KIEV - Konflik Rusia-Ukraine memasuki tahun pertamanya pada Jumaat dan tidak menunjukkan tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat berikutan campur tangan Barat yang berterusan membekalkan senjata canggih kepada Kiev yang merupakan sekutu mereka.
Menurut laporan terbaharu, Amerika Syarikat (AS) adalah penyedia bantuan ketenteraan terbesar kepada Ukraine dengan jumlah keseluruhan sejak perang itu bermula mencecah AS$29.8 bilion (RM132.1 bilion), manakala Britain berada di tangga kedua dengan 2.3 bilion pound (RM12.3 bilion) dan Kesatuan Eropah (EU) menyalurkan sebanyak 3.6 bilion euro (RM17 bilion).
Sejak Kremlin melancarkan operasi khas ke atas Ukraine pada 24 Februari 2022, seluruh dunia sebenarnya turut menerima impak secara tidak langsung.
Aturan ekonomi global dan geopolitik secara asasnya telah berubah sama sekali dengan gangguan ke atas rangkaian bekalan termasuk makanan dan bijirin, selain krisis tenaga yang melanda rantau Eropah selepas Moscow memotong bekalan tenaga ke blok itu sebagai tindak balas terhadap siri sekatan dilaksanakan Barat.
Sebagai dua pembekal utama komoditi tenaga, makanan dan baja, peperangan tersebut turut menyebabkan gangguan serius terhadap bekalan ke negara maju serta membangun.
Selain itu, antara perubahan paling ketara ialah peralihan blok Eropah daripada pergantungan terhadap gas Rusia termasuk mencari sumber penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.
Situasi tersebut telah memaksa Jerman dan negara Eropah lain cuba mendapatkan sumber tenaga dari Asia, Afrika serta Asia Barat.
Krisis yang berlarutan selama 365 hari itu juga mencetuskan satu lagi krisis kemanusiaan dengan lebih lapan juta penduduk Ukraine dilaporkan meninggalkan negara itu, selain kira-kira 5.9 juta terpaksa menjadi pelarian dalam negara sendiri dan lebih 17.6 juta memerlukan bantuan kemanusiaan segera.
Ketika berucap pada Perhimpunan Persekutuan (Duma), Selasa lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin menegaskan Moscow tidak akan berganjak dari sempadan selagi bekalan senjata jarak jauh terus disalurkan Barat ke Ukraine.
Beliau berikrar untuk meneruskan peperangan dengan Kiev dan memberi amaran Moscow mungkin akan melancarkan semula ujian nuklear yang paling ditakuti komuniti antarabangsa.
Perjuangan Kremlin untuk mengalahkan Kiev jelas menunjukkan Moscow sebenarnya sedang terlibat perang proksi dengan Barat.
Usaha dialog untuk mencapai perdamaian juga telah terhenti berikutan kedua-dua pihak berbalah itu enggan kembali ke meja rundingan.
Bulan lalu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu tiada prospek untuk rundingan damai bersama Ukraine, malah seterunya itu bertindak menutup pintu berdamai sehingga ia dapat menguasai semula wilayah yang berjaya diduduki Rusia.
Konflik tidak berkesudahan sejak setahun lalu itu telah menyaksikan kehilangan sejumlah besar anggota tentera Rusia yang dianggarkan berjumlah kira-kira 200,000 orang, selain sekurang-kurangnya 30,000 orang awam turut terkorban.
Pada awal minggu lalu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran peningkatan lanjut konflik itu bermakna dunia sedang menuju ke arah peperangan yang ‘lebih meluas’.
Apakah fasa seterusnya dalam peperangan Rusia-Ukraine? Adakah krisis tersebut akan menjadi lebih buruk berikutan kedua-dua pihak bertikai itu masih berdegil enggan mengalah, selain campur tangan Barat yang semakin galak membekalkan senjata berat. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca