SHAH ALAM - Kerajaan bertekad untuk menoktahkan kemiskinan tegar kira-kira 130 ribu rakyat tanpa mengira latar belakang dengan pelbagai langkah yang menyeluruh melalui Belanjawan 2023: Malaysia Madani. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan bertekad untuk menoktahkan kemiskinan tegar kira-kira 130 ribu rakyat tanpa mengira latar belakang dengan pelbagai langkah yang menyeluruh melalui Belanjawan 2023: Malaysia Madani.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang akan menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya dapat meningkatkan potensi pendapatan.

"Sejumlah RM750 juta peruntukan disediakan untuk tahun 2023 kepada Kementerian Ekonomi bagi menjayakan IPR.

"Beberapa pendekatan baharu turut dilaksanakan untuk mengatasi kelemahan pelaksanaan lalu bagi meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar meraih pendapatan.

"Antaranya adalah bantuan dan kemudahan kepada peserta tidak lagi diberikan sekaligus tetapi secara bulanan," katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023: Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut bersetuju menambah pendapatan boleh guna M40 melalui pengurangan kadar cukai pendapatan individu yang memberi lebih manfaat kepada mereka.

"Bermula 2023, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 sehingga RM100,000.

"Pengurangan ini dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen. - Foto Bernama.

Tambah beliau, sementara M40 mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai, kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga dua peratus melibatkan banjaran lebih RM100,000 sehingga RM1 juta.

"Kerajaan akan mengambil pendekatan yang progresif. Langkah ini melibatkan pengurangan hasil cukai bersih kerajaan sebanyak RM900 juta untuk manfaat rakyat khususnya M40.

"Selama ini, golongan B40 sering diberikan pelbagai bentuk bantuan sementara kumpulan pertengahan, M40 menunjukkan kesabaran mereka meski terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup yang mencengkam,” katanya.

Pembentangan Belanjawan 2023 yang menelan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM388.1 bilion merupakan penampilan Anwar kali kedua selepas 26 tahun ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan pada 1997.

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus, RM 99 bilion untuk perbelanaan pembangunan dan RM2 bilion bagi simpanan luar jangka.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan kini membayar bantuan kebajikan bernilai RM2.5 billion kepada lebih 400 ribu penerima.

"Bagi menyegerakan data dikemaskinikan dan memastikan tiada lagi yang tercicir daripada menerima bantuan, kerajaan akan melaksanakan pemutihan senarai penerima bantuan bulanan kerajaan antara Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah satu pangkalan data,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca