APAKAH pengambilalihan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) oleh bekas pemimpin Bersatu Sabah ketika ini mampu membentuk gagasan politik yang meyakinkan?
Persoalan itu timbul selepas Sabah mengalami ketidaktentuan politik sepanjang lima tahun lalu.
Isunya, Gagasan Rakyat bukanlah sebuah koalisi politik yang lazimnya dikaitkan dengan kestabilan. Ia dilihat sebagai strategi kelangsungan politik dalam konteks politik Sabah yang sengit dan seimbang.
Malah, ia masih jauh untuk mencontohi model Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang lebih kukuh dan stabil.
Gagasan Rakyat sekadar platform sementara buat mereka yang keluar parti untuk mengekalkan kedudukan dan kepentingan, dialas hujah klise ‘demi kestabilan politik’.
Sebagai sebuah koalisi, Gagasan Rakyat masih tidak mempunyai asas kukuh dengan komposisi, struktur dan hala tujunya masih kelam-kabut.
Kredit kepada pengambilalihan itu apabila kestabilan politik nampaknya berjaya dicapai.
Sekurang-kurangnya Gagasan Rakyat masih mampu mempertahankan keutuhan kerajaan melalui sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada ketua menteri dan back up daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim – faktor terpenting kestabilan politik Sabah.
Namun, untuk jangka masa panjang, mengandaikan Gagasan Rakyat mahu bertahan menjadi koalisi politik besar bercitra tempatan dengan meniru GPS masih jauh dan berliku. Ada beberapa perkara menarik untuk diperhatikan jika Gagasan Rakyat mahu pergi jauh.
Untuk meniru GPS agak sukar kerana koalisi itu wujud lama sebelumnya.
GPS hanya melibatkan perpindahan sebuah pakatan politik daripada Barisan Nasional (BN) dengan kerangka, komposisi dan strukturnya masih sama.
Faktor kesepaduan elit yang ditunjangi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjadikan GPS kukuh dan stabil.
Berbeza dengan Sabah, elit politiknya terpecah dalam persaingan politik yang sengit, seimbang dan fleksibel.
Kemunculan parti politik baharu dan pengaruh individu tertentu yang mendominasi kaum serta kawasan tertentu membentuk kesepaduan elit menjadi lebih mencabar.
Justeru, kepentingan Persekutuan menjadi ‘politik rahmah’ buat Sabah dalam konteks ini – sesuatu yang menjadikan ia sukar untuk meniru GPS.
Dengan politik kewilayahan masih sukar menjadi faktor penyatu, pengaruh Persekutuan mempengaruhi kecenderungan elit untuk bekerjasama, sekali gus menentukan hala tuju dan kestabilan politik negeri bawah bayu ini.
Menyorot perkembangan lima tahun kebelakangan ini jelas menunjukkan bagaimana perkara tersebut boleh difahami.
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan perubahan kerajaan Persekutuan mengubah landskap politik negeri disebabkan lompat parti yang menumbangkan kerajaan BN di tangan Warisan.
Langkah Sheraton kemudiannya membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan membawa juga kerjasama BN-Bersatu dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan yang akhirnya berubah sekali lagi setelah PH membentuk Kerajaan Perpaduan selepas PRU15.
Hakikatnya, pertembungan, pertindihan dan penjajaran yang berlaku di Sabah tetap tidak menghilangkan fakta bahawa pembentukan koalisi serta kerjasama menjadi unsur terpenting politik Sabah di sebalik sifatnya yang sangat anjal, rapuh dan terbuka.
Cabaran terbesar Gagasan Rakyat sudah tentulah mengekalkan kerjasama antara parti yang ketika ini masih rapuh walaupun stabil.
Pertama, selagi Kerajaan Perpaduan di Persekutuan masih utuh, kebarangkalian untuk ia melimpah di Sabah tetap ada.
Persoalannya, adakah dua parti, UMNO-BN dan Warisan akan berdiam diri dengan perkembangan yang ada?
Memandangkan situasi semasa cenderung ke arah politik gabungan mudah (coalition of convenience), berbanding gabungan komitmen (coalition of commitment), kekhuatiran bahawa reaksi balas kedua-duanya bukan sahaja berpotensi mengocakkan kestabilan di negeri, malah di peringkat Persekutuan.
Paling penting, adakah Gagasan Rakyat ataupun Datuk Seri Hajiji Noor sendiri boleh menjadi faktor penyatu dalam mengembangkan kerjasama politik pelbagai parti di Sabah – prasyarat utama untuk membentuk kestabilan politik sekiranya pengaruh Persekutuan hilang peranannya, lantas mencontohi model GPS di Sarawak seterusnya.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca