PERUNTUKAN untuk sektor pendidikan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Kerajaan Perpaduan pada Jumaat ini, wajar terus kekal dijadikan peruntukan terbesar dalam bajet berkenaan selepas peruntukan perbelanjaan mengurus negara.... Klik di sini untuk terus membaca

PERUNTUKAN untuk sektor pendidikan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan Kerajaan Perpaduan pada Jumaat ini, wajar terus kekal dijadikan peruntukan terbesar dalam bajet berkenaan selepas peruntukan perbelanjaan mengurus negara.

Majoriti pakar berpandangan kenaikan peruntukan untuk sektor pendidikan adalah bersesuaian dengan situasi semasa sektor berkenaan yang memerlukan penambahbaikan demi memberikan kualiti pendidikan terbaik untuk rakyat dan negara.

Pakar pendidikan daripada Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, keperluan untuk peruntukan tambahan dalam Belanjawan 2023 diharapkan dapat menangani beberapa isu teras yang membebani sektor pendidikan.

"Kita amat berharap peruntukan Belanjawan 2023 untuk sektor pendidikan akan menumpukan kepada usaha menyelesaikan beberapa isu kritikal.

"Ia termasuk baik pulih sekolah daif, pembinaan sekolah baharu di kawasan bandar padat penduduk, penambahan guru serta meluaskan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada lebih banyak pelajar kurang berkemampuan,” ujarnya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Menurut beliau, kerajaan wajar menimbang peruntukan tambahan lebih besar untuk keempat-empat segmen terbabit, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan selain menjaga kebajikan pelajar dan guru.

"Penyelenggaraan sekolah daif misalnya adalah bertujuan memberi pelajar suasana pembelajaran selesa dan kondusif selain mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar di kawasan bandar dan luar bandar,” ujar Anuar.

Selain itu, peruntukan tambahan lebih besar juga dapat memastikan inisiatif pembinaan sekolah baharu bagi mengelakkan kesesakan pelajar di dalam kelas, pengambilan guru baharu untuk memastikan kecukupan tenaga pengajar dan program pendigitalan pendidikan secara lebih efektif.

Untuk rekod, dalam Belanjawan 2022 berjumlah RM332.1 bilion yang dibentangkan bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Oktober 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak RM52.6 bilion.

Dalam pembentangan cadangan Belanjawan 2023 tahun lalu, Tengku Zafrul mengesahkan sektor pendidikan kekal sebagai segmen terpenting perbelanjaan negara apabila diberikan sejumlah RM55.6 bilion.

Jumlah itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM3 bilion berbanding peruntukan Belanjawan 2022, namun ia tidak dapat diluluskan kerana Parlimen kemudiannya terbubar tiga hari kemudian.

MOHD FADLI

Sementara itu, aktivis guru kontroversi, Mohd Fadli Mohamed Salleh berkata, kebanyakan isu berlarutan dalam sektor pendidikan negara didakwa berlaku disebabkan ketiadaan peruntukan mencukupi.

"Melihat kepada banyaknya situasi seperti sekolah dan kuarters guru uzur, peruntukan sebelum ini seolah-olah tidak mencukupi dan saya setuju peruntukan pendidikan ditambah dalam belanjawan kali ini,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohd Fadli mengingatkan pentingnya peruntukan diluluskan kelak, diuruskan dengan betul agar dapat memenuhi objektif asal iaitu menambah baik sektor pendidikan.

Beliau turut berharap Belanjawan 2023 dapat mengutamakan aspek prasarana dan fasiliti sekolah supaya lebih lengkap dan seiring dengan kemajuan teknologi semasa.

"Kalau boleh sekolah dapat dilengkapi dengan peralatan seperti smart board, televisyen android, LCD dan lain-lain sesuai dengan teknologi terkini.

"Pada masa sama, kerusi meja dan papan putih usang juga perlu ditukar agar dapat memberikan pengalaman pembelajaran terbaik kepada pelajar,” katanya lagi.

Menyentuh masalah lain seperti keciciran pelajar dan beban kerja guru yang tinggi, Mohd Fadli mengakui solusi KPM dengan melaksanakan sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk guru-guru di lapangan adalah baik.

ALIMUDDIN

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula menekankan keperluan peruntukan sektor pendidikan dalam Belanjawan 2023 dinaikkan dengan mengambil kira keperluan perbelanjaan KPM.

"Komitmen KPM untuk menyelenggara ratusan sekolah daif dan uzur di seluruh negara terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman misalnya, pasti akan menelan kos amat tinggi.

"Kita tidak mahu pelajar di kawasan terbabit ketinggalan daripada menikmati infrastruktur yang sempurna untuk pembelajaran seperti rakan mereka yang lain di bandar,” katanya.

Tambah beliau, sektor pendidikan negara tidak boleh statik sebaliknya perlu bergerak seiring dengan perkembangan semasa terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menjadi pemangkin kemajuan.

Menurut Alimuddin, negara mempunyai potensi besar menjadi hub pendidikan utama di rantau Asia, maka wajar segala usaha pembangunan sektor pendidikan digerakkan dengan perancangan strategik tanpa halangan kewangan.

Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik turut menzahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan akan komited dalam memberikan tumpuan kepada isu-isu utama demi meningkatkan mutu pendidikan negara.

Beliau juga yakin kerajaan akan membuka peluang yang saksama untuk semua anak-anak mendapatkan akses kepada pendidikan terbaik.

"Isu kritikal seperti pemulihan pendidikan golongan cicir pelajaran (lost generation) dampak Covid-19, pembaikpulihan sekolah daif yang terabai selama 33 bulan di bawah pentadbiran kerajaan lama, isu menaik taraf pendidikan anak-anak OKU dan pendidikan khas, program sarapan percuma dan kebajikan para guru dan kakitangan sekolah mestilah menjadi agenda utama untuk belanjawan sulung Kerajaan Perpaduan,” katanya.


Peruntukan sektor pendidikan dalam Belanjawan 2019-2022

Belanjawan 2019 - RM60.2 bilion

Belanjawan 2020 - RM64.1 bilion

Belanjawan 2021 - RM50.4 bilion

Belanjawan 2022 - RM52.6 bilion


Klik di sini untuk terus membaca