KUALA LUMPUR - Konsep Payung Rahmah yang meliputi inisiatif Menu Rahmah serta Sumbangan Tunai Rahmah meliputi peruntukan sehingga RM64 bilion bakal diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bagi meminimunkan kos sara hidup rakyat. Perdana Menteri,... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Konsep Payung Rahmah yang meliputi inisiatif Menu Rahmah serta Sumbangan Tunai Rahmah meliputi peruntukan sehingga RM64 bilion bakal diperkenalkan Kerajaan Perpaduan bagi meminimunkan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam menimbang usaha menangani kenaikan kos sara hidup, Kerajaan Perpaduan telah memperkenalkan Konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada usaha membantu golongan susah dan rentan.

Menurutnya, salah satunya ialah inisiatif Menu Rahmah dengan langkah ini dijangka akan terus menerima sambutan baik daripada pengusaha makanan dan rakyat.

"Kerajaan juga melaksanakan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan asas dengan harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding pasaran. Kerajaan menyediakan RM100 juta untuk menjayakan program ini di setiap 222 kawasan Parlimen.

"Kerajaan juga akan meningkatkan peruntukan daripada RM200 juta kepada RM225 juta bagi memperluas program pengedaran barangan keperluan asas ke 25 kawasan baharu antaranya di Paloh dan Passin, Sarawak, Pasir Raja, Terengganu dan Kuala Krai, Kelantan," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat.

Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan bertolak dari Kementerian Kewangan ke Parlimen untuk pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani pada Jumaat.

Pembentangan Belanjawan 2023 yang menelan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM388.1 bilion merupakan penampilan Anwar kali kedua selepas 26 tahun ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan pada 1997.

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM99 bilion bagi belanja pembangunan termasuk RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober 2022 dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah yang berjumlah RM372.3 bilion.

Bagaimanapun ia tidak sempat untuk dibahaskan kerana Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Sementara itu, Anwar turut menegaskan kerajaan telah menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1.

Ujarnya, beberapa pembaharuan diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, dan mendapat manfaat yang lebih daripada STR.

"Antaranya isi rumah pendapatan kurang RM2,500, layak terima sumbangan sehingga 2,500 ringgit bergantung kepada bilangan anak.

"Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima STR termiskin mengikut data e-Kasih.

"Sumbangan ini akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan juga secara baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600 kepada mereka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca