PARLIMEN berpenggal tetap yang dicadangkan oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani dan baru-baru ini oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad adalah idea baharu reformasi institusi yang masanya sudah tiba dengan munculnya... Klik di sini untuk terus membaca

PARLIMEN berpenggal tetap yang dicadangkan oleh pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani dan baru-baru ini oleh Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad adalah idea baharu reformasi institusi yang masanya sudah tiba dengan munculnya Parlimen tergantung.

Idea ini bertujuan menyekat kuasa Perdana Menteri (PM) dalam demokrasi berparlimen untuk membubarkan Dewan Rakyat sesuka hati ketika beliau tidak kehilangan majoriti.

Dengan kuasa ini sekarang, maka kerajaan boleh ‘bertaruh’ dalam memilih masa untuk mengadakan pilihan raya daripada mengikut jadual pilihan raya yang tetap seperti dalam demokrasi berpresiden.

Ini menggalakkan kerajaan membuat perhitungan jangka pendek seperti mengadakan belanjawan bersifat populis dan kemudian membubarkan Parlimen. Unsur ketidaktentuan ini merugikan rakyat dan menyulitkan kestabilan ekonomi.

Dalam sistem raja berperlembagaan atau republik berparlimen yang matang seperti United Kingdom (UK), raja atau presiden biasanya mengelak daripada membuat keputusan politik, maka biasanya akan memperkenan permohonan PM untuk membubarkan parlimen lebih awal.

Dengan Parlimen berpenggal tetap, adakah Parlimen tidak boleh dibubarkan tidak mengira apa keadaan pun? Sudah tentu tidak, kelebihan demokrasi berparlimen ialah fleksibilitinya. Apa yang dielakkan cuma ciri fleksibiliti disalahgunakan oleh kerajaan sampai memudaratkan rakyat.

Maka, erti sebenar Parlimen berpenggal tetap ialah pembubaran awal menjadi kekecualian luar biasa yang hanya boleh diusahadayakan oleh Parlimen, dalam satu daripada dua keadaan berikut.

Pertama, apabila Parlimen menyatakan kehilangan kepercayaan kepada PM; kedua, atas apa alasan pun, Parlimen dengan majoriti super (misalnya dua pertiga) dan bukan majoriti mudah membuat ketetapan untuk berbuat begini.

Soalan yang seterusnya: Jika Parlimen mengambil keputusan untuk memohon pembubaran awal, adakah raja atau presiden kehilangan kuasa budi bicara untuk tidak memperkenan permohonan tersebut?

Di sini, kita perlu berhati-hati apabila membuat rujukan kepada Akta Penggal Tetap Parlimen 2011 (FPTA) di UK, seolah-olah kita mesti mengikut acuannya.

Satu perbezaan yang besar antara UK dan Malaysia ialah UK tidak mempunyai perlembagaan bertulis, bermaksud apa-apa akta yang diluluskan oleh parlimennya tidak boleh dikatakan melanggar perlembagaan.

Dalam konteks Malaysia, Parlimen berpenggal tetap boleh dicapai tanpa menyentuh kuasa budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memperkenankan atau tidak memperkenankan permohonan pembubaran awal oleh PM di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mengapa? Tujuan Parlimen berpenggal tetap ialah mengikat tangan PM daripada sesuka hati memohon pembubaran awal, tetapi bukan mengikat tangan YDPA menolak permohonan itu.

Jadi, jika Kerajaan Perpaduan ingin menstabilkan politik dengan mengelakkan pembubaran awal Parlimen, maka sebuah Akta Parlimen Berpenggal Tetap (APBT) yang hanya perlu kelulusan majoriti mudah harus digubal.

APBT ini akan menetapkan bahawa Dewan Rakyat akan terbubar selepas 18 Disember 2027 (genap lima tahun dari tarikh ahli Parlimen mengangkat sumpah pada 19 Disember 2022) kecuali jika permohonan untuk pembubaran awal boleh dibuat – hanya jika kerajaan kehilangan kepercayaan Parlimen atau sekurang-kurangnya 148 orang ahli Dewan Rakyat mengusulkan permohonan tersebut – dan seterusnya diperkenankan oleh YDPA di bawah Perkara 40(2).

Ini bermakna, sekalipun jika kesemua 222 ahli Dewan Rakyat inginkan pembubaran awal, YDPA tetap boleh tidak memperkenankan permohonan PM.

Baik buruk penggal tetap Parlimen boleh diteliti dari sudut sebesar mana kuasa harus diberikan kepada PM untuk menentukan masa pilihan raya. Tidak perlu kaitkan dengan kuasa raja yang tidak tergugat.

* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway

Klik di sini untuk terus membaca