SHAH ALAM - Tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi dalang dalam kes kluster mahkamah membabitkan pemimpin parti itu hanyalah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap 'dosa' dilakukan kerajaan PN semasa mentadbir negara selama 17 bulan.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, semua orang boleh berfikir dengan waras bahawa Ahmad Zahid tiada sebarang kuasa untuk mempengaruhi SPRM dan badan kehakiman negara.
Tambahan pula beliau berkata, SPRM terletak di bawah seliaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala badan kehakiman terpisah daripada bidang kuasa badan eksekutif.
"Siapa Zahid untuk buat kerja sebegitu? Zahid hanyalah seorang TPM (Timbalan Perdana Menteri) yang sekadar menjaga portfolio Kementerian Desa dan Wilayah.
"SPRM tiada kena mengena dengan Zahid. Takkanlah hanya kerana hubungan Anwar-Zahid baik, itu sudah membenarkan dakwaan UMNO jadi dalang untuk balas dendam terhadap Bersatu dan PN.
"Saya fikir sudah-sudahlah Bersatu dan PN hendak bersikap 'play victim'. Dulu mereka tidak sedar implikasi dihadapi Zahid dan Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang berdepan pendakwaan terpilih. Sekarang bila mereka berdepan kes mahkamah, mereka kena sedar itu adalah satu prosedur undang-undang standard diambil SPRM tanpa campur tangan kerajaan," jelasnya.
Dalam satu sidang media di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Muhyiddin mengatakan kes kluster mahkamah melibatkan pemimpin parti itu telah lama dirancang dan didalangi oleh Ahmad Zahid.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil menegaskan Muhyiddin dan Bersatu tidak perlu menyalahkan orang lain apabila pemimpin mereka mula ditangkap berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa.
Ujarnya, pendedahan kes berkaitan projek Jana Wibawa adalah berasaskan maklumat kontraktor-kontraktor yang mesra parti itu sendiri.
"Saya lihat yang cuba alih perhatian dan menyalahkan orang lain adalah mereka sendiri. Retorik tidak akan menyelamatkan kamu kali ini. Siapa yang ambil rasuah perlu jawab di mahkamah di dunia ini dan di hadapan ALLAH SWT di akhirat kelak," tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca