SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berpandangan, cadangan untuk memendekkan tempoh menunaikan haji bagi mengurangkan kos mengerjakan ibadah itu adalah tidak realistik. Beliau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berpandangan, cadangan untuk memendekkan tempoh menunaikan haji bagi mengurangkan kos mengerjakan ibadah itu adalah tidak realistik.

Beliau berkata, saranan itu merupakan antara yang kerap diutarakan kepada lembaga berkenaan.

Menurutnya, ia juga satu syor yang dianggap tidak praktikal kerana sewa hotel tidak bergantung pada tempoh penginapan berikutan Lembaga Tabung Haji (TH) telah memajak bangunan penginapan jemaah haji di Makkah dan Madinah mengikut musim.

"Sewa hotel bukannya bergantung kepada berapa lama kita menginap. Jadi kalau jemaah duduk sana sekejap atau lama tidak akan memberi impak kepada kos hotel.

"Lagi pula di sana sudah banyak hotel lama yang digantikan dengan hotel baharu, jadi kos yang dikenakan pastinya lebih tinggi.

"Antara faktor lain yang perlu diambil perhatian ialah slot penerbangan kerana biasanya semakin hampir dengan wukuf, keutamaan diberikan kepada jemaah daripada negara-negara teluk. Jadi, penerbangan dari rantau sebelah sini berkurangan.

"Dua perkara ini menyebabkan cadangan mengurangkan tempoh mengerjakan haji sukar untuk dilaksanakan, ” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Lembaga TH mengkaji semula tempoh masa menunaikan haji ekoran peningkatan kos mengerjakan Rukun Islam kelima itu ketika ini.

Ismail Sabri berkata, empat pakej tempoh masa menunaikan ibadah haji boleh diperkenalkan iaitu 14, 21, 30 dan 40 hari.

Mengulas lanjut, jelas Nik Mohd Hasyudeen, bakal jemah perlu menerima hakikat bahawa kos menunaikan haji memang akan meningkat saban tahun ekoran peningkatan harga minyak, inflasi dan sebagainya.

"Dari segi pertukaran wang asing juga akan beri kesan. Apabila ada perubahan dalam tukaran mata wang asing kos akan berubah, perkara-perkara ini kebanyakannya adalah di luar kawalan TH.

"Masalahnya ialah kita tidak mahu menerima hakikat, kos naik tetapi kita tetap nak bayar harga yang sama sedangkan (kos) ini naik setiap tahun,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca