MINGGU lalu dalam kolum ini, saya membicarakan kepentingan membina insan baik (good man). Ia perlu bermula dengan penghayatan budaya ilmu dan pelaksanaan pendidikan bersepadu. Ia adalah komponen pertama daripada tiga komponen insan baik.... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu dalam kolum ini, saya membicarakan kepentingan membina insan baik (good man). Ia perlu bermula dengan penghayatan budaya ilmu dan pelaksanaan pendidikan bersepadu. Ia adalah komponen pertama daripada tiga komponen insan baik.

Komponen kedua ialah memimpin kehidupan digital yang manusiawi. Kita perlu futuris. Perubahan teknologi tetap berlaku (inevitable). Ekonomi digital ialah pemacu utama pertumbuhan ekonomi hari ini.

Di sinilah kebijaksanaan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Pelan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) lengkap dengan sokongan-sokongannya seperti Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Bekas Menteri Pendidikan pula, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin telah menyiapkan kertas Dasar Pendidikan Digital. Kita harus menyediakan ekosistem geopolitik, budaya dan generasi yang mencetuskan serta menguasainya.

Pada masa sama, kita perlu mengatasi kesan-kesan negatif daripada kepesatan teknologi, contohnya keselamatan siber, privasi dan etika. Ini bermakna, kita memerlukan generasi digital yang manusiawi.

Komponen ketiga ialah berpandangan sarwa (menyeluruh) yang harmoni dan global. Kita perlu membina insan yang mampu mengemudi kehidupannya dengan tenang dan cemerlang dalam masyarakat majmuk serta antarabangsa.

Dalam masyarakat majmuk, dengan pendekatan peaceful coexistence (kerukunan hidup dalam budaya damai – Siddiq Fadzil). Mampu berdaya saing, malah memimpin dalam apa juga gelanggang pekerjaan, perniagaan dan ekonomi antarabangsa serta memahami dan menangani arkitektur antarabangsa yang sering bias kuasa-kuasa serta korporat-korporat besar.

Jadi, bukan sekadar keceriaan sekolah yang lazim tetapi keceriaan sekolah yang selaras dengan Sustainable Development Goals.

Dan, melipatgandakan program pertukaran pelajar antarabangsa yang benar-benar bermakna.

Perkara berikutnya ialah tumpuan utama – pelajar, ilmuwan dan pakar-pakar bidang. Adakalanya kita tersasar. Kita asyik berdebat tentang pendidikan tetapi bukannya tentang tumpuan utama iaitu pelajar.

Kita mesti membetulkan kompas pendidikan kita bahawa yang paling diutamakan ialah pelajar. Jadikanlah sekolah tempat yang seronok.

Justeru, kita mesti mengamalkan pendekatan penghakupayaan pelajar dan memperkasa gerakan mahasiswa dalam seluruh proses pendidikan termasuk dalam governans institusi pendidikan.

Tumpuan seterusnya ialah guru-guru, pensyarah-pensyarah dan pakar-pakar. Kita harus ingat bahawa yang dinamakan sekolah dan universiti itu bukannya bangunan-bangunannya tetapi adalah komuniti pendidikan iaitu interaksi intensif antara guru/pensyarah serta pelajar-pelajar.

Kembalikan dan bantulah guru serta pensyarah menjalankan tugasnya yang hakiki iaitu mengajar. Libatkanlah wakil kesatuan-kesatuan guru, contohnya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan pensyarah dalam proses membuat keputusan.

Dalam konteks ini, bagaimanakah kita melihat dunia pendidikan? Saya menggesa kita melihatnya dengan pandangan sarwa pendidikan, bukannya daripada pandangan sarwa bidang lain seperti bidang pengurusan.

Contohnya mendalam – pendidikan dinilai (evaluation), bukannya diukur (measurement). Neraca penilaiannya mestilah neraca ilmu dan tamadun, bukannya neraca pentadbiran dan birokrasi.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang

Klik di sini untuk terus membaca