CUBA kita bertanya: Apakah makna ‘marhaen’? Ramai orang yang terpelajar di Malaysia mengetahui maknanya.
Kamus Dewan Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2020 mentakrif entri ‘marhaen’ seperti berikut: Golongan rakyat yang bukan terdiri daripada golongan bangsawan, hartawan dan sebagainya, biasanya bekerja sendiri seperti bertani, menangkap ikan atau mencari kayu di hutan; rakyat jelata.
Kamus Besar Bahasa Indonesia dalam laman sesawangnya mendefinisikan entri ‘marhaen’ sebagai berikut: Penyebutan untuk kelompok petani kecil, buruh kecil, nelayan kecil, dan sebagainya.
Cuba kita susuli pula dengan soalan: Dari manakah asal perkataan ‘marhaen’? Amat sukar jawapan yang tepat dapat ditemui.
Istilah ‘marhaen’ dikenalkan kepada dunia oleh Presiden pertama Indonesia, sang proklamator kemerdekaan Indonesia, Ahmad Soekarno atau Bung Karno.
Pada tahun 1921, Bung Karno mula belajar dalam bidang kejuruteraan awam berfokus kepada seni bina.
Beliau berjaya meraih gelaran ‘Ir’ – singkatan bagi Insinyur (Ingenieur dalam bahasa Belanda) pada 25 Mei 1926.
Kuliah dan latihan yang dijalani beliau ialah di Technische Hoogeschool te Bandoeng, yang kemudian dikenali sebagai Institut Teknologi Bandung selepas kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 1945.
‘Marhaen’ berasal daripada nama seorang petani muda dan miskin yang dijumpai Soekarno sewaktu berbasikal ke Bandung Selatan semasa dia di kuliah kejuruteraan itu.
Kisah ini diceritakan dalam buku fenomenal berjudul Sukarno: An Autobiografi as Told to Cindy Adams (Bobbs Merrill, Indianapolis, 1965) karya Cindy Adams – wartawan Amerika Syarikat yang bersahabat dengan Bung Karno.
Terjemahan bahasa Indonesia buku ini berjudul Bung Karno: Penyambung Lidah Rakyat Indonesia diterbitkan oleh tiga buah penerbit Indonesia: PT Media Pressindo, Yogyakarta; PT Buku Seru, Jakarta; dan Yayasan Bung Karno, Yogyakarta.
Sewaktu disapa Bung Karno, Marhaen sedang melakukan kegiatan tani hariannya. Marhaen menjelaskan bahawa sawah, cangkul, bajak, dan hasil panen adalah miliknya yang berdikari (berdiri di atas kaki sendiri). Keringatnya hanya untuk dirinya dan ia tidak makan gaji dengan orang lain.
Apabila ditelusuri kembali oleh para pengkaji, tempat pertemuan ini ialah sekitar kawasan Jalan Batu Lingga yang kini tidak begitu jauh dari Jalan Soekarno Hatta di Bandung Selatan.
Ini disebut dalam klip video (21 Januari 2023) yang bertajuk Menyimak Bandung dengan Meminjam Mata Bung Karno, Tempat Dia Pertama Kali Bertemu Marhaen.
Pada 17 Ogos 1945, sebagai Proklamator Kemerdekaan bersama-sama Dr Muhammad Hatta (Bung Hatta) Wakil Presiden (Wapres) atau Timbalan Presidennya, nama Marhaen sudah berakar umbi di benak Bung Karno.
Sewaktu pidato 17 Februari 1959 di Konferens Besar Gerakan Mahasiswa Nasional Indonesia (GMNI) di Kaliurang, Jogjakarta, Bung Karno menegaskan bahawa tujuan GMNI adalah marhaenisme.
Baginya gagasan perjuangan untuk menyelamatkan kaum marhaen paling cocok untuk gerakan rakyat Indonesia yang menuju kepada hilangnya kapitalisme, imperialisme dan kolonialisme. Bung Karno juga menamakan gagasan marhaenisme sebagai sosionasionalisme dan sosiodemokrasi.
Dalam buku koleksi tulisan 1917–1925 yang berjudul Di Bawah Bendera Revolusi: Jilid Pertama (terbitan 1959), Bung Karno menjelaskan tentang kaum marhaen.
Mereka bukanlah kaum proletar yang semata-mata kaum buruh saja, tetapi kaum proletar dan tani melarat serta kaum melarat Indonesia yang lain. Misalnya ialah kaum dagang kecil, kaum ngarit (pencari rumput), kaum tukang kaleng, kaum gerobak, dan kaum nelayan.
Ahmad Murad Merican, penulis tersohor Malaysia, menyebut bahawa ada pihak yang mendakwa Sukarno mencipta cerita pertemuannya dengan Marhaen. https://www.melakahariini.my/marhaen-sukarnos-decolonized-icon/ (17 Jan 2022).
Apa pun kebenarannya, istilah ‘marhaen’ tetap terus melegenda hingga kini – merentasi perbatasan Bandung dan Indonesia – ke seantero dunia.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Klik di sini untuk terus membaca