SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), saya telah meramalkan jika Perikatan Nasional (PN) gagal menubuhkan kerajaan, maka pastinya pemimpin-pemimpin Bersatu akan disiasat dan didakwa.
Ternyata ramalan saya menjadi benar. Tanpa niat ‘masuk bakul angkat sendiri’, saya percaya bahawa ramai juga dapat meramal keadaan sebegini.
Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan telah didakwa atas tuduhan rasuah yang melibatkan penerimaan suapan sewaktu pemerintahan kerajaan PN.
Saya percaya Wan Saiful bukanlah satu-satunya pemimpin PN yang bakal didakwa dalam empat tahun akan datang.
Taktik dan strategi kempen bagi PN serta Pakatan Harapan (PH) adalah bertentangan dengan konsep yang hampir sama iaitu ‘Sayalah yang bersih, Dialah yang rasuah’.
Slogan PN pula ialah ‘Bersih dan Stabil’, sementara PH pula bertemakan sebuah lagu daripada filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee – ‘Hoi Ya Hoi, Siapa Sokong Penyamun?
’Dengan strategi kempen yang berunsurkan tuduhan rasuah dan menggambarkan diri sebagai parti yang bersih, keadaan akan memihak kepada mana-mana parti yang berjaya menubuhkan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap musuh politiknya.
Bagi PH dan sekutunya Barisan Nasional (BN), Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk enam negeri bakal berlaku.
Sekiranya persepsi rasuah ke atas PN tidak sempat terbina dalam kalangan pengundi, maka mereka bakal berdepan dengan keadaan yang jauh lagi mencabar berbanding pada PRU15.
Tanpa disedari, rakyat kini berdepan dengan dilema dalam konteks politik, yakni kenyataan fakta dan persepsi politik.
Contohnya, jika seorang pengundi telah tersemai untuk menyokong parti tertentu yang digambarkan sebagai ‘bersih’, maka segala tuduhan rasuah terhadap pemimpin parti tersebut akan dianggap sebagai sama ada tuduhan pilihan atau angkara politik.
Sebaliknya, jika pemimpin parti lawan dituduh rasuah, maka ia akan dianggap sebagai ‘penyamun’ atau ‘pencuri’ walaupun sekadar hanya didakwa di mahkamah.
Kini, fakta telah menjadi tidak relevan sebagai penentu politik, malah mengagung-agungkan persepsi yang lebih dikemudikan oleh emosi daripada rasional.
Pengundi-pengundi lebih berkecenderungan untuk memihak kepada sesiapa yang dapat menyentuh emosi daripada pemikiran yang objektif.
Kesimpulannya, ahli-ahli politik sekarang akan lebih mengutamakan usaha untuk mengongkong persepsi daripada mengelolakan kebenaran.
Daripada fakta yang sebenar, ahli-ahli politik akan melakukan sesuatu berdasarkan penilaian persepsi yang dijana dan dipupuk, meskipun terdapat kemungkinan penglibatan dengan penipuan atau pemesongan fakta.
Kita sebagai pengundi seharusnya memikirkan secara waras dan rasional berdasarkan fakta. Demi perkembangan negara yang mampu berdaya saing di pentas antarabangsa, kita seharusnya dapat menilai dan mengelak usaha untuk mengongkong persepsi kita oleh mana-mana ahli atau parti politik.
* Tai Zee How juga dikenali sebagai YouTuber Apek Cina, ialah seorang peguam dan pemerhati politik
Klik di sini untuk terus membaca