SHAH ALAM - Tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hanya akan menyukarkan lagi usaha kedua-dua parti tersebut untuk bekerjasama pada masa hadapan.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, UMNO perlu menjadikan situasi itu sebagai asas untuk melakukan pengukuhan dalam parti supaya kerjasama di peringkat negeri masih dapat diteruskan, sekali gus boleh mempengaruhi sokongan di peringkat pusat.
"Di peringkat pusat, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melibatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
"Di peringkat negeri (Sabah), saya percaya, kerajaan GRS perlu berhati-hati dengan keputusan mengambil ADUN daripada parti UMNO supaya ia tidak menjejaskan reputasi dan kredibiliti kerana akhirnya boleh melahirkan ancaman lain yang mempengaruhi kestabilan politik negeri itu.
"Ini kerana kita tahu di Sabah, kestabilan politik di negeri itu kerap diancam oleh faktor dalaman dan juga luaran parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, lima ADUN daripada UMNO/BN bertindak keluar daripada parti dan mengambil keputusan untuk menyertai Gagasan Rakyat.
Mereka terdiri daripada ADUN Sindumin, Datuk Yusof Yacob, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Arshad Bistari (Tempasuk), dan Datuk Hamild Hamid Awang (Balung).
Selain mereka, tiga lagi bekas ADUN Warisan masing-masing Mohammad Mohamarin (Banggi); Chong Chen Bin (Tanjong Kapor); serta Norazlina Arif (Kunak) turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat.
Sementara itu, Sivamurugan berkata, situasi politik yang tidak stabil itu boleh memberi ancaman kepada usaha Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk memperkukuhkan kedudukan kepimpinan di peringkat kerajaan negeri.
"Jika usaha menarik sokongan itu berterusan, maka sudah pasti kestabilan politik itu akan berada dalam keadaan tidak menentu.
"Kita tidak mahu melihat konflik yang berlaku itu membawa kepada pembubaran kerajaan negeri walaupun GRS sekarang ini nampak kuat tetapi aktiviti lompat parti atau bertukar parti itu seolah-olah sudah menjadi satu budaya yang sebenarnya perlu dihentikan.
"Melalui Akta Anti Lompat Parti barulah kestabilan politik di negeri itu tidak akan terjejas. Bila kestabilan politik terjejas, ia akan mempengaruhi institusi, penstrukturan ekonomi dan sosial negeri,” ujarnya.
Menurutnya, negosiasi atau pendamaian politik itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang ancaman, sama ada dari luar atau dalam parti itu sendiri supaya tidak memberi kesan kepada rakyat.
"Buat masa ini saya rasa agak sukar (usaha berbaik semula). Tidak ada parti yang akan rasa seronok bila ahlinya keluar dan menyokong pesaing politik mereka.
"Jadi dalam keadaan sukar ini, kepimpinan kerajaan negeri Sabah perlu mencari satu formula dengan tawaran yang dapat meredakan keadaan supaya tidak berpanjangan,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca