PEJUANG hak asasi pelarian dan kanak-kanak meraikan dua pengumuman dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Pertama pada 15 Februari lalu apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengumumkan bahawa kanak-kanak akan dikeluarkan dari pusat imigresen dan ditempatkan dalam jagaan organisasi yang pakar mengenai kebajikan kanak-kanak.
Hal tersebut telah diperjuangkan oleh aktivis selama bertahun-tahun dan perkara itu akhirnya dapat direalisasikan adalah sesuatu yang baik.
Kanak-kanak tidak sepatutnya berada di dalam tahanan, apatah lagi mereka yang telah menghadapi kesukaran tidak dapat dibayangkan ketika melarikan diri daripada situasi ganas dan melalui perjalanan sukar di darat serta di laut, dan mereka yang turut menjadi mangsa pemerdagangan kanak-kanak.
Secara lebih luas, dorongan ke arah alternatif kepada penahanan (untuk orang dewasa juga) harus dipertimbangkan menggunakan pengalaman baharu negara lain termasuk Indonesia dan Thailand yang tidak lagi bergantung kepada penahanan dalam melaksanakan dasar migrasi serta pelarian.
Secara kebetulan saya telah melawat pusat tahanan imigresen untuk mengagihkan makanan dan bekalan perubatan daripada pelbagai penderma beberapa tahun lalu yang mengundang pujian dan kritikan.
Pujian kerana lawatan sebegitu mendidik dan menarik perhatian kepada nasib mereka yang ditahan. Sudah tentu mereka yang ditahan menerima barangan yang sangat diperlukan.
Kritikan pula datang dari dua sudut bertentangan – daripada mereka yang menganggap lawatan sedemikian adalah percubaan untuk mengaburi keadaan sebenar (kerana ‘sudah tentu pihak imigresen akan membersihkan pusat tahanan dan berkelakuan terbaik’) dan mereka yang berpendapat bahawa saya sepatutnya membantu rakyat Malaysia yang mematuhi undang-undang, bukannya warga asing yang melanggar undang-undang.
Dalam pada itu, walaupun dengan sumber terhad, organisasi seperti Yayasan Chow Kit dan lain-lain secara amnya lebih mampu untuk memastikan keselamatan kanak-kanak serta prospek masa depan mereka berbanding jika golongan berkenaan berada di dalam tahanan.
Sementara organisasi sedemikian dapat menyediakan tahap penjagaan kesihatan dan pendidikan, langkah logik yang seterusnya adalah untuk meluaskan akses supaya hospital serta sekolah dapat memberikan per-khidmatan tersebut dengan betul.
Dokumen
Ketika ini terdapat sekolah swasta yang mendidik kanak-kanak ini (walaupun kebanyakannya berada di Kuala Lumpur) tetapi selalunya situasi undang-undang menjadi kabur sama ada kerana pengiktirafan dokumen (seperti kad UNHCR) tidak konsisten atau kerana kerajaan keberatan untuk mengeluarkan lesen tertentu.
Ia sekali gus memaksa badan-badan kebajikan beroperasi dalam tidak kepastian dan mengelirukan walaupun menteri serta orang kenamaan asing melawat dan memuji institusi sedemikian!
Sebagaimana yang ditegaskan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada Hari Hak Asasi Manusia, Disember lalu, menafikan akses kepada pendidikan formal kanak-kanak tanpa kerakyatan dan pelarian mengakibatkan kitaran generasi kemiskinan serta kemelaratan yang membebankan masyarakat.
Menyelesaikan ketidaktentuan undang-undang sedemikian akan memberikan keselesaan bukan sahaja kepada penyedia perkhidmatan dan kanak-kanak tetapi juga kepada bakal penderma yang akan diberi jaminan bahawa sumbangan mereka tidak akan secara tiba-tiba dianggap menyalahi undang-undang.
Pengumuman kedua dilakukan tiga hari kemudian. Menteri Dalam Negeri disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan bahawa kabinet telah bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membenarkan anak-anak yang dilahirkan oleh ibu warganegara Malaysia di luar negara untuk mendapatkan kewarganegaraan secara automatik.
"Hal ini selaras dengan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk mengiktiraf kesaksamaan bagi wanita serta lelaki dan menghapuskan diskriminasi terhadap wanita di Malaysia,” kata mereka.
Terdapat euforia dalam kalangan mereka yang telah bekerja keras selama bertahun-tahun – di dalam dan di luar mahkamah – untuk mendapatkan kerakyatan kepada kanak-kanak tersebut.
Pada masa sama, beberapa kebimbangan telah dibangkitkan mengenai berapa ramai yang mungkin layak mendapat kerakyatan secara tiba-tiba jika perkara itu digunakan secara retroaktif.
Lebih-lebih lagi bagaimana untuk menangani mereka yang layak mendapat kerakyatan lebih dari satu negara memandangkan Malaysia tidak membenarkan dua kerakyatan.
Walaupun semua perincian undang-undang sedang diperhalusi, Pesuruhjaya Kanak-kanak di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah mencadangkan kerajaan mencari penyelesaian sementara seperti mengeluarkan visa kepada kanak-kanak yang terjejas untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini.
Namun, masih terdapat ribuan kanak-kanak tidak bernegara di Malaysia tanpa sebarang kerakyatan sama sekali. Mungkin pengumuman seterusnya adalah untuk kepentingan mereka!
Hal itu pastinya menjadi salah satu isu yang boleh diterima pakai oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak bebas baharu yang akan dilantik. Satu pembaharuan yang lebih awal diumumkan oleh Perdana Menteri pada bulan Januari.
Sememangnya, pembaharuan yang berkaitan dengan kanak-kanak adalah menggalakkan dan menunjukkan apa yang boleh berlaku apabila kerajaan mendengar serta bekerjasama dengan organisasi masyarakat sivil yang telah melakukan kerja-kerja advokasi selama beberapa dekad.
Harus diingat bahawa tidak ada faedah pilihan raya langsung yang jelas untuk hal tersebut yang menjadikan komitmen terhadapnya lebih mengagumkan.
* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Pemegang Amanah Yayasan Chow Kit dan Naib Pengerusi Lembaga Pengelola Akademi Ideas
Klik di sini untuk terus membaca