BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Pengerusi UMNO Wilayah... Klik di sini untuk terus membaca

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bekas Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dan Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai calon pilihan terbaik bagi jawatan Naib Presiden parti itu.

Pandangan tersebut disuarakan bekas Menteri Kesihatan itu, di tengah-tengah kerancakan ramai pemimpin UMNO mencalonkan diri bagi bertanding jawatan-jawatan penting dalam parti termasuk tiga kuota pelantikan jawatan Naib Presiden.

Berikutan itu, Khairy yang dipecat daripada UMNO awal bulan lalu bersama bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, mengajak semua penyokong dan rakan-rakannya dalam parti itu untuk menyokong pencalonan tiga pemimpin berkenaan kelak.

Khairy - Foto fail Awani

Kenyataan terkini Khairy itu seolah-olah memberi isyarat tersirat kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa tiada laluan mudah bakal diberikan kepada pemimpin pro timbalan perdana menteri itu untuk menguasai jawatan-jawatan penting parti.

"Saya berharap rakan-rakan saya boleh menyokong mereka (pada pemilihan UMNO kali ini),” ujar Khairy atau lebih dikenali KJ kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Ketika ditanya apa ciri-ciri kualiti yang terdapat pada tiga pemimpin itu untuk diangkat sebagai bakal Naib Presiden UMNO baharu dan mungkin bawa pembaharuan kepada kepimpinan UMNO sedia ada, Khairy menegaskan adalah lebih elok untuk memilih calon-calon yang mempunyai pendirian dan idealisme jelas.

Jawatan Naib Presiden UMNO sememangnya menjadi tumpuan utama lebih 3 juta akar umbi parti itu susulan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 memutuskan dua jawatan utama parti berkenaan iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti kali ini.

Sehingga Sabtu, sejumlah lapan pemimpin UMNO termasuk dua penyandang Naib Presiden telah mengesahkan pencalonan untuk merebut tiga tempat bagi jawatan itu.

Dua penyandang Naib Presiden yang sudah sah mempertahankan jawatan itu lebih awal adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ia disusuli oleh Johari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Reezal Merican, Hasni serta Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selain itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mencipta kejutan apabila turut menawarkan diri bertanding jawatan itu, bagaimanapun seorang lagi penyandang jawatan Naib Presiden UMNO iaitu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih belum membuat keputusan muktamad.

-SH: AZALINA MASUK GELANGGANG

Teka-teki sama ada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bakal bertanding jawatan nombor tiga parti itu turut terjawab apabila beliau mengesahkan telah menghantar borang pencalonan di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Keputusan Azalina itu menyaksikan beliau menjadi calon wanita tunggal yang bertanding merebut tiga kuota jawatan penting parti berkenaan.

Sumber UMNO memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa proses pemilihan parti kali ini agak menarik dan sengit kerana kemungkinan ia menyaksikan pertembungan di antara ‘cai’ menyokong kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kem yang menolak kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan (PH).

"Reezal Merican, Johari dan Hasni dipercayai mewakili ‘team B’, manakala Dr Zambry, Khaled, Wan Rosdy dan Azalina difahamkan sudah mendapat restu Ahmad Zahid untuk mewakili ‘team A’ bertanding merebut jawatan Naib Presiden kali ini,” dedah sumber UMNO itu lagi.

Proses pencalonan pemilihan UMNO penggal 2023-2026 yang bakal berakhir pada 26 Februari dilihat rancak dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pemimpin parti berkenaan.

Pada Jumaat, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjelaskan, proses pencalonan bagi pemilihan parti itu di peringkat pusat dan seluruh bahagian berjalan lancar serta menjangkakan peningkatan pencalonan menjelang tarikh akhir proses pendaftaran pada 26 Februari.

"Sehingga semalam (Khamis), seramai 11,369 calon telah pun mendaftarkan diri untuk bertanding di peringkat pusat dan juga bahagian di seluruh negara.

"Daripada jumlah itu, 270 calon untuk jawatan di peringkat pusat merangkumi Ahli MKT, Exco Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO.

"Rata-rata kita melihat calon-calon adalah terdiri daripada muka-muka baharu,” katanya kepada pemberita.

Klik di sini untuk terus membaca