SHAH ALAM - Dalam mendepani tantangan kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan, sektor agromakanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan. Perdana Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Dalam mendepani tantangan kenaikan harga barang dan gangguan bekalan makanan, sektor agromakanan perlu dirombak dengan mengutamakan kemandirian pengeluaran makanan tempatan melalui automasi dan pendigitalan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) umpamanya menyediakan dana sehingga RM1 bilion di bawah Skim Pembiayaan Agrofood untuk membantu pengusaha agromakanan meningkatkan produktiviti pengeluaran.

"Dari sudut latihan dan bimbingan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan memperluas penganjuran program Digital AgTech untuk melatih lebih ramai pekebun kecil beradaptasi dengan teknologi.

"Inisiatif ini dianggarkan dapat memanfaatkan 100 Pertubuhan Peladang Kawasan seluruh negara dengan peruntukan RM10 juta ringgit,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Parlimen pada Jumaat.

Pembentangan Belanjawan 2023 yang menelan peruntukan terbesar dalam sejarah iaitu RM388.1 bilion merupakan penampilan Anwar kali kedua selepas 26 tahun ketika beliau menjawat jawatan Menteri Kewangan pada 1997.

Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion untuk belanja mengurus, RM 99 bilion bagi belanja pembangunan serta RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Kata Anwar, bagi meningkatkan kecekapan dengan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian, kerajaan bercadang untuk memberi Elaun Modal Dipercepatkan dan mengecualikan cukai pendapatan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal.

"Dalam masa sama, tempoh permohonan galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan dilanjutkan sehingga akhir tahun 2025 dengan skop galakan turut diperluas merangkumi projek pertanian moden berasaskan Pertanian Persekitaran Terkawal,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan hanya 1.2 juta hektar tanah negara dimanfaatkan untuk tujuan tanaman makanan berbanding tujuh juta hektar bagi tanaman kelapa sawit dan getah.

Berikutan itu, beliau menegaskan kerajaan bercadang supaya FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyuburkan tanah-tanah terbiar milik mereka dengan keluasan sehingga 800 ekar untuk projek tanaman makanan.

Klik di sini untuk terus membaca