BELANJAWAN 2023 Malaysia Madani melabuhkan tirainya pada petang Jumaat dengan topik isu kebenaran pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia akhirnya terjawab. Dengan kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

BELANJAWAN 2023 Malaysia Madani melabuhkan tirainya pada petang Jumaat dengan topik isu kebenaran pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia akhirnya terjawab.

Dengan kerajaan mengumumkan tiada lagi kebenaran pengeluaran simpanan KWSP buat kali terakhir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menambah caruman simpanan Akaun I KWSP sebanyak RM500 kepada pencarum berusia antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan kurang RM10,000 ketika ini.

Hal ini susulan Menteri Kewangan itu dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan berulang kali menyatakan jumlah nilai simpanan majoriti pencarum KWSP kini di tahap kritikal dan telah menyusut dengan ketara.

Berdasarkan rekod dikeluarkan KWSP, seramai 6.7 juta atau 51.5 peratus pencarum di bawah usia 55 tahun kini mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah.

Ahmad sebelum ini menjelaskan senario membimbangkan itu terjadi setelah majoriti pencarum KWSP dibenarkan mengeluarkan simpanan hari tua sebanyak empat kali bagi menampung keperluan hidup sewaktu pandemik Covid-19.

Biarpun iltizam terkini kerajaan ini boleh diumpamakan sebagai cahaya yang menerangi kegelapan, ramai pihak masih meragui sama ada inisiatif penambahan RM500 dalam akaun KWSP pencarum sudah cukup untuk meringankan beban mereka.

Persoalannya, bagaimana caruman RM500 itu dapat memulihkan ekonomi rakyat serta membantu golongan rentan yang terdesak menggunakan wang berbanding kebenaran pengeluaran RM10,000?

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran (CME), Carmelo Ferlito berkata, inisiatif kerajaan itu merupakan satu pendekatan populis yang sekadar meningkatkan perbelanjaan kerajaan tanpa memberi manfaat sebenar kepada rakyat.

"Saya tidak melihat bagaimana pembayaran RM500 dapat memberi manfaat kepada simpanan KWSP rakyat dalam jangka masa panjang.

"Malah, ia hanya akan menambah kos kepada kerajaan secara keseluruhannya. Oleh itu, ini merupakan suatu langkah yang populis dan tidak relevan,” katanya kepada Sinar Premium.

TIDAK WAJAR

Tambahnya, inisiatif membenarkan pengeluaran KWSP di peringkat awal pun hakikatnya merupakan tindakan tidak wajar dilakukan oleh kerajaan.

"Jika kerajaan benar-benar mahu memulihkan ekonomi rakyat, mereka tidak patut membuat terlalu banyak perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga ramai yang hidup terdesak. Perkara ini hanya akan meningkatkan inflasi tanpa mengikut logik ekonomi,” katanya.

Jelasnya, untuk menyelesaikan isu kegawatan ekonomi meruncing ketika ini, peruntukan perbelanjaan operasi kerajaan perlu dipotong.

"Untuk mengatasi inflasi, kerajaan perlu memotong perbelanjaan mengurus mereka dari segi pendanaan kerajaan dalam perniagaan, pemansuhan harga siling pada item terkawal serta pelaksanaan subsidi bersasar. Namun, perkara ini tidak disentuh di dalam Belanjawan 2023 yang lalu.

"Sebaliknya, kerajaan perlu membuat satu pelan rasionalisasi pengambilan pekerja dalam sektor awam. Beban pengurangan hutang negara bergantung kepada langkah mengenakan cukai lebih tinggi terhadap golongan peniaga dan individu kaya, namun kerajaan tidak melakukan apa-apa bagi menyelesaikannya,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, inisiatif kerajaan itu sedikit sebanyak membantu dari segi penambahan wang simpanan persaraan ahli KWSP, namun ia tidak mencukupi.

"Penambahan caruman RM500 tidak cukup terutamanya bagi mereka yang mempunyai baki kurang daripada RM10,000. Jika golongan bersara tidak ada pendapatan, maka mereka sukar untuk mendapatkan jaringan keselamatan sosial sepatutnya.

"Kerajaan harus mengenal pasti dua juta ahli KWSP tersebut dan membuat pelan persaraan untuk mereka. Untuk bersara dengan wang cukup, sekurang-kurangnya mereka memerlukan RM300,000 dan wang itu boleh dimasukkan ke dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk mendapat pulangan RM 15,000 setahun atau RM1,500 sebulan bagi menampung keperluan asas,” katanya.

Mengulas lanjut, Nuradli berkata, sekiranya kerajaan memberi kelonggaran untuk mengeluarkan KWSP, langkah itu perlulah bersasar.

"Tidak dinafikan ramai antara kita yang terhimpit dengan hutang dan sangat terdesak untuk memakai duit. Oleh demikian, tidak salah sekiranya kerajaan membuat satu jenis pengeluaran bersasar semata-mata bertujuan membayar hutang,” katanya.

Selain itu, pakar ekonomi dari University College i-CATS Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, caruman RM500 itu merupakan isyarat kerajaan kepada rakyat untuk mereka memulakan tabiat menyimpan dan bukan mengeluarkan simpanan.

"Apa yang kerajaan cuba sampaikan adalah mereka tidak mahu memberi pengeluaran tetapi secara sinis memasukkan duit ke dalam akaun pencarum. Caruman RM500 memang tidak akan memberi impak yang ketara, namun ia sebagai motivasi kepada rakyat untuk menyimpan.

"Pada 10 tahun akan datang, rakyat boleh menikmati pulangan RM1,500 sehingga RM2,000 daripada caruman RM500 tersebut. Tetapi, jika kerajaan memberi pengeluaran RM10,000, ia akan habis begitu sahaja dan simpanan hari tua mereka tidak akan mencukupi,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca