PERTEMUAN antara Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Anthony Blinken dan Pengarah Pejabat Suruhanjaya Pusat Hal Ehwal Luar China, Wang Yi di Munich, Jerman, bukan perjumpaan biasa.
Perbincangan mereka menjurus kepada tuduhan AS, kononnya belon China yang ditembak di luar pantai Carolina Selatan ‘melakukan pengintipan’.
Tidak berpuas hati dengan jawapan Yi, Blinken segera bertindak membatalkan rancangannya untuk mengadakan lawatan rasmi ke China yang dijadualkan akhir bulan ini. Blinken juga dikatakan berang dengan tindakan Yi yang tidak memohon maaf kepada AS.
Yi kemudiannya secara terbuka membidas sikap AS dalam menangani kes belon udara. Yi turut menuduh AS sebagai cuba menghangatkan suasana sambil menegaskan belon tersebut adalah satu alat pemantauan cuaca.
AS terus memperisakan ketegangan tersebut dengan menuduh satu lagi belon pengintipan China turut dikesan di luar pantai sebuah negara Latin Amerika.
AS bagaimanapun tidak menamakan negara tersebut. Awal bulan ini, jurucakap Pentagon, Brigadier Jeneral Patrick Ryder mengesahkan belon tersebut telah berubah haluan dan terapung ke arah timur pada ketinggian 60,000 kaki (18,300 meter) di atas tengah AS.
Kisah terbaharu itu meyakinkan penulis betapa AS sentiasa curiga dengan kekuatan pengintipan China. Sebelum ini, AS menuduh peranti buatan konglomerat China, Huawei mencuri data bagi tujuan pengintipan.
Malah, timbul berita meresahkan pada pertengahan bulan ini apabila polis Britain dilaporkan mengguna teknologi pengawasan Huawei sekalipun negara itu mengisytiharkan peranti syarikat berkenaan berisiko tinggi kepada keselamatan.
Bagi mengetahui cerita sebenar tentang belon pengintipan China, penulis melayari hampir semua berita berkaitan tuduhan Blinken. Daripada berita tersebut, tentera AS telah menembak belon pengintipan China menggunakan jet pejuang F-22, dilengkapi peluru berpandu.
Blinken menuduh China sedang berusaha mengintip AS. Belon berwarna keputihan dengan anggaran garis pusat 70 meter dilihat berlegar-legar di ruang udara tapak rahsia ketenteraan AS bertujuan mengumpul data maklumat sensitif.
Sekumpulan penyelidik ketenteraan AS juga dikatakan sedang melakukan bedah siasat terhadap ‘bangkai’ belon bagi mengesahkan adakah ia melakukan pengintipan ketenteraan.
Kajian penulis mendapati belon cuaca atau weather balloon China yang dituduh mengintip berukuran garis pusat dua meter berisi gas helium atau hidrogen sebelum dilepaskan ke udara. Ia mengembang sehingga bergaris pusat hampir 70 meter selepas terbang ke udara dengan kemampuan altitud ketinggian melebihi 40,000 meter.
Belon cuaca tersebut direka Institut Penyelidikan dan Rekaan Getah Zhuzhou berpangkalan di Hunan, China sejak 1964. Ia juga mampu mengangkut muatan saintifik terbang ke atmosfera seperti peralatan radiosonde, alat mengukur tekanan udara, suhu dan kelembapan relatif. Ia berbentuk sfera atau ‘sphere’ untuk mengurangkan tekanan pemuatan udara.
Cable News Network (CNN) pula menggelar peranti tersebut sebagai Belon Altitud-Tinggi atau High-Altitude Balloon (HAB) yang menjalankan misi pengintipan. CNN percaya belon pengintipan China itu berlegar di ruang udara Pusat Peledak Nuklear di Medan Silo di Montana, AS antara 28 Januari dan 4 Februari lalu.
CNN menegaskan Pentagon percaya belon itu digunakan untuk mengintip dan mendapatkan maklumat rahsia di tapak ketenteraan negara berkenaan.Perbuatan pengintipan sebenarnya dijelaskan ALLAH SWT dalam surah Al-Jin ayat 72:8-10 yang diterjemahkan bermaksud: "Sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya).
"Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka.”
Apa pun, penulis percaya AS terlalu taasub kepada kepercayaan China kini menjadi musuh utama negara itu. AS cuba menghalalkan kepercayaan tersebut dengan menuduh China sentiasa berusaha melakukan pengintipan di AS.
Kesimpulannya, penulis berpendapat sudah sampai masanya Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi terkini berkaitan keselamatan ketenteraan bagi memastikan ruang udara dan kedaulatan negara sentiasa terjamin.
Berada pada kedudukan yang sangat ‘strategik’ mungkin mendedahkan Malaysia kepada percubaan intipan udara.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)
Klik di sini untuk terus membaca