BUAT kali pertama selepas 26 tahun, Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen sebagai Menteri Kewangan Kerajaan Perpaduan untuk membentangkan Belanjawan 2023: Malaysia Madani.
Segak berbusana baju Melayu berona biru muda, Anwar menghabiskan masa lebih dua jam untuk membentangkan belanjawan pertama di bawah kerajaan campuran pimpinannya.
Paling mengejutkan, Anwar mengetepikan tanggapan saiz perbelanjaan belanjawan tahun ini lebih kecil daripada jumlah peruntukan diumumkan kerajaan Keluarga Malaysia tahun lalu.
Hal ini susulan pembentangan Belanjawan 2023 menelan peruntukan keseluruhan RM388.1 bilion, nilai lebih besar berbanding RM372.3 bilion dicadangkan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.
Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM289.1 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus, RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan, manakala RM2 bilion diperuntukkan untuk simpanan luar jangka.
Pembentangan Anwar itu menjadikan Belanjawan 2023 menelan peruntukan terbesar dalam sejarah negara selepas Bajet 2022 (RM332 bilion) dan Bajet 2021 (RM322 bilion).
Dengan negara berdepan senario ketidaktentuan ekonomi akibat jangkaan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2023 di samping pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebelum Ogos tahun ini, tumpuan 33 juta rakyat Malaysia pastinya terarah kepada manifestasi Anwar membantu rakyat yang terjejas menerusi belanjawan kali ini.
Hakikatnya, sebilangan pemerhati ekonomi berpandangan belanjawan dibentangkan Anwar memenuhi kehendak beberapa jenis dasar awam seperti Dasar Agihan (Distributive Policy), Dasar Agihan Semula (Redistributive Policy) dan Dasar Kawal Selia (Regulatory Policy).
Inklusif
Rumusannya, Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada Jumaat bersifat inklusif kerana mencakupi seluruh lapisan masyarakat berlandaskan konsep Malaysia Madani.
Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub, Mohd Rozaimy Ridzuan berkata, walaupun negara berhadapan dengan cabaran hutang yang tinggi, Dasar Pengembangan Fiskal digunakan malah peruntukannya lebih besar daripada jumlah peruntukan ketika di bawah pemerintahan Kerajaan Keluarga Malaysia.
"Ini susulan langkah penjimatan operasi kerajaan, pertumbuhan ekonomi dan peningkatan dalam kutipan hasil kerajaan berjaya diterjemahkan dalam inti pati belanjawan itu bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat yang terbeban masalah kos sara hidup dan keterjaminan keselamatan makanan negara.
"Saya optimis kerajaan di bawah pimpinan Anwar berupaya menyuntik pelaburan asing ke dalam negara berdasarkan kredibiliti dan kekuatan rangkaiannya dengan pemimpin negara asing,” ujarnya.
Jelas beliau, terdapat pembaharuan dalam Belanjawan 2023 dari segi keutamaan, pendekatan dan strategi walaupun beberapa elemen terdapat dalam bajet dibentangkan Kerajaan Keluarga Malaysia masih dikekalkan.
Beliau turut menyambut baik usul peningkatan dalam peruntukan perbelanjaan pembangunan memandangkan ia merupakan satu bentuk pelaburan buat negara untuk kesejahteraan ekonomi dan sosial terutamanya dari segi peluang pekerjaan rakyat.
"Sebelum ini, ada mengatakan bahawa belanjawan ini merupakan manifesto kerajaan untuk memenangi hati rakyat menjelang PRN enam negeri tidak lama lagi.
"Ini hanyalah suatu persepsi, namun tidak menjadi masalah sekiranya perkara itu berlaku selagi asas tindakan kerajaan adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat berlandaskan konsep ihsan.
"Ia juga dirasakan perlu agar jurang pembangunan antara wilayah dapat dikurangkan dan masalah asas seperti air, elektrik, sektor pendidikan dan kesihatan dapat diselesaikan segera,” katanya.
Manifestasi perjuangan
Dalam pada itu, bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hasan Malek berpandangan, inti pati Belanjawan 2023 dibentangkan Anwar sebenarnya merupakan manifestasi perjuangan seumur hidup beliau dalam mereformasikan pentadbiran negara dan memberi keadilan sejagat kepada rakyat negara ini.
Menyifatkan kandungan belanjawan itu agak luar biasa, Hasan yakin Anwar cuba mengotakan hasratnya sejak beliau menjadi pemimpin belia bermula tahun 1970-an untuk menuntut pentadbiran negara bersifat anti rasuah, membanteras ketirisan duit rakyat serta merapatkan kesenjangan jurang pendapatan penduduk negara ini.
"Hakikatnya, objektif perjuangan politik seumur hidup Anwar berjaya diterjemahkan dalam inti pati Belanjawan 2023 dan saya berharap semua pihak mesti memberi dukungan kuat terhadap usaha-usaha murni difokuskan beliau.
"Saya amat memuji tekad beliau untuk menoktahkan isu kemiskinan tegar yang membelenggu negara sejak zaman kemerdekaan lagi selain keberanian Anwar untuk memperkenalkan cukai khas kepada golongan kaya.
"Inisiatif orang kaya dicukai, orang miskin dan berpendapatan sederhana dibantu adalah satu pendekatan percukaian progresif yang amat berani,” tegas Hasan.
Klik di sini untuk terus membaca