SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan lulus ujian pertama selepas 100 hari menerajui negara.
Penganalisis politik, Tang Ah Chai memberi markah 65 daripada 100, bagaimanapun menyatakan masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Beliau berkata, kerajaan baharu dilihat prihatin dengan isu harian yang melanda rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.
"Berdasarkan prestasi kerajaan baharu, saya beri mereka 65 daripada 100. Kerajaan baharu telah lulus ujian pada dasarnya tetapi masih perlu bekerja keras untuk penambahbaikan.
"Dengan adanya Akta Anti Lompat Parti, kerajaan baharu juga ‘diberkati’ dengan usul kepercayaan di Dewan Rakyat. Landskap politik boleh dikatakan stabil dan normal sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini akan menjadi cabaran seterusnya bagi Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, katanya, kerajaan berjaya menangani krisis politik di Sabah.
Ditanya mengenai perancangan jangka panjang, Ah Chai berkata, kerajaan sepatutnya mempunyai tadbir urus yang baik serta mencadangkan dasar membolehkan kerajaan dan pembangkang berfungsi dengan lancar.
Klik di sini untuk terus membaca