SHAH ALAM - Ekonomi di Malaysia masih belum mencapai prestasi yang memuaskan seperti sebelum berlakunya pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada Bajet 2023 Malaysia Madani berkata, Malaysia juga mengalami tantangan ekonomi hebat pada tahun 2022 apabila inflasi tahun lalu berada pada kadar 3.3 peratus dengan kadar inflasi makanan dicatat tinggi iaitu 5.8 peratus.
"Kadar inflasi tahun ini pula dijangka sama seperti tahun 2022. Namun, tidak mustahil ia akan menjadi lebih tinggi jika ketidaktentuan rantaian bekalan global tidak ditangani.
"Kadar pengangguran pada tahun 2022 pula dicatat 3.6 peratus ketimbang 3.3 peratus sewaktu prapandemik tahun 2019,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat.
Anwar yang juga merupakan Perdana Menteri berkata, pengangguran belia berusia 25 tahun ke bawah masih melebihi 10 peratus.
"Purata pendapatan belia juga rendah, sekitar 1,700 ringgit pada 2021. Apa yang disebutkan ialah paparan secara jujur dan terang mengenai kemelut ekonomi yang kita warisi bersama.
"Maka, Belanjawan MADANI ini harus punyai keupayaan untuk menggembleng seluruh kekuatan dan tenaga untuk menterjemah kebijakan baharu," katanya.
Pembentangan Belanjawan 2023 yang menelan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM388.1 bilion merupakan penampilan Anwar kali kedua selepas 26 tahun ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan pada 1997.
Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM 99bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober 2022 dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah yang berjumlah RM372.3 bilion.
Bagaimanapun ia tidak sempat untuk dibahaskan kerana Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Dalam pada itu, Anwar berkata, sektor pelaburan di Malaysia meraih pelaburan sebanyak RM297.5 bilion ringgit pada tahun lalu iaitu 9.4 peratus lebih rendah ketimbang RM328.5 bilion pada tahun 2019.
Selain itu, Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) Malaysia juga telah jatuh ke tangga 32 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) pada tahun lalu, turun tujuh tangga dari kedudukan ke-25 yang direkodkan pada 2021.
Perkara ini amat menyedihkan kerana negara ini pernah menduduki tangga ke-12 yang mana pelabur meyakini keupayaan ekonomi dan kecekapan jentera penyampaian Awam.
"Kendatipun begitu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengajak pimpinan politik, pengemudi kementerian serta penjawat awam, selain para pengusaha dan rakyat untuk menerima kenyataan bahawa negara mampu mencipta lonjakan.
"Agar tatanan ini tidak hanya dapat diteladani negara tetangga serantau tetapi seantero dunia juga, dan pada masa sama membenih keyakinan di kalangan rakyat,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca