PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mencatatkan sejarah baharu kewangan negara dengan peruntukan RM388.1 bilion. Jumlah itu adalah peningkatan sekitar RM16 bilion berbanding Belanjawan... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBENTANGAN Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat mencatatkan sejarah baharu kewangan negara dengan peruntukan RM388.1 bilion.

Jumlah itu adalah peningkatan sekitar RM16 bilion berbanding Belanjawan 2023 asal yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022 (RM372.3 bilion).

Menurut Perdana Menteri, belanjawan yang bertemakan Membangun Malaysia MADANI itu bertujuan menangani masalah hutang dan persoalan tata kelola, tantangan semasa serta global dan pengarahan baharu ekonomi, kebajikan serta beberapa prinsip jelas mengenai ketelusan dan pertanggungjawaban.

Peruntukan Belanjawan 2023 yang berjumlah RM388.1 bilion itu merangkumi RM289.1 bilion belanja mengurus dan RM99 bilion untuk pembangunan (termasuk RM2 bilion simpanan luar jangka).

Tindakan kerajaan meningkatkan perbelanjaan pembangunan kepada RM99 bilion berbanding 75.6 bilion ringgit dalam belanjawan asal menunjukkan kesungguhan kerajaan merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan usaha pembangunan luar bandar.

Yang membimbangkan adalah peningkatan turut berlaku kepada perbelanjaan mengurus. Kerajaan menambah peruntukan mengurus RM55.6 bilion daripada peruntukan asal RM233.5 bilion (Belanjawan 2023, Oktober 2022).

Untuk rekod, defisit ini berkurangan daripada belanjawan asal 2023 berjumlah sekitar RM100 bilion. Namun, pengurangan itu lebih kepada perubahan jangkaan pendapatan kerajaan 2023, bukan penjimatan belanja pengurusan.

Dalam belanjawan asal, kerajaan menganggarkan pendapatan 2023 ialah sebanyak RM272.6 bilion tetapi dalam belanjawan terbaharu, anggaran pendapatan ditingkatkan kepada 291.5 bilion.

Sudah tentu kita akan tertanya-tanya bagaimana dalam tempoh empat bulan, anggaran pendapatan kerajaan bagi tahun 2023 boleh meningkat kepada RM18.9 bilion walaupun anggaran pertumbuhan ekonomi masih antara empat hingga lima peratus.

Peningkatan perbelanjaan pengurusan ini tampak bertentangan dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawan dan hutang negara. Walaupun berhutang tidak semestinya membawa keburukan kepada negara, namun ia agak tidak selari dengan kempen Anwar dan Pakatan Harapan (PH) sejak sedekad lalu.

Sepintas lalu, Belanjawan 2023 meneruskan tradisi mengutamakan 40 peratus golongan berpendapatan rendah negara (B40) dan memberi beberapa faedah kepada golongan berpendapatan sederhana yang dikenali sebagai M40.

Di sebalik penukaran nama Bantuan Keluarga Malaysia kepada Bantuan Tunai Rahmah, kerajaan mengekalkan cadangan belanjawan asal 2023 yang meningkatkan pemberian bantuan tunai sehingga RM2,500 bagi isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500.

Belanjawan baharu itu juga mengekalkan cadangan menurunkan kadar cukai pendapatan sebanyak dua peratus dengan sedikit penambahbaikan. Cadangan asal adalah mengurangkan kadar cukai daripada 21 peratus kepada 19 peratus bagi mereka berpendapatan bercukai RM70,000 hingga RM100,000.

Bagaimanapun, dalam pengumuman pada Jumaat, kerajaan bersetuju pengurangan cukai dua peratus melibatkan banjaran lebih RM35,000 hingga RM100,000. Sesuatu yang membimbangkan ialah keputusan kerajaan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang berpendapatan tinggi antara 0.5 sehingga dua peratus melibatkan banjaran lebih RM100,000 hingga RM1 juta.

Dalam keadaan kenaikan kos sara hidup yang luar biasa, menganggap mereka berpendapatan sekitar RM100,000 hingga RM200,000 setahun sebagai golongan berpendapatan tinggi agak keterlaluan. Peningkatan kadar cukai itu akan mengurangkan kemampuan mereka berbelanja, sekali gus mengurangkan pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri memberi gambaran kurang daripada 150,000 pembayar cukai akan dikenakan cukai lebih tinggi. Itu bermakna tidak sampai 150,000 rakyat negara ini mempunyai banjaran cukai pendapatan melebihi RM100,000 setahun.

Angka itu tampak tidak logik dan bertentangan dengan pemilikan hartanah, kereta mewah serta gaya hidup rakyat negara terutama di Lembah Klang.

Justeru, daripada menaikkan kadar cukai pendapatan ke atas mereka yang setia membayar cukai, kerajaan perlu menumpukan usaha mencari mereka yang tidak langsung bayar cukai pendapatan dan masih hidup dalam kemewahan.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca