MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bertekad memanfaatkan peluang sebagai anggota kabinet untuk terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong dilantik sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan menempuh pelbagai cabaran tatkala negara berdepan dengan pandemik Covid-19, seterusnya melumpuhkan industri pelancongan negara.
Tidak berputus asa dengan kesukaran itu, beliau mencari penyelesaian terbaik bagi membantu industri berkaitan yang terjejas untuk bangkit semula memperkasakan perniagaan mereka.
Menjelang 100 hari Kerajaan Perpaduan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mencapai 98 peratus indeks prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan dan beliau yakin mampu meneruskan kecemerlangan itu sepanjang penggal ini.
Ikuti temubual wartawan Sinar Ahad, Diana Azis bersama Nancy bagi mengetahui perancangannya dalam memacu KPWKM ke arah landasan lebih maju pada masa akan datang.
SINAR AHAD: Datuk Seri pernah memegang pelbagai portfolio kementerian sejak era kerajaan diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak dan terkini disenarai dalam barisan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Secara peribadi, kementerian mana yang lebih dekat di hati Datuk Seri dan mengapa?
NANCY: Kalau nak dikatakan dekat di hati sebenarnya saya adalah orang seni, namun saya terpaksa berfikir secara holistik selain melihat kepada takdir yang telah ditentukan ALLAH SWT.
Saya boleh katakan pelancongan memang sesuatu yang menepati jiwa, tetapi apabila diberi tugasan, saya melihat bagaimana dapat memainkan peranan penting untuk membantu rakyat.
Bagi saya ini adalah anugerah ALLAH kepada saya untuk mengambil peluang membantu rakyat dalam pelbagai cara. Boleh saya katakan kementerian ini (KPWKM) adalah kementerian yang boleh cepat dapat pahala kerana sentiasa membantu rakyat tetapi kalau tidak lakukan dengan baik, dosa juga dapat.
SINAR AHAD: Datuk Seri menggalas tugas sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19 dan industri pelancongan juga perhotelan hampir ‘mati’. Apa antara cabaran getir yang terpaksa dihadapi dan bagaimana Datuk Seri menanganinya?
NANCY: Ketika barisan kabinet baharu dilantik (2019), Covid-19 melanda dunia tetapi ketika itu kita belum tahu apa sebenarnya impak kepada negara. Ketika negara adakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, masa itu masih banyak peruntukan untuk membantu rakyat.
Saya bercakap dengan pegawai bahawa fokus kita adalah membantu rakyat, kita tidak ada masa nak bercerita mengenai emosi tetapi perlu fikir bagaimana nak bantu rakyat. Ketika itu saya hanya fikir bagaimana nak letakkan makanan di meja rakyat. Saya percaya masa itu kita boleh gunakan pendekatan secara digital.
Kebetulan pada masa itu saya merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan di Samarahan, Sarawak.
Jadi saya bawa pendekatan untuk merancakkan pelancongan domestik, membantu orang kampung yang buat batik, bakul, tikar dan sebagainya. Saya minta kepada Jabatan Kraftangan untuk adakan jualan secara dalam talian.
Walaupun ada kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak yang tiada sambungan internet, namun kita cari jalan untuk bantu mereka buat jualan atas talian menerusi Jabatan Kraftangan.
Kami juga menyarankan mereka sentiasa berkomunikasi menerusi dalam talian dan ketika pandemik, sifat empati masyarakat tinggi. Dari situ lahirnya E-Bazar dalam Kraftangan selain E-Kraf on The Go.
Ketika kita buka industri pelancongan pada Jun, saya lihat masa itu muzium, zoo, perpustakaan ramai orang lawat. Sebenarnya pandemik mengajar kita menggunakan teknologi maklumat (IT).
Selepas dibuka secara berperingkat, kita perkenalkan pelbagai baucar, diskaun hotel dan sebagainya untuk menggalakkan orang ramai bergerak dalam negara bagi merancakkan kembali pelancongan domestik.
SINAR AHAD: Kerajaan dilihat berusaha untuk memperkasakan penglibatan wanita dalam barisan kabinet namun peratusan jemaah menteri tidak mencapai sasaran 30 peratus. Pandangan Datuk Seri, apa lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memastikan peluang kepimpinan politik memihak kepada golongan wanita?
NANCY: Sebenarnya saya hairan kerana saya nampak ramai wanita aktif dalam politik tetapi bila pilihan raya, mereka kalah. Kalau dahulu sebelum saya masuk politik, lebih kurang 10 hingga 12 peratus golongan wanita dalam politik tetapi penggal lalu, ia telah capai 14 peratus.
Kalau dilihat dari sudut peluang, sebenarnya wanita sendiri yang tidak bantu wanita lain sebab mereka akan memilih parti berbanding calon. Ini adalah amalan yang berlaku di Malaysia, kita nak parti kuat. Walaupun letak 60 peratus calon, sukar untuk menang kerana orang tidak beri peluang. Sebab itu kita masih perlu banyak belajar.
Saya kerap bersama ahli Parlimen wanita yang mengutarakan tentang peluang wanita Malaysia untuk jadi Perdana Menteri. Saya beritahu selagi wanita masih dikawal oleh lelaki kerana ketua parti adalah lelaki, maka mereka yang beri peluang untuk wanita jadi calon atau menteri, mereka (lelaki) yang kawal.
Saya bukan menentang lelaki tetapi inilah budaya politik dalam negara ini.
Saya pernah berseloroh dengan rakan-rakan, kalau kita buat parti politik wanita sahaja, semua tidak memberi jawapan kerana mereka tahu bagaimana budaya politik di Malaysia.
Kita nampak selektif dalam cara berfikir, bukan diskriminasi tetapi memilih kerana tahu nilai-nilai murni kalau menyokong parti yang banyak menabur jasa kepada rakyat.Barisan kabinet kali ini menampilkan beberapa wanita memegang portfolio yang tradisinya diisi oleh lelaki antaranya Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Kesihatan.
SINAR AHAD: Pada pandangan Datuk Seri, mengapa perlu meletakkan pemimpin wanita dalam kementerian berkenaan?
NANCY: Pada saya, memang penting perubahan itu dan ada sesetengah jawatan dalam politik memerlukan titik lembut (soft spot) wanita iaitu sifat empati.
Jadi saya fikir ada kaitannya kerana selama ini kalau Kementerian Belia dan Sukan mesti lelaki, lebih-lebih lagi kalau ada lelaki muda. Mungkin Perdana Menteri kita mahu cuba beri wanita pegang jawatan berkenaan.
Cuba beri KPWKM ini diberi kepada lelaki, tiada masalah, malah boleh lihat bagaimana lelaki berfikir untuk pembangunan wanita, masyarakat, keluarga, kanak-kanak dan sebagainya.
Walaupun masih awal untuk membuat penilaian, namun saya rasa itulah soft spot dan level empati wanita tinggi kerana ada sifat keibuan. Cara pemikiran pucuk pimpinan nak membawa perbezaan dalam negara dari tradisinya dipegang oleh lelaki. Ini pandangan peribadi saya.
SINAR AHAD: Setelah Datuk Seri dilantik memegang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, apa perkara yang Datuk Seri mahu tambah baik atau ubah dalam kementerian ini?
NANCY: Sebenarnya saya amat terkejut apabila diberikan jawatan ini tetapi sebagai seorang yang akur kepada arahan selain menerima takdir ALLAH SWT, saya fikir mahu tambah baik terhadap apa yang telah dilaksanakan di kementerian ini. Jadi saya panggil setiap pegawai untuk bantu saya beri maklumat dan kita adakan perbincangan.
Namun kerap berlaku kes penderaan kanak-kanak kebelakangan ini, kita perlu tanganinya dan harus buat sesuatu. Ini bukan hanya tanggungjawab satu kementerian sahaja.
Dari situ saya nak tingkatkan kemahiran pegawai kerana saya dapati seorang pegawai memegang jawatan seolah-olah tujuh jawatan. Mereka terpaksa jaga (unit) kanak-kanak, menjadi pegawai akhlak, pelindung, dia yang lapor kepada polis dan banyak lagi. Bagi saya, itu tidak adil bagi mereka.
Saya perlu cari jalan untuk meningkatkan pengetahuan mereka kerana saya percaya kepada latihan. Saya perlukan intervensi sebagai menteri dan telah adakan perbincangan dengan pegawai kementerian untuk menambah baik. Saya lihat mereka perlu kemahiran tertentu untuk jalankan tanggungjawab ini selain ada keperluan untuk menambah bilangan kakitangan.
Mereka juga perlu mengetahui prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana kadang-kadang apa yang dipraktikkan berbeza dengan amalan. Ini adalah proses yang berterusan.
SINAR AHAD: Kabinet sudah bersetuju untuk mewujudkan sebuah institusi khas untuk menjaga kebajikan serta kepentingan golongan kanak-kanak. Adakah keperluan untuk penubuhan itu?
NANCY: Bagi saya memang amat perlu untuk wujudkan satu entiti untuk beri tumpuan kepada kanak-kanak kerana jabatan yang menjaga hal tersebut juga merangkumi hal wanita. Pengkhususan itu tiada dan seperti yang saya katakan, mereka perlu dilatih.
Oleh sebab itu kita cuba wujudkan satu garis panduan supaya mereka dilatih dan mematuhi SOP kerana kalau tidak patuh, itu sudah menyalahi undang-undang.
Ada yang ‘melompat’ prosedur kerana memberi keutamaan kepada kebajikan kanak-kanak dan dari sudut kemanusiaan, tiada masalah tetapi undang-undang, ia menjadi kesilapan yang boleh mengenakan sesuatu kepada mereka.
Oleh itu perlu diwujudkan satu entiti khas ini supaya mereka dikhususkan untuk mempelajari bagaimana mengawal kanak-kanak, emosi dan sebagainya.
SINAR AHAD: Kes penderaan kanak-kanak kembali menunjukkan trend peningkatan. Apakah KPWKM bercadang untuk mengenakan hukuman lebih berat dan tegas kepada pesalah?
NANCY: Memang ada perancangan, kita sudah meminda undang-undang pada 2016 yang tidak sahaja tumpu hukuman, tetapi mencari jalan terbaik untuk kanak-kanak. Kementerian telah bekerjasama dengan UNICEF melibatkan dua peruntukan yang digunakan sebagai projek perintis, salah satu daripadanya adalah kalau ada kes penderaan, ke mana mangsa perlu ditempatkan.
Kita beri keutamaan kepada orang yang layak dan sesuai (OYLS) iaitu keluarga. Satu lagi adalah berkaitan kesalahan yang dilakukan oleh kanak-kanak, kita tidak mahu beri hukuman seperti orang dewasa tetapi mengenakan hukuman perkhidmatan komuniti. Pada masa ini, ia masih lagi projek rintis dan ada juga yang minta supaya mereka ini dihantar ke Tunas Bakti.
Tetapi bagi saya secara peribadi, saya tidak suka melihat dari sudut menghukum tetapi lebih kepada pemulihan. Dengan pemulihan, kita beri mereka peluang untuk lebih belajar termasuk orang yang melakukan kesalahan kerana kebanyakan mangsa atau pemangsa melibatkan orang yang dikenali.
Kami tidak dapat mengambil alih tugasan orang lain, maksudnya ini adalah sifat ahli keluarga mereka yang perlu ada ilmu dari segi nilai murni dan diamalkan oleh manusia sejagat.
Saya terfikir ini bukan tanggungjawab kementerian ini sahaja sebab itu saya buat kolaborasi bersama beberapa kementerian dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mereka mempunyai peranan dengan masyarakat.
Sebagai contoh kita laksanakan program untuk menunjukkan nilai positif yang murni dan doakan semoga ia menjadi amalan anak-anak muda. Kalau dasar yang saya perkenalkan ini menjadi dasar yang baik untuk negara, anak-anak akan berbangga.
SINAR AHAD: Seksyen 33 (1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan ibu bapa boleh dikenakan hukuman akibat membiarkan anak tanpa pengawasan sewajarnya. Boleh Datuk Seri terangkan lebih lanjut terma tersebut.
NANCY: Kalau kita lihat remaja yang berumur 18 tahun dah dewasa tetapi dalam undang-undang, umur itu masih dikategorikan sebagai kanak-kanak. Maksudnya kalau ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan orang dewasa berumur lebih 18 tahun, maka ibu bapa telah lakukan kesalahan.
Namun di usia seawal 15 tahun menjadi kebiasaan mereka pandai berdikari, pandai mengawasi adiknya. Cuma yang penting, pastikan keadaan selamat, makan minum ada, sambungan elektrik yang selamat.
Perlu ada pengawasan kalau tinggalkan kanak-kanak dan jika diimbau kembali, ada satu kes melibatkan kanak-kanak terbakar dalam rumah kerana ditinggalkan. Ibu bapanya keluar bekerja, jadi siapa yang perlu disalahkan. Perkara ini yang kita mahu elakkan.
Kalau dia ada orang yang berakal dan berumur 18 tahun dan ke atas, sekurang-kurangnya ibu bapa boleh dilindungi dari undang-undang tetapi oleh kerana 18 tahun dikira masih kanak-kanak, maka perlu pengawasan.
Kes penderaan wanita dan keganasan rumah tangga menjadi perhatian dan kerajaan telah wujudkan pelbagai inisiatif bagi melindungi golongan ini tetapi masih ramai yang takut untuk tampil. Ramai yang tidak mengetahui mengenai hak mereka sebab itu kita menganjurkan program advokasi sebab mahu semakin ramai wanita diberi ilmu.
Kita ada Skuad Waja (Skuad Wanita Anti Jenayah), program Matahari (meningkatkan daya tahan dan psikologi wanita) dan Iris (literasi perundangan dan hak wanita) untuk mereka jadi wanita yang kental.
Mereka tahu hak tetapi tidak berani kerana takut dipukul oleh suami. Ketika advokasi yang kita lakukan, ramai NGO wanita datang dan menyatakan sokongan kepada program tersebut.
Wanita perlu saling membantu satu sama lain untuk memberi keyakinan kepada mereka supaya berani untuk mempertahankan diri. Kita ada hak di bawah undang-undang, tidak ada orang yang boleh mencederakan, melakukan keganasan walaupun dari segi mental.
Kita tidak mahu wanita di negara ini tidak sihat, tetapi tahu ilmu pengetahuan undang-undang dan bertindak. Anak-anak mereka akan merujuk mereka sebagai role model. Kita beri ilmu supaya mereka dapat bertindak untuk diri sendiri malah kalau boleh secara ekonomi juga kita akan bantu.
SINAR AHAD: Datuk Seri, komuniti orang kurang upaya (OKU) dilihat sukar mendapat pekerjaan kerana kekurangan yang dihadapi. Apa peranan KPWKM dalam membantu golongan ini yang juga perlu pekerjaan untuk survival mereka?
NANCY: Peranan kementerian ini adalah untuk memberi kebajikan dan dari segi dasar untuk perkhidmatan dan di bawah Kementerian Sumber Manusia pula akan memantau supaya industri menyediakan tempat sekurang-kurangnya satu peratus kepada golongan OKU. Kalau kementerian ini, sudah cakap 2.16 peratus tetapi tidaklah banyak.
Dari segi memberi peluang pekerjaan, saya membuat kolaborasi supaya kementerian terlibat dapat memastikan ada infrastruktur kepada OKU sebab orang nak beri mereka kerja tetapi infrastruktur di pejabat tidak mesra OKU.
Masih banyak bangunan tidak mesra OKU, jadi ini menjadi satu cabaran kepada organisasi di luar sana untuk memberi pekerjaan kepada mereka, bukan tidak mahu.
Kita tidak boleh duduk diam, maka kita suarakan dan banyak NGO mengadakan perbincangan supaya dapat menaik taraf dari segi undang-undang agar dapat membantu penguatkuasaan terhadap OKU. Ini peranan semua pihak.
SINAR AHAD: Apa harapan Datuk Seri terhadap kementerian ini di masa akan datang?
NANCY: Kami ada KPI untuk 100 hari kerajaan dan kita terpaksa cari yang mudah untuk dicapai misalnya mengenai wanita, kita bukan kementerian keusahawanan tetapi hasrat untuk membantu wanita ada.
Kita beri sumbangan RM500 secara ‘one off’ kepada wanita yang nak bangkit semula, boleh buat kuih, menjahit, atau perniagaan dalam talian dan diharapkan dalam tempoh tiga bulan ada perkembangan positif.
Selain itu saya harap program advokasi dapat dipertingkatkan agar golongan itu dapat meningkatkan kemahiran supaya mereka lebih progresif, jangan merasa takut, tiada keyakinan diri. Dengan advokasi, kita galakkan mereka untuk bercakap, membuka cerita bagaimana nak minta nasihat.
Golongan OKU pula kita sediakan kod QR untuk mudah dikenali, sudah tidak perlu dikenalpasti dengan kad. Selain itu pegawai JKM akan diperkasakan dengan garis panduan supaya mereka memahami dan mematuhi SOP sedia ada.
Setakat ini, Alhamdulillah saya boleh kata kita sudah capai 98 peratus dan satu lagi harapan saya supaya kementerian ini dapat menyediakan bantuan kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk mengajikan pembantu untuk menjaga ibu bapa kerana terpaksa bekerja.
Anak-anak perlu kerja cari duit, jadi tiada siapa yang boleh jaga ibu bapa di rumah, itu boleh datangkan masalah sosial yang lain kerana stres.
Saya ada juga berbincang dengan beberapa pihak untuk memberi pandangan bagaimana untuk membantu golongan ini agar dapat berbakti kepada ibu bapa.
Ini menjadi harapan saya yang tidak rasmi tetapi kalau dapat dilakukan, bayangkan apa yang diperolehi kelak iaitu ketenangan jiwa, anak-anak tidak perlu lagi hantar ibu bapa ke tempat berasingan secara bergilir. Saya berdoa agar ALLAH SWT memberikan saya rezeki untuk menjayakan rancangan ini.
Hasil kajian pasca PRU15 juga menyaksikan peratus perwakilan wanita dalam Dewan Rakyat menurun dari 14.9 peratus kepada 13.5 peratus.
Apakah ini bermakna golongan wanita dilihat tidak layak menjadi pemimpin?
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, semuanya disebabkan oleh budaya masyarakat di negara kita.
Katanya, pengundi negara ini lebih memilih parti daripada pemimpin wanita walaupun mereka seorang yang berwibawa dan berperwatakan hebat.
Banyak lagi isu yang dikongsi Ahli Parlimen Santubong itu, terutama perjuangannya membela wanita, kanak-kanak serta golongan kurang upaya dan tidak bernasib baik.
Saksikan Wawancara Eksklusif, Ahad, 26 Februari 2023, jam 2 petang hanya di semua platform media sosial Sinar Harian.
Muzik: Restless Sea by Letra - https://artlist.io/song/102498/restless-sea
#WawancaraEksklusif #SinarHarian #NancyShukri" />