SHAH ALAM - Pembaharuan perlu dilaksanakan agar 90 peratus graduan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerima gaji lebih RM2,000.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengangguran belia di negara ini bukan sahaja tinggi, malah negara turut terperangkap dalam situasi 'kekurangan peluang pekerjaan' apabila pekerjaan tidak dibayar gaji yang setimpal dengan kelayakan.
"Data menunjukkan 90 peratus graduan TVET memperoleh pekerjaan tetapi 90 peratus mereka meraih gaji yang rendah, hanya sekitar RM2,000 sebulan walhal kerajaan berbelanja sehingga RM6.7 bilion untuk TVET.
"Ini tidak boleh diterima dan pembaharuan perlu dilaksanakan agar 90 peratus graduan TVET menerima gaji lebih RM2,000,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat.
Pembentangan Belanjawan 2023 yang menelan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM388.1 bilion merupakan penampilan Anwar kali kedua selepas 26 tahun ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan pada 1997.
Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion untuk belanja mengurus dan RM 99bilion bagi belanja pembangunan dan termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka.
Belanjawan 2023 telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 7 Oktober 2022 dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah yang berjumlah RM372.3 bilion.
Bagaimanapun ia tidak sempat untuk dibahaskan kerana Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Menurut Anwar lagi, suatu kebijakan yang harus dicontoh adalah kerjasama kerajaan Pulau Pinang dengan pemain industri elektrikal dan elektronik yang berjaya menyediakan pekerjaan kepada graduan TVET dengan gaji bermaruah.
"Syarikat seperti Intel, Motorola dan Inari telah memanfaatkan Penang Skills Development Centre untuk menganjurkan program latihan berdasarkan keperluan mereka,” ujar beliau.
Tambahnya, kerajaan berhasrat untuk mencontohi model ini secara rintis melibatkan institusi TVET Persekutuan dengan sasaran 50 buah syarikat terutamanya dalam kalangan GLC.
"Syarikat peneraju ini akan mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya operasi institusi TVET seperti kolej komuniti, institut latihan kemahiran awam (ILA) dan institut kemahiran belia negara (IKBN) bagi menyediakan program latihan yang memenuhi keperluan mereka.
"Misalnya PETRONAS menerajui kluster minyak dan gas di Pengerang, Kimanis, Batu Rakit dan Miri; DRB Hicom bagi kluster automotif di Pekan; Sunway bagi kluster perhotelan; dan MRCB bagi kluster pembinaan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, pembaharuan ini berupaya menggunakan sumber kerajaan dengan lebih efektif bagi penghasilan graduan TVET yang memenuhi keperluan industri.
Sementara itu, kerjasama awam-swasta melalui pendekatan baharu seperti ini juga akan terus diteroka untuk bidang atau perkhidmatan kerajaan yang lain.
Dalam pada itu, bagi mengeratkan kerjasama industri, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) diperkukuh dengan peruntukan RM50 juta untuk manfaat lebih 8,000 pelatih.
Program Academy in Factory pula akan dilaksanakan untuk menyediakan peluang kepada lebih 50,000 pelatih menjalankan latihan sambil bekerja di kilang.
Klik di sini untuk terus membaca