengahan tahun ini.

Pada Ahad, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah supaya kerajaan Persekutuan menitikberatkan kualiti perkhidmatan perubatan, kemudahan dan kebersihan hospital kerajaan di negeri itu.

Turut dibincangkan dalam pertemuan itu ialah penambahbaikan perkhidmatan perubatan di Johor dengan cadangan pembinaan sebuah hospital baharu berkapasiti 1,500 katil secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

Mengulas lanjut, Boon Chye berpandangan, usaha untuk melaksanakan PFI boleh dipertimbangkan kerana ia tidak melibatkan dana kerajaan secara langsung.

"PFI boleh dipertimbangkan tetapi ia tidak akan menyelesaikan masalah kekurangan doktor. Kemudahan fizikal perlu selari dengan jumlah pakar yang mencukupi agar perkhidmatan kesihatan dapat dipertingkat,” katanya.

Dalam pada itu, pakar perubatan kesihatan awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, dengan tuntutan kualiti perkhidmatan perubatan semakin kuat dilaungkan termasuk Sultan Johor, Kertas Putih Kesihatan ini menjadi harapan rakyat untuk menambah baik perkhidmatan kesihatan negara.

Selain itu, kerajaan perlu melakukan transformasi dalam sistem perkhidmatan kesihatan negara dengan menerima kaedah pembiayaan kesihatan baharu secara berperingkat seperti yang diamalkan di negara Filipina, Thailand dan Indonesia.

"Kertas Putih Kesihatan hanya akan menjadi kertas cadangan yang tiada makna, jika tidak dilaksanakan. Kementerian mesti ada keberanian politik dan kecerdikan dalam pelaksanaan.

"Negara perlu transformasi yang segera untuk mengelakkan sistem dan kualiti perkhidmatan kesihatan semakin menurun. Bagi saya, perkara ini tidak sukar dilakukan kerana pengalaman terdahulu sudah ada,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca