SERUMPUN bak serai, sesusun bak sirih. Kelmarin, kesemua Ahli Parlimen Perikatan Nasional tampil sedondon berona putih semasa hadir sesi pembentangan Belanjawan 2023.
Satu manifestasi kesatuan yang kukuh dan ampuh antara kami untuk menjadi pembangkang yang kredibel, bertanggungjawab, berintegriti serta diyakini.
Sejumlah RM388.1 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 pimpinan Perdana Menteri ke-10 berbanding peruntukan asal RM372.3 bilion yang dibentangkan sebelum pembubaran Parlimen, dengan perbelanjaan operasi berjumlah RM289.1 bilion, manakala belanja pembangunan RM99 bilion dan KDNK pada tahun ini pula dijangka tumbuh pada 4.5 peratus.
Sebenarnya banyak yang boleh diperkatakan tentang belanjawan bertemakan Membangun Malaysia Madani ini. Sebahagian besarnya adalah penerusan atau peluasan kepada program sedia ada kerajaan terdahulu umpamanya Jendela – di mana RM725 juta diperuntukkan untuk tahun 2023 bagi memperkasakan digital di 47 kawasan perindustrian dan di 3,700 buah sekolah.
Namun, melihat kepada jumlah perbelanjaan yang sudah menghampiri hasil diperoleh kerajaan – situasi ini sebenarnya berisiko kepada keupayaan fiskal negara.
Jika berlaku sebarang kenaikan kos luar jangka, keupayaan fiskal negara bakal terjejas dan sebab itu dalam hal ini, rasionalisasi perbelanjaan operasi perlu diiringi dengan penguatkuasaan kutipan cukai yang lebih baik.
Malangnya tidak kelihatan penstrukturan semula kerangka ekonomi dengan menampilkan model ekonomi baharu, khususnya untuk menangani isu kos sara hidup rakyat – sedangkan selama ini Perdana Menteri ke-10 menggambarkan dirinya sebagai tokoh reformasi yang kononnya sarat dengan idea-idea baharu.
Persoalan mengenai aging nation juga langsung tidak disentuh Perdana Menteri ke-10 sedangkan perkara ini memerlukan tindakan segera kerana Malaysia masih lagi terjerat dalam perangkap negara membangun dengan pendapatan pertengahan – jauh berbeza dengan negara-negara barat yang menjadi aging nation ketika mana mereka sudah muncul negara maju.
Justeru, sejauh mana strategi yang diambil dalam Belanjawan 2023 ini menepati sasaran atau adakah inisiatif baharu yang diambil mencukupi untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi, mencipta peluang pekerjaan serta meringankan beban hidup rakyat masih menimbulkan persoalan besar.
Meskipun begitu, sebagai pembangkang bertanggungjawab, saya menghargai antaranya usaha membanteras rasuah dan penyelewengan, komitmen untuk mengawal paras hutang, ketelusan dalam perolehan kerajaan, inisiatif pendapatan rakyat dan pengupayaan golongan miskin serta bantuan kepada golongan B40 dan M40 yang diumumkan pada Jumaat.
Apa pun, untuk bergerak ke depan, persoalan pokok yang perlu ditekankan oleh mana-mana kerajaan adalah kelestarian (sustainability) dan daya tahan (resilience) terutama dalam sistem governans negara untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan.
Oleh itu, pemantauan berterusan dipandu kecekapan serta integriti yang tinggi di pihak kerajaan dengan dibantu proses check and balance secara berkesan oleh pembangkang merupakan kunci kepada negara bergerak ke hadapan dan janganlah pula suara-suara Perikatan Nasional ini cuba ditutup dengan fitnah, pendakwaan politik serta saman-saman yang tidak munasabah.
Huraian penuh mengenai Belanjawan 2023 akan saya kupas secara terperinci dalam sesi perbahasan esok.
* Datuk Seri Hamzah Zainudin ialah Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat
Klik di sini untuk terus membaca